Skip to main content

Gaya Hidup

Wirradiah Abdul Latiff, tempa nama di peringkat antarabangsa di Minggu Fesyen Sopan Dubai

Pereka fesyen Singapura, Wirradiah Abdul Latiff, berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dalam pertunjukan fesyen di Minggu Fesyen Sopan Dubai.

Anggaran Waktu Membaca:
Wirradiah Abdul Latiff, tempa nama di peringkat antarabangsa di Minggu Fesyen Sopan Dubai

Wirradiah Abdul Latiff di Minggu Fesyen Sopan Dubai. (Gambar-gambar: Zuraimi Kamsanee)

BERITAmediacorp: Pereka fesyen Singapura, Wirradiah Abdul Latiff, berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dalam pertunjukan fesyen di Minggu Fesyen Sopan Dubai.

Malah, hanya dalam tempoh dua hari sahaja selepas memperagakan koleksi terbarunya di pentas berprestij itu, Cik Wirradiah mencatat penjualan mencecah S$200,000.

Koleksi Ramadan yang diperagakan pada Jumaat (8 Mac), menampilkan 14 rekaan menarik.

Ia laris bak 'pisang goreng panas' dengan lebih 140 helai abaya dibeli oleh para pelanggan antarabangsa. Mereka termasuk pelanggan dari Rusia, Kanada dan Finland.

Wirradiah Abdul Latif di Minggu Fesyen Sopan Dubai. (Gambar: Zuraimi Kamsanee)

Cik Wirradiah memberitahu BERITAmediacorp, ini adalah kali pertama beliau menyertai pertunjukan fesyen bertaraf antarabangsa sejak memulakan perniagaan fesyen tiga tahun lalu.

"Ini adalah satu kejayaan yang cukup luar biasa buat diri saya kerana saya dapat memartabatkan jenama Singapura di persada antarabangsa dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk kita bersaing hebat di pasaran yang berprestij," Cik Wirradiah memberitahu BERITAmediacorp.

Koleksi Ramadan itu merupakan koleksi ketiga yang direka Cik Wirradiah. Lagi dua koleksi dilancarkan pada tahun lepas.

Wirradiah Abdul Latif di Minggu Fesyen Sopan Dubai. (Gambar: Zuraimi Kamsanee)

Abaya atau baju luaran panjang sememangnya popular, khususnya di negara-negara di Timur Tengah.

Namun, lambakan abaya di sana tidak menghambat semangat Cik Wirradiah untuk tetap memasarkan abaya-abaya rekaannya.

Malah, beliau merebut peluang untuk menghasilkan rekaan abaya kontemporari dengan sentuhan eksklusif.

"Saya telah melaburkan sebanyak S$100,000 untuk pelancaran koleksi Ramadan ini, dari segi penyelidikan strategik selama enam bulan dan perancangan pemasaran yang fokus kepada para VIP di negara Eropah, Timur Tengah dan Afrika," tambah beliau.

Wirradiah Abdul Latif di Minggu Fesyen Sopan Dubai. (Gambar: Zuraimi Kamsanee)

Sasaran utama beliau juga ditumpukan kepada para pelanggan berprofil tinggi, termasuk kerabat di raja Arab Saudi.

"Terlalu banyak pilihan rekaan abaya terutama dari segi harga yang cukup murah. Ini adalah satu cabaran yang nyata di pasaran Dubai dan di seluruh dunia tetapi saya tumpukan kepada rekaan kontemporari dan bermutu tinggi untuk para VIP dan pembeli yang menghargai rekaan jenama antarabangsa. Tambahan lagi, saya tidak menghasilkan koleksi pakaian dalam jumlah yang banyak," jelas Cik Wirradiah.

Harga bagi abaya di bawah jenama Wirradiah itu adalah antara S$500 dengan S$3,000.

Cik Wirradiah memberitahu BERITAmediacorp, terdapat beberapa rekaan beliau yang menerapkan penggunaan kain yang bersesuaian untuk para pembeli dari negara-negara Asia, terutama sekali di Singapura.

Walaupun baru sahaja selesai melancarkan koleksi terbaru, Cik Wirradiah enggan berpeluk tubuh.

Beliau sudahpun sibuk membuat perancangan bagi koleksi akan datang yang akan menggunakan teknologi dari Belgium dan ia dijangka dikeluarkan menjelang musim haji nanti.

"Koleksi akan datang ini kami akan menggunakan teknologi Belgium untuk merawat semua fabrik kami. Kami menggunakan Teknologi Antimikrob untuk mengawal bau sekaligus membuat pemakai berasa segar dan bersih. Ini bermakna, walaupun si pemakai berpeluh, baju mereka tidak akan berbau," kongsi Cik Wirradiah.

Cik Wirradiah sudah bermastautin di Dubai sejak 11 tahun lalu, mengikuti suaminya Encik Zuraimi Kamsanee yang bertugas sebagai Pengarah Urusan bagi Pengalaman Jenama.

Wirradiah Abdul Latif di Minggu Fesyen Sopan Dubai. (Gambar: Zuraimi Kamsanee)

Ibu kepada empat orang anak itu menguruskan dua buah jenama di bawah naungan syarikatnya, Natural Shifa International.

Cik Wirradiah juga mengasaskan jenama Shifa, bagi madu premium dari Yaman, Itali dan Kazakhstan.

Selain Cik Wirradiah, terdapat lagi dua jenama Singapura - iaitu Adriyanna Yarika dan Emma Melissa - yang juga membuat kemunculan di Minggu Fesyen Sopan Dubai yang berlangsung selama tiga hari dari Khamis (7 Mac) hingga Sabtu (9 Mac).

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita