Skip to main content

GE2020: Kewangan AHTC sihat; tidak mungkin ada pemerintah pembangkang kali ini, kata Pritam Singh

Keadaan kewangan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) sihat dan Parti Pekerja (WP) telah menerbitkan makalah yang menjelaskan kedudukan kewangannya kepada penduduk, kata ketua parti Pritam Singh pada Sabtu (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jul 2020 04:28PM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 03:04AM

SINGAPURA: Keadaan kewangan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) sihat dan Parti Pekerja (WP) telah menerbitkan makalah yang menjelaskan kedudukan kewangannya kepada penduduk, kata ketua parti Pritam Singh pada Sabtu (4 Jul).

Encik Singh berkata parti berkenaan sudah menerbitkan edisi khas majalah majlis bandarannya Good Neighbours, yang memberikan "pandangan luas" tentang kedudukan kewangan majlis bandaran tersebut.

Pada Jumaat malam, Encik Singh berkata dalam siaran politik kawasan undi bagi GRC Aljunied bahawa kenyataan kewangan AHTC menerima 'band' hijau bagi tadbir urus korporat daripada Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Para pemimpin WP terlibat dalam perbicaraan mengenai isu salah urus dana di majlis bandaran, dan sedang membuat rayuan terhadap penghakiman yang mendapati mereka bertanggungjawb bagi kes membabitkan lebih S$33 juta dana majlis bandaran tersebut.

"Kami dalam kedudukan yang sangat sihat, tetapi saya tidak mahu terbawa-bawa oleh isu ini. Ia bukan usaha kami sahaja, ia juga usaha ramai kontraktor kami yang bekerja keras... dan tentu sekali penduduk, yang sangat bertolak ansur dengan majlis bandaran dalam banyak cara," kata Encik Singh pada Sabtu.

Related article image

(Gambar: Jo Yee Koo)

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan ketika sesi bertemu penduduk dengan calon WP bagi GRC Marine Parade - Encik Yee Jenn Jong, Encik Ron Tan, Encik Fadli Fawzi, Encik Nathaniel Koh dan Encik Azhar Latip.

Related article image

(Gambar: Jo Yee Koo)

Semasa sesi itu, mereka terserempak dengan Encik Goh Chok Tong dan calon PAP bagi Marine Parade Encik Tan See Leng, yang juga sedang mendampingi penduduk dekat Pasar Marine Terrace pada pagi Sabtu.

KEMUNGKINAN PEMERINTAH PEMBANGKANG "UNTUK MENAKUT-NAKUTKAN"

Encik Singh juga berkata komen-komen Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing di sesi dialog bersama Lianhe Zaobao bahawa tiga parti pembangkang terbesar mungkin bersatu bagi menubuhkan pemerintah adalah "untuk menakut-nakutkan".

"Saya rasa adalah penting untuk melihat dari pandangan sejarah. Kita mengambil masa 16 tahun selepas kemerdekaansebelum pihak pembangkangmenang satu kerusi dan 23 tahun selepas 1988, apabila sistem GRC diperkenalkan, bagi pembangkang memenangi satu GRC," jelas Encik Singh.

"Jadi mari lihat kepada usaha menakut-nakutkan ini, dan saya harap dengan melihat pada sejarah akan membantu dari segi melihat betapa realistik gambaran yang diberikan Menteri Chan; sama ada ini dapat berlaku - saya rasa ia tidak mungkin berlaku sama sekali."

Encik Singh juga ditanya mengenai respons awal yang dibuatnya tentang Singapura menambah bilangan penduduk kepada 10 juta - kenyataan yang dibangkitkan oleh Part Demokratik Singapura (SDP), yang mana sudah berulang kali disangkal sebagai kepalsuan oleh PAP.

Kenyataan PAP pada Jumaat malam mengkritik para pemimpin pembangkang lain kerana "mengambil kesempatan dan turut serta dalam isu tersebut."

Encik Singh berkata beliau tidak "turut serta perbahasan" tetapi menjawab satu soalan mengenai isu "hangat" apabila ditanya media.

Beliau menarik perhatian wujud sepotong ayat dalam Kertas Putih mengenai Penduduk pada 2013 bahawa pemerintah akan menyemak jumlah penduduk di penghujung dekad ini. Apabila beliau mengemukakan soalan di Parlimen mengenai semakan itu, beliau diberitahu ia sudah dilakukan pada 2018, dedahnya.

"Saya tidak pasti berapa ramai daripada anda tahu adanya semakan dasar penduduk pada 2018," kata beliau, sambil menambah ia akan lebih membantu jika orang ramai dapat lebih memahami apa yang difikirkan pemerintah atau hala tujunya.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita