Guru, pegawai masjid, jurunikah mungkin tidak dibenar teruskan tugas jika enggan ambil vaksin, tegas Sultan Selangor
Guru-guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di Selangor yang enggan menerima vaksin COVID-19 mungkin tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.
Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila beberapa guru, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor enggan mendapatkan vaksinasi. (Gambar: Selangor Royal Office/Facebook)
KUALA LUMPUR: Guru-guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di Selangor yang enggan menerima vaksin COVID-19 mungkin tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.
Demikian tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu daripada golongan itu, selain 268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor enggan menerima vaksin COVID-19.
Katanya lagi, keengganan golongan tersebut menerima vaksin bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah juga orang lain, lapor Astro Awani.
“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.
“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.
“Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berdepan dengan tindakan yang sama,” tulis Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook Selangor Royal Office pada Khamis (2 Sep).
Angka golongan berkenaan yang enggan menerima vaksin itu diperoleh berdasarkan laporan daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), menurut catatan Facebook tersebut.
Bagi guru KAFA, seramai 326 orang belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, manakala 95 daripada mereka enggan menerima vaksin.
Sementara itu, 59 pegawai masjid juga masih belum diberi suntikan manakala 11 lagi enggan berbuat demikian.
Bagi jurunikah pula, sembilan orang masih belum divaksin dengan enam daripadanya dikenal pasti enggan menerima suntikan, lapor Astro Awani.
Tambah Sultan Selangor, pakar-pakar perubatan telah mengesahkan bahawa vaksin adalah satu-satunya cara untuk mengatasi wabak COVID-19 buat masa ini.
“Beta juga suka mengingatkan bahawa negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah diharuskan,” tulis beliau lagi.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berkata rakyat Selangor tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat di Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat di sekeliling.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.