Skip to main content

Gaya Hidup

Warung di Batu Pahat ini jual nasi gaul, makanan tradisional Suku Banjar yang hampir "pupus"

‘Nasi gaul’, jika disebut, tidak ramai yang mengenalinya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hidangan tradisional utama suku Banjar pada majlis keraian ini hampir “pupus” kerana hanya segelintir sahaja daripada masyarakat itu yang tahu dan mahir menyediakan nasi berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Warung di Batu Pahat ini jual nasi gaul, makanan tradisional Suku Banjar yang hampir "pupus"

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 05:50PM Dikemas Kini : 04 Apr 2021 05:52PM

BATU PAHAT: ‘Nasi gaul’, jika disebut, tidak ramai yang mengenalinya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hidangan tradisional utama suku Banjar pada majlis keraian ini hampir “pupus” kerana hanya segelintir sahaja daripada masyarakat itu yang tahu dan mahir menyediakan nasi berkenaan.

Diperbuat daripada beras basmati yang dimasak dalam air rebusan daging atau ayam dan berlaukkan daging atau ayam rebus serta acar banjar, nasi gaul ini cukup popular dalam kalangan keturunan Banjar, khususnya di Johor dan Selangor, pada suatu ketika dahulu.

Seiring peredaran zaman, tempat nasi gaul pada majlis keramaian kini diambil alih oleh nasi beriani dan melihat keadaan itu, seorang pengusaha makanan berusaha mempopularkan kembali juadah berkenaan dengan menyediakan nasi gaul di warungnya, Warong Kulaan, di Tongkang Pechah.

Encik Arbahai Abd Rashid, 63, yang lebih dikenali sebagai Haji Bahai, berkata masyarakat memilih menghidangkan nasi beriani pada majlis keramaian kerana kepelbagaian lauk memandangkan nasi gaul hanya mempunyai dua jenis lauk iaitu daging atau ayam rebus serta kuah dalca,

“Dipanggil nasi gaul kerana nasi digaul dengan acar banjar yang diperbuat daripada hirisan timun, tomato, bawang, lada serta belacan yang dibakar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hanya menyediakan hidangan itu dua kali sebulan iaitu pada Ahad minggu pertama dan ketiga.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan, dia melakukan sedikit kelainan terhadap menu itu dengan menambah satu lagi lauk iaitu daging kambing.

Menurutnya menu nasi gaul yang dijualnya kini semakin mendapat sambutan.

Tinjauan Bernama di sekitar daerah itu mendapati warung itu satu-satunya gerai makan yang menyediakan masakan tradisional masyarakat Banjar tersebut.

Komuniti Banjar yang tinggal di daerah itu dikatakan berasal dari Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita