WHO seru produk tembakau, nikotin berperisa segera diharamkan

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar fail: Fabrice COFFRINI/AFP)
NEW YORK: Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan terbitan baharu serta menggesa pemerintah di seluruh dunia supaya segera mengharamkan semua perisa dalam produk tembakau dan nikotin termasuk rokok, shisha dan rokok elektronik bagi melindungi golongan muda daripada ketagihan dan penyakit.
Menurut Agensi Berita Amiriyah (WAM), perisa seperti pudina (menthol), gula-gula getah dan gula-gula kapas menutupi rasa kuat tembakau dan nikotin, sekali gus menjadikan produk berbahaya itu kelihatan mesra remaja.
Perisa bukan sahaja menyukarkan usaha berhenti merokok, malah dikaitkan dengan penyakit paru-paru kronik.
“Perisa mencetuskan gelombang baharu ketagihan dan ia wajar diharamkan.
“Ia menjejaskan kemajuan selama beberapa dekad untuk mengawal tembakau.
"Tanpa tindakan yang tegas, wabak tembakau global yang sudah meragut kira-kira lapan juta nyawa setiap tahun akan terus didorong oleh ketagihan yang diselindungi oleh perisa menarik," kata Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Terbitan terbaharu WHO mendedahkan bagaimana perisa dan aksesori seperti penapis kapsul serta titisan ‘klik’ dipasarkan untuk mengelak tindakan undang-undang dan menarik pengguna baharu.
Setakat ini, lebih 50 negara sudah mengharamkan tembakau berperisa; lebih 40 negara mengharamkan penjualan rokok elektronik; lima negara secara khusus mengharamkan pengewap(vape) pakai buang; dan tujuh negara mengharamkan perisa dalam rokok elektronik.
Namun, aksesori berperisa masih belum dikawal secara meluas.
Perisa dikenal pasti sebagai antara punca utama golongan muda mula mencuba produk tembakau dan nikotin.
WHO turut menegaskan bahawa produk tembakau mendedahkan pengguna kepada bahan kimia penyebab kanser dan perlu dikawal selia dengan ketat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.