'Yaya' si penjual nasi lemak Nigeria ini pernah latih skuad Wolverhampton
Oluwashola Yaya Olukosi atau Yaya, jatuh cinta dengan Malaysia dan kini menjual nasi lemak setiap pagi di Universiti Malaya.
Oluwashola Yaya Olukosi menjual nasi lemak di Universiti Malaya. (Gambar: Latimin Keman/CCO)
Apa tidaknya, lelaki warga Nigeria ini, yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Brother’ Yaya, bukannya seorang penuntut tetapi penjual nasi lemak di UM!
"Saya akan bangun seawal 4.00 pagi untuk mengambil nasi lemak dan lauk-lauk dari cawangan utama Nasi Lemak Tanglin di Kompleks Makanan Tanglin di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur", katanya seperti dinukil The Rakyat Post.
"Perniagaan di UM bermula pada 7.00 pagi," kata Yaya tentang kehidupan hariannya sebagai penjual nasi lemak.
Sudah menetap di Malaysia sejak 2010 lagi, beliau cukup dikenali di UM, dan bekerja dengan Nasi Lemak Tanglin sejak lapan tahun lalu.
Nasi Lemak Tanglin mungkin dikatakan antara nasi lemak yang paling sedap di kawasan itu, namun kefasihannya berbahasa Melayu juga menjadi daya tarikan ke kedai tersebut.
PERNAH JADI JURULATIH PASUKAN BAWAH 12 TAHUN WOLVES
Ramai mungkin tidak tahu Yaya mempunyai latar belakang bola sepak yang sangat hebat.
Beliau sebenarnya mempunyai pelbagai sijil diploma jurulatih bola sepak, termasuk Lesen B UEFA.
Menurut majlis tertinggi bola sepak di Eropah itu,kelayakan tersebut membolehkan Yaya menjadi ketua jurulatih kelab amatur bawah 16 tahun dan penolong jurulatih kelab profesional.
Malah, beliau pernah menjadi jurulatih Wolverhampton Wanderers (Wolves) bagi pasukan bawah 12 dan 13 tahun - kelab tertua Liga Perdana England di Britain.
LANJUTKAN PENGAJIAN JURULATIH DI MANCHESTER
Yaya turut melanjutkan pengajian di Kolej Salfod City di Manchester dalam bidang kejurulatihan bola sepak , menurut laporan The Rakyat Post.
Selepas tamat pengajiannya, Yaya pulang ke Nigeria namun peluang pekerjaan sangat terhad di sana.
Lantaran itu, beliau bercadang mencari peluang menjadi jurulatih bola sepak di Asia Tenggara.
"Apabila mula membuat kajian mengenai Malaysia, saya terus jatuh hati pada dua gambar, Kuil Batu Caves dan Menara Berkembar Petronas.
"Tanpa membuang masa, saya memutuskan untuk berhijrah ke sini," dedah Yaya dalam laporan The Rakyat Post.
Malah, sebagai seorang Muslim, Yaya menghargai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Ini, menurut beliau, adalah konsep baru yang dapat memberi manfaat kepada negaranya.
Nigeria dibentuk beberapa kumpulan etnik, dengan sebahagian besarnya kaum Igbo, Hausa dan Yoruba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.