WGS anjur Malam Citrawara iktiraf penggiat seni Melayu tempatan
Suasana di Wisma Geylang Serai (WGS) akan lebih bersemarak pada malam minggu depan (25 Sep) dengan penganjuran sebuah acara yang akan melestarikan kesenian dan memartabatkan kebudayaan dan warisan Melayu.

(Gambar: WGS)
Malam Citrawara, yang diterbitkan oleh A’Arts Repertoire sempena menyambut dan meraikan Bulan Bahasa tahun ini, bakal mempersembahkan himpunan lagu-lagu klasik dan tarian Melayu yang disusun khas.
Selain menampilkan persembahan menarik oleh Amanca Tumasek, Elfiee Ismail, Anis Qurratu’Aini Azman serta Orkes Pulau Hujung, para penonton juga dapat menyaksikan penyertaan Sekolah Rendah Telok Kurau dan kumpulan tari Kirana Seni dalam acara tersebut.
Dijayakan oleh tenaga anak seni seramai 52 penghibur serta kakitangan produksi itu, persembahan yang bakal berlangsung di Anjung@WGS itu dihoskan oleh pelakon tempatan, Awaliyah Jaafar dan Najib Soiman.
"Malam Citrawara mengiktiraf penggiat-penggiat seni kampung kita. Dari yang muda hingga ke dewasa. Tanpa mereka, maka layu dan pudarlah kesenian bangsa kita. Bak kata pepatah Almarhum Cikgu Zaidy, tinggilah tinggi, puncak gunung Mahameru, tinggilah lagi maruah bangsaku," menurut Pasukan Pengurusan WGS dalam kenyataan medianya.
Ini merupakan tahun keempat WGS menyokong Bulan Bahasa dengan menganjurkan pelbagai acara serta kegiatan bagi memartabatkan bahasa ibunda menerusi acara-acara berteraskan budaya dan seni.
Malam Citrawara adalah sebuah acara yang disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Majlis Bahasa.
Ia dibuka kepada umum, dengan pendaftaran boleh dibuat melalui Peatix.
Malam Citrawara akan diadakan pada Ahad, 25 September 2022, pukul 8.00 malam di Anjung@WGS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.