Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

WRS sambut kelahiran 2 anak Harimau Malaya; pertama di S’pura sejak 1998 bagi species terancam itu

Safari Malam Taman Haiwan Singapura menyambut kelahiran sepasang anak harimau Malaya, yang merupakan kelahiran pertama spesies terancam itu di Wildlife Reserves Singapore (WRS) sejak 1998.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Feb 2021 03:35PM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 12:53AM

SINGAPURA: Safari Malam Taman Haiwan Singapura menyambut kelahiran sepasang anak harimau Malaya, yang merupakan kelahiran pertama spesies terancam itu di Wildlife Reserves Singapore (WRS) sejak 1998.

Harimau Malaya di ambang kepupusan dan begitu juga dengan baki lima spesies harimau yang lain di dunia, menurut WRS dalam satu kenyataan media pada Khamis (25 Feb).

Timbalan CEO yang juga Ketua Pegawai Sains Hayat WRS Dr Cheng Wen-Haur berkata kelahiran pasangan anak harimau itu adalah penting bagi spesies tersebut, memandangkan hanya 50 harimau Malaya dianggarkan masih hidup di hutan.

Dua ekor anak harimau yang belum diberikan nama buat masa ini dijaga oleh ibunya Intan di luar kawasan pameran.

WRS menyatakan bahawa pasukan penjaga haiwan memantau dengan teliti perkembangan anak-anak harimau tersebut menerusi kamera litar tertutup dan Intan terbukti ibu yang baik dan kerap dilihat membelai dan bermain-main dengan anak-anaknya.

Keempat-empat taman hidupan liar di Singapura berjaya melahirkan hampir 400 anak haiwan merangkumi 107 spesies tahun lalu, dedah WRS.

Daripada jumlah tersebut, 29 diletakkan sebagai spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) bagi Spesies Terancam. Ini termasuk lembu tapir yang diberi nama Bintang.

Haiwan-haiwan lain yang lahir di sini termasuk anak kanggaru dan tenggiling berjalur tiga yang diberi nama Bento, yang membawa makna "kurniaan" dalam bahasa Portugis.

Safari Sungai juga menyambut kelahiran tiga anak lembu manatee India, yang menyumbang kepada rekod WRS yang berhasil melahirkan 24 spesis terancam sejauh ini.

"Salah satu matlamat utama melahirkan hidupan liar di taman kami adalah untuk memastikan jumlah yang mampan spesis di bawah jagaan manusia. Haiwan-haiwan ini bertindak sebagai duta kepada rakan-rakan liarnya, menghubungkan manusia dengan hidupan liar dan membantu kita menceritakan kisahnya dengan mendampingi dan mendidik masyarakat."

"Bergantung pada spesis dan keadaan, haiwan-haiwan yang dilahirkan di taman haiwan juga memberi jaminan bahawa suatu hari, ia mungkin dapat mengukuhkan jumlah haiwan liar," kata Dr Cheng.

Sumber : CNA/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan