Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

WHO tidak saran ambil pemanis bukan gula untuk kawal berat badan

Pemanis bukan gula seperti sakarin dan stevia tidak harus digunakan untuk mengawal berat badan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (15 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
GENEVA: Pemanis bukan gula seperti sakarin dan stevia tidak harus digunakan untuk mengawal berat badan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (15 Mei).

Dalam garis panduannya yang baru, WHO juga menyarankan supaya kesemua pemanis sintetik dan semula jadi atau yang diubah suai tidak digolongkan sebagai gula.

Pemanis merupakan pilihan alternatif tanpa kalori atau rendah kalori kepada gula dan lazimnya dipasarkan untuk membantu dalam usaha mengurangkan berat badan atau mengekalkan berat badan yang sihat.

Ini termasuk acesulfame K, aspartam, advantame, siklamat, neotame, sakarin, sucralose, stevia dan derivatif stevia.

Namun, saranan WHO tidak tertakluk kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis.

Dalam kenyataan nasihat yang dikeluarkan, WHO juga memberi amaran terhadap penggunaan pemanis sedemikian untuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

TIADA MANFAAT JANGKA PANJANG UNTUK KURANGKAN LEMAK

Penggunaan pemanis tanpa gula juga tidak memberikan sebarang manfaat jangka panjang untuk mengurangkan lemak dalam golongan dewasa atau kanak-kanak, menurut WHO dalam saranannya, yang berdasarkan dapatan daripada "semakan sistematik bukti sedia ada".

Hasil semakan itu juga mencadangkan bahawa mungkin ada potensi kesan yang tidak diingini daripada pengambilan pemanis untuk jangka panjang, termasuk kenaikan risiko menghidap penyakit kencing manis Jenis 2, penyakit jantung dan kematian dalam orang dewasa.

WHO bagaimanapun menyatakan saranannya itu tidak tertakluk kepada produk jagaan peribadi dan kebersihan yang mengandungi pemanis bukan gula, seperti ubat gigi, krim kulit dan ubat-ubatan.

Ia juga tidak tertakluk kepada gula rendah kalori dan gula dalam alkohol, yang mana ia adalah gula atau derivatif gula yang mengandungi kalori dan tidak dianggap sebagai pemanis bukan gula.
Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan