Skip to main content

Iklan

Iklan

GE2020: S'pura harus terus melabur dalam keupayaan untuk bangkit lebih kuat selepas COVID-19, kata PAP

Singapura harus terus melabur dalam keupayaan untuk bangkit lebih teguh setelah krisis COVID-19 reda, kata Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2020: S'pura harus terus melabur dalam keupayaan untuk bangkit lebih kuat selepas COVID-19, kata PAP

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 02 Jul 2020 11:26PM Dikemas Kini : 02 Jul 2020 11:32PM

SINGAPURA: Singapura harus terus melabur dalam keupayaan untuk bangkit lebih teguh setelah krisis COVID-19 reda, kata Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Kami akan mempertingkatkan usaha untuk mengubah dan mengembangkan ekonomi, menjadikannya lebih inovatif dan berdaya tahan, supaya dapat mencipta peluang baru bagi semua rakyat Singapura," menurut penolong setiausaha agung pertama PAP Heng Swee Keat dalam siaran politik parti yang pertama pada Khamis malam (2 Jul).

"Kita harus mengukuhkan hubungan dengan dunia, bekerjasama dengan negara-negara yang yang berkongsi pandangan bagi memastikan perdagangan berjalan terus dan membolehkan lebih banyak perniagaan kami, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, untuk berkembang ke luar negara."

Di dalam negeri sendiri, Encik Heng berkata bahawa PAP akan menggalak pertumbuhan sektor baru untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang baik. Ini akan dilakukan bersama perniagaan dan perusahaan dalam Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh, dan merintis huraian baru menerusi Perikatan untuk Bertindak Singapura Bersama.

PAP juga akan terus membina "masyarakat yang lebih adil dan saksama" untuk memastikan tidak seorang pun rakyat Singapura yang dibiarkan mengharungi cabaran seorang diri.

"Kami akan terus melabur dalam pendidikan bagi golongan muda kami, dengan sokongan khusus bagi mereka yang lebih memerlukan," menurut Encik Heng, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Kami akan memperbaiki jaringan keselamatan sosial, bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi untuk membangunkan masyarakat yang prihatin di seluruh Singapura. Kami akan memberi lebih banyak sokongan kepada warga tua kami supaya mereka dapat bersara dengan selesa, dan mengukuhkan sistem jagaan kesihatan bagi menjaga penduduk yang kian menua."

Encik Heng berkata bersama-sama dengan sokongan tambahan dalam pendidikan, ini akan mengurangkan tekanan yang dihadapi rakyat Singapura yang "terperangkap", yang menjaga kedua-dua anak mereka yang masih kecil serta ibu bapa yang sudah tua.

Selain itu, beliau berkata PAP tidak akan berhenti membangunkan Singapura menjadi "tempat tinggal yang lebih baik" menerusi peningkatan di peringkat bandar dan projek-projek nasional.

Memandang ke hadapan sehingga tahun 2100 dan selanjutnya, beliau berkata PAP sedang melaksanakan "rancangan berani" bagi Singapura menjalani kehidupan yang mampan dan dilindungi daripada perubahan iklim serta paras air laut yang meningkat.

Beliau berkata semua segmen masyarakat, termasuk pekerja barisan hadapan, relawan, kumpulan masyarakat dan perniagaan, tampil bersama melawan COVID-19 dengan menjaga golongan lemah dan memastikan masyarakat terus kuat menjalani hidup.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan