WGS semarakkan Bulan Bahasa 2026 menerusi kempen budaya bermula 15 Ogos
Wisma Geylang Serai (WGS) akan menyemarakkan Bulan Bahasa 2026 menerusi rangkaian kegiatan seni dan budaya dari 15 Ogos hingga 10 Oktober 2026. (Gambar: WGS)
- Wisma Geylang Serai (WGS) akan menganjurkan Bulan Bahasa 2026 dengan pelbagai program seni dan budaya selama hampir dua bulan di Singapura.
- Antara acara utama ialah pementasan bangsawan pertama di WGS, forum bahasa, pertandingan dikir barat, serta bengkel muzik tradisional yang melibatkan pelbagai pihak termasuk Nadi Singapura dan Persekutuan Dikir Barat Singapura.
- Kempen ini bertujuan mengukuhkan peranan WGS sebagai hab budaya, menyemai penghargaan terhadap bahasa Melayu, dan menggalakkan penyertaan masyarakat dari pelbagai latar belakang.
- Acara kemuncak pada 10 Oktober akan menampilkan percubaan mencipta rekod baharu dalam Buku Rekod Singapura, menandakan penutup kempen Budaya Milik Kita tahun kedua.
Antara kegiatan menarik yang bakal diketengahkan termasuk pementasan bangsawan yang akan diadakan di WGS buat julung-julung kalinya.
Kempen 'Budaya Milik Kita', yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 10 Oktober, menampilkan lima program utama merangkumi seni persembahan, muzik, bahasa dan kegiatan masyarakat.
Ini juga merupakan tahun kedua WGS menganjurkan kempen Bulan Bahasa versinya sendiri, dengan barisan program yang diperluaskan bagi mengukuhkan peranannya sebagai sebuah hab sosial, seni dan warisan budaya Singapura.
Menyokong tema Bulan Bahasa 2026, iaitu 'Cita. Citra. Cinta', WGS turut berharap ia dapat menyemai penghargaan yang lebih mendalam terhadap Bahasa Melayu, di samping menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam memastikan budaya terus hidup dan relevan.
Pada masa yang sama, kempen dengan slogan "Hidupkan Bahasa, Semarakkan Budaya" menekankan bahawa budaya bukanlah sekadar sesuatu yang diwarisi, tetapi juga sesuatu yang perlu “dihidupkan, dikongsi dan diraikan bersama”, seperti dipetik kenyataan media WGS.
BANGSAWAN DIPENTASKAN BUAT JULUNG-JULUNG KALINYA
Bangsawan Kencana Sakti pada Sabtu (15 Ogos) membuka acara bagi kempen 'Budaya Milik Kita', sekali gus menjadi pementasan bangsawan pertama dan utama di WGS.
Ditulis dan diarahkan oleh penerima Pingat Budaya Nadiputra Almahdi, Bangsawan Kencana Sakti turut menampilkan kemunculan khas pelakon veteran Azman Shariff.
Menurut kenyataan media WGS, pementasan tersebut mengisahkan dua kerajaan yang bermusuhan akibat konflik yang tercetus daripada peristiwa beberapa dekad lalu.
Mengetengahkan tema kekeluargaan, ketabahan dan pengorbanan, WGS berharap seni bangsawan dapat diperkenalkan kepada khalayak ramai menerusi pementasan tersebut.
Pengurus Besar WGS, Mokhtar Jaffar, menzahirkan harapan kempen budaya itu mendorong orang ramai untuk mendalami budaya Melayu.
“Bahasa, warisan dan kesenian mencerminkan identiti kita. Menerusi Budaya Milik Kita, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menghayati kekayaan budaya Melayu dengan cara yang bermakna dan mudah didekati,” kata beliau.
“Budaya bukan sekadar warisan untuk dikenang, tetapi sesuatu yang menjadi milik kita semua dan boleh diperkukuh apabila ia dihayati, dikongsi dan diraikan bersama,” tambahnya.
BAHASA, DIKIR BARAT DAN MUZIK TRADISIONAL
Selain pementasan bangsawan, acara 'Sepetang Bersama Triduta' pada 23 Ogos akan menghimpunkan Duta Bahasa, pendidik dan penggiat budaya menerusi forum, muzik dan puisi.
Forum bertemakan 'Language and Culture is Soul of the Nation' itu akan membincangkan hubungan antara bahasa dengan identiti budaya, selain usaha memastikan bahasa Melayu terus hidup dan diwarisi generasi akan datang.
Sementara itu, GeylangGang Dikir pada 12 September pula akan menghimpunkan kumpulan dikir barat dari seluruh Singapura dalam pertandingan yang dianjurkan secara bersama oleh Persekutuan Dikir Barat Singapura.
Menurut kenyataan media WGS, pertandingan tersebut bertujuan menyediakan wadah bagi para penggiat seni berpengalaman dan bakat baharu untuk mengetengahkan kreativiti serta kemahiran mereka dalam seni dikir barat.
Selain itu, bengkel Rentak Akar pada 26 dan 27 September akan memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati seni tradisional secara langsung.
Diterajui Nadi Singapura, bengkel tersebut memberi para peserta kesempatan untuk mencuba sendiri alat genderang Melayu serta mengenali irama dan muzik tradisional Nusantara.
Sesi pertama terbuka kepada semua peringkat usia, manakala sesi kedua dikhususkan kepada mereka yang berusia 13 tahun ke atas.
PERCUBAAN CIPTA REKOD SINGAPURA
Kempen selama hampir dua bulan itu akan ditutup dengan Laman Warna pada 10 Oktober, yang menampilkan kegiatan seni dan kraf untuk keluarga serta masyarakat.
Acara kemuncak itu akan turut menyaksikan percubaan untuk mencatat rekod baharu dalam Buku Rekod Singapura. Butiran berhubung rekod yang cuba dicipta itu akan diumumkan kelak.
Menurut kenyataan media WGS, rangkaian program yang dianjurkan bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat merentas generasi dan latar belakang, sekali gus memastikan bahasa dan budaya Melayu terus berkembang melalui pengalaman bersama.
Menerusi Budaya Milik Kita, WGS juga berharap masyarakat melihat warisan bukan sekadar sesuatu dari masa lalu, tetapi sebagai sebahagian daripada identiti yang terus berkembang dan boleh dibentuk oleh setiap generasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.