Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

World Dream jadi kapal mesra halal pertama di Asia Pasifik

Perniagaan kapal pelesiran nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi halal dan 'mesra Muslim' dalam usaha menambat lebih ramai pelanggan dari masyarakat Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perniagaan kapal pelesiran nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi halal dan 'mesra Muslim' dalam usaha menambat lebih ramai pelanggan dari masyarakat Islam.

Syarikat terkini untuk berbuat demikian ialah kapal pelesiran World Dream yang dimiliki Dream Cruises.

Baru minggu lalu, kapal pelesiran mewah Royal Albatross milik Tall Ship Adventures memulakan 'pelayaran halal' setelah mengikat kerjasama dengan syarikat-syarikat pelancongan Islam tempatan.

Kini kapal World Dream pula mengorak langkah serupa tetapi secara lebih besar lagi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Hakim Irwan)

Ia kini mempunyai dapur pusat halal dan restoran-restoran halal di atas kapal yang disahkan oleh pensijilan Halal OIC SMIIC dari Pembangunan Halal Sedunia Bersatu (UWHD). Pensijilan tersebut diterima pada Jumaat lalu (11 Dis).

Presiden Dream Cruises, Michael Goh berkata World Dream adalah kapal mesra halal pertama di Asia Pasifik dan beliau membayangkan ini bakal meluaskan jangkauan perniagaannya memandangkan ramai yang "mencari pelayaran-pelayaran halal".

KESAN SIGNIFIKAN KEPADA MASYARAKAT MUSLIM

"Ini mempunyai kesan signifikan kepada masyarakat Muslim, kerana saya rasa mereka selalu mencari percutian kapal pelesiran dan mesra halal menjadi satu keperluan. Jadi kita gembira mendapatkan pensijilan jadi mereka boleh mendapatkan percutian yang baik," kata Encik Goh lagi.

Beliau menambah: "Sebagai jenama dari Asia, kita sangat gembira dapat memberikan pengalaman pelayaran Halal yang mesra Halal untuk para tetamu.

"Pensijilan baru ini merangkumi bukan sahaja masakan tetapi ciri-ciri gaya hidup Halal secara keseluruhan di atas kapal."

Sebelum ini, hanya kapal persiaran Genting Dream yang menawarkan jamuan dengan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2018.

Apabila BERITAmediacorp bertanya tentang perbezaan mendapatkan pensijilan Halal rasmi OIC SMIIC berbanding pensijilan Halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), ini jawapan Pengerusi United World Halal Development (UNWHD), Mohamed Jinna:

"Ini adalah kapal pelesiran dan ia tidak berlabuh di hanya satu negara. Biasanya ia bergerak ke beberapa negara. Jadi pensijilan SMIIC ini adalah untuk 57 negara yang mana kita rasa ada mutu antarabangsa. Sekiranya kapal pesiaran ini bergerak ke Singapura, Malaysia dan di rantau ASEAN dan mungkin di rantau Eropah, mutunya akan tetap sama."

CIRI & KEMUDAHAN HALAL DI KAPAL WORLD DREAM

Di tingkat 17 kapal World Dream terletaknya salah satu restoran popular, The Lido. Restoran yang menyediakan segala pilihan makanan untuk para penumpang itu kini menjadi restoran yang juga menyediakan sudut Halal (Halal Corner) khas untuk para pelanggan Muslim.

Antara lauk-pauk disediakan termasuklah beriani daging kambing, sotong masak lemak dan kuih-muih Melayu. Menurut cef di restoran tersebut, hidangan akan sentiasa diubah tiap-tiap minggu.

Makanan halal bukan sekadar disediakan di dalam restoran sahaja, malah terdapat juga khidmat penghantaran ke bilik penumpang.

Lebih daripada makanan halal, World Dream juga menyediakan beberapa kemudahan lain khusus untuk penumpang Muslim, termasuk sebuah surau kecil yang mampu menampung sehingga 4 orang pada satu-satu masa. Bilik solat itu juga disediakan dengan naskhah-naskhah Al-Quran.

Malah, jika pelayaran dilakukan pada bukan Ramadan atau Syawal, Dream Cruises menyatakan ia akan menyediakan sajian sahur dan berbuka puasa bagi pelanggan Muslim di atas kapal.

Bagi menjaga privasi para tetamu wanita pula, pusat perubatan di atas kapal akan dikendalikan oleh beberapa pegawai perubatan wanita, seiring dengan Spa Crystal Life yang juga mempunyai tukang urut wanita.

MODEL YANG MERUBAH PERNIAGAAN KAPAL PESIARAN

Yang pasti, dari segi perniagaan, memasuki dunia halal akan membuka lebih banyak lagi pintu lain.

Mengulas mengenai landskap percutian bagi masyarakat Islam di Singapura dengan pada tahun-tahun akan datang, Encik Jinna berkata:

"Saya rasa ini sesuatu yang merubah perniagaan. Dengan kapal persiaran mesra halal ini, ramai masyarakat Muslim bukan sahaja akan mencari makanan halal malah dari perspektif gaya hidup.

"Singapura akan mencapai satu mercu tanda di mana Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan mendapat kelebihan di mana ramai pelancong ASEAN pada akhirnya akan datang ke Singapura. Dan Singapura boleh menjadi hab mesra Halal dalam dua hingga lima tahun akan datang. Itulah visinya."

Dream Cruises menambah, kapal World Dream itu akan menjadi "model bagi keseluruhan model global" bagi kapal pesiaran halal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan