YouTuber mengembara dari UK ke SG untuk saksikan perlawanan bola sepak di OTH, dikatakan "stadium paling pelik di dunia'
(Gambar: FootyAdventures/YouTube)
Seorang fanatik bola sepak dari United Kingdom mengembara sejauh 10,000km ke Singapura untuk menonton perlawanan Liga Perdana Singapura antara Geylang International dengan Hougang United di Hab Tampines Kita, yang dikatanya seperti "stadium paling aneh di dunia".
Terkenal dengan vlog gaya hidupnya yang merakam penjelajahannya ke seluruh dunia untuk menonton permainan bola sepak, selebriti YouTube Sam North menerbitkan video di saluran YouTubenya bertajuk "FootyAdventures", yang mendokumentasikan perjalanannya ke Singapura untuk menyaksikan perlawanan liga bola sepak tempatan.
Video yang dimuat naik pada 13 Julai lalu, kini viral dengan lebih 220,000 tontonan dan 667 komen setakat Rabu (26 Julai).
Kapsyen video itu: “Saya terbang dari UK ke Singapura untuk menonton perlawanan bola sepak di Hab Tampines Kita. Geylang International menentang Hougang United dan saya terpesona melihat betapa uniknya stadium mereka!”
Dalam video sepanjang 24 minit itu, Encik North memulakan lawatannya dengan merakam beberapa gambar mercu tanda ikonik Singapura seperti Marina Bay Sands, Merlion dan Gardens By The Bay.
"Saya pernah ke negara ini sebelum ini tetapi saya tidak pernah menyaksikan perlawanan bola sepak di sini," katanya.
Dia kemudian membuat lawatan ke Muzium Negara sebelum akhirnya melawat ke Hab Tampines Kita.
“Ini tidak kelihatan seperti stadium yang pernah saya lihat dalam hidup saya! Ia sangat terbina, sangat moden, sangat bersih dan cantik," katanya dalam perjalanan ke sana.
Apabila tiba, vlogger itu kagum dengan bilangan kemudahan yang boleh ditemuinya pada peta di sekitar stadium Town Square, termasuk pusat membeli-belah dan kedai McDonald's.
“Ini adalah perkara paling Singapura yang saya rasa pernah saya lihat. (Ia) benar-benar moden (dan) semuanya untuk masyarakat,” katanya dengan kagum.
"Ini adalah lokasi stadium paling pelik yang pernah ada," komennya sambil berjalan di trek larian untuk berjoging dalam Hab Tampines Kita.
Semasa perlawanan itu, dia ternampak penonton lain yang berada di tingkat dua dan tiga stadium itu yang menonton perlawanan itu secara percuma, yang dia rasakannya sebagai "konsep pelik".
Encik North mengakhiri video itu dengan mengatakan bahawa ini adalah "pengalaman bola sepak paling pelik dalam hidupnya".
"Saya telah membuat 630 video tetapi tiada satu pun yang boleh dibandingkan dengannya," tambahnya.
KOMEN POSITIF DARI SINGAPURA
Video itu mendapat reaksi positif terutamanya daripada netizen, kebanyakannya dari Singapura dan mengucapkan terima kasih kepada YouTuber itu kerana melawat stadium itu.
“Terima kasih banyak kerana datang daripada jauh untuk ke Stadium Tampines. (Kami) amat menghargai anda membuat video tentang lawatan anda ke sini. Saya tinggal di Tampines dan saya berbangga dengan stadium 'pelik' kami," kata seorang pengguna YouTube.
Seorang pengguna lain menulis: “Terima kasih atas liputan vlog yang mengagumkan di negara kami, dan salah satu tempat kegemaran saya untuk bersantai sebagai 'Eastie' yang tinggal di Singapura ialah Hab Tampines Kita juga.
"Beberapa hujung minggu, mereka juga mengadakan tayangan filem percuma pada waktu malam untuk dinikmati oleh orang ramai. Saya berasa sangat bangga sebagai rakyat Singapura kerana anda menikmati masa anda di sini bersama kami."
Sesetengah menunjukkan kemudahan lain dalam Hab yang kelihatan tidak diketahui oleh Encik North dalam vlognya.
Seorang pengguna YouTube menulis: "Pernahkah anda juga mendengar fakta 'pelik' lain bahawa terdapat beberapa kolam renang terletak di tingkat atas bangunan itu?"
"Kamu sepatutnya pergi ke perpustakaan. Mereka mempunyai tempat duduk di tingkap (dan) anda akan mempunyai pemandangan perlawanan bola sepak yang sempurna, "kata pengguna lain.
Beberapa netizen merasakan bahawa dia "gila" kerana telah mengembara jauh dari United Kingdom untuk menonton perlawanan bola sepak di Singapura.
"Ini adalah perkara paling gila yang pernah saya lihat orang lakukan. Terima kasih banyak kerana menempuh perjalanan sejauh 10,000 km itu untuk membuat liputan perlawanan bola sepak,” tulis seorang pengguna.
“Anda gila untuk datang ke sini hanya untuk menonton perlawanan bola sepak. Bagaimanapun, terima kasih kerana menampilkan Singapura.”
Videonya turut mendapat perhatian kelab bola sepak tempatan Tampines Rovers yang menyatakan: "Terima kasih kerana datang ke stadium kesayangan kami Hab Tampines Kita, rumah kepada The Stags. Kami ingin menjemput anda untuk ke perlawanan Rovers lain kali, (kami) berjanji kepada anda ia akan menjadi pengalaman menarik."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.