Warong Nasi Pariaman kembali untuk 3 hari sahaja sempena pesta makanan The Great Food Assembly
Warong Nasi Pariaman pertama kali ditubuhkan pada 1948. (Gambar: Instagram/pariamanmasakanpadang)
This audio is generated by an AI tool.
Kedai makan ikonik itu, yang menutup restoran lamanya di North Bridge Road pada Januari lalu selepas beroperasi selama 78 tahun, akan kembali dengan membuka gerai sementara selama tiga hari di The Great Food Assembly. Ia merupakan satu pesta makanan baharu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura dari 3 hingga 5 Julai.
Acara itu akan menghimpunkan gabungan jenama makanan dan minuman (F&B) milik orang Islam dan berstatus halal, termasuk kafe Pomegranate, kedai roti Konditori, serta kafe burger dan sandwic Binge.
Beberapa perniagaan yang mengambil bahagian malah akan menampilkan versi mini restoran mereka di tapak acara itu, lengkap dengan hiasan dan jenama masing-masing.
Bagaimanapun, Warong Nasi Pariaman akan beroperasi dari gerai standard. Acara tersebut juga akan menyediakan ruang tempat duduk untuk pengunjung menikmati hidangan mereka.
Ketika bercakap kepada 8days.sg, pemilik bersama generasi ketiga Warong Nasi Pariaman, Lenny Emrin, 51 tahun, berkata keluarganya diundang oleh pihak penganjur untuk menyertai acara tersebut.
"Susulan penutupan kedai Warong Pariaman, kami diundang oleh penganjur, The Great Food Assembly, untuk menjadi sebahagian daripada pameran mereka di Suntec dari 3 hingga 5 Julai," katanya.
"Acara ini memberi peluang kepada kami untuk terus berkongsi warisan kaya dan resipi tradisional Warong Pariaman dengan pelanggan setia serta pengunjung baharu."
Menurut Cik Lenny, undangan itu dihulurkan ketika ramai pelanggan masih berharap untuk melihat kedai makan kegemaran ramai itu kembali dalam apa jua bentuk sekalipun.
"Ramai pelanggan meminta kami membuka semula kedai," katanya.
"Ini memberi kami peluang untuk melakukannya lagi, walaupun hanya untuk tiga hari."
Rasa rindu itu nampaknya tidak bertepuk sebelah tangan.
Apabila ditanya apakah yang paling dirindui oleh keluarga itu sepanjang mengendalikan Warong Nasi Pariaman, Cik Lenny berkata ia adalah para pelanggan mereka.
"Apa yang paling kami rindui adalah pelanggan setia kami daripada pelbagai lapisan masyarakat dan generasi yang berbeza. Ramai daripada mereka bukan lagi sekadar pelanggan; mereka telah menjadi seperti keluarga dan rakan-rakan kami. Kami amat merindui suasana di restoran dan hubungan yang kami bina selama ini," kongsinya.
Perniagaan itu dimulakan oleh datuk Cik Lenny, Haji Isrin, yang berhijrah dari Pariaman di wilayah Sumatera Barat, Indonesia ke Singapura. Restoran itu kemudian diuruskan oleh generasi kedua sebelum diwariskan kepada Cik Lenny dan kakaknya, Yanty Emrin, 52 tahun.
Walaupun pihak keluarga tidak pernah mendedahkan secara terbuka punca penutupan itu, Cik Lenny berkata mengendalikan kedai makan yang sudah lama bertapak itu menjadi semakin mencabar dari segi fizikal saban tahun.
"Saya rasa, mungkin semua dah penat," katanya, sambil menambah bahawa rutin awal pagi dan memasak pada skala besar akhirnya mendatangkan kesan terhadap keluarga itu.
"Anda perlu mula membuat persiapan seawal pagi, dan memang meletihkan untuk memasak dalam jumlah yang begitu besar setiap hari."
Tuntutan fizikal bukanlah satu-satunya cabaran. Cik Yanty turut menyebut peningkatan kos bahan mentah sebagai satu lagi faktor di sebalik penutupan itu. Beliau menjelaskan bahawa masakan nasi padang tradisional Pariaman sangat bergantung kepada santan segar berbanding santan kotak, yang harganya menjadi semakin mahal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun keluarga itu ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk membuka semula sebuah restoran tetap, mereka berharap kedai sementara yang akan datang ini dapat membantu mengekalkan legasi Warong Nasi Pariaman.
"Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat terus menjadi sebahagian daripada warisan makanan Singapura dan memastikan legasi Warong Pariaman terus hidup untuk generasi akan datang," katanya.
Cik Lenny mendedahkan bahawa sebahagian besar anggota keluarga kini sedang berehat dan melakukan kerja sambilan selepas penutupan restoran itu. Namun, ada yang masih menerima tempahan katering kecil-kecilan jika ada permintaan. Warong Nasi Pariaman juga tetap menerima tempahan untuk katering dan majlis persendirian, tertakluk kepada kelapangan masa keluarga tersebut.
Beliau menambah bahawa beberapa pihak sudah mendekati mereka untuk membuka semula Warong Nasi Pariaman sebagai restoran tetap.
"Kami sangat bersyukur atas sokongan dan minat orang ramai, tetapi buat masa ini, belum ada apa-apa yang diputuskan," katanya.
Walaupun keluarga itu bersikap terbuka tentang rancangan masa depan mereka, ada satu topik yang mereka pilih untuk tidak ulas.
Mereka enggan mengulas apabila ditanya mengenai Sederhana, iaitu restoran nasi padang Indonesia yang kini menduduki bekas premis Warong Nasi Pariaman, serta laporan bahawa beberapa bekas tukang masak Warong Pariaman kini bekerja di sana.
"Soalan berkaitan Sederhana tidak relevan, jadi kami tidak akan menjawabnya," kata pihak keluarga.
Bagaimanapun, buat masa ini, keutamaan keluarga adalah mempersiap generasi seterusnya untuk meneruskan perniagaan.
"Kami memberi tumpuan kepada penyertaan di pelbagai acara buat masa ini, dan kami mahu melatih generasi keempat terlebih dahulu," kata Cik Lenny.
Generasi keempat yang dimaksudkan adalah anak-anak beliau dan Cik Yanty. Antaranya termasuklah anak lelaki Cik Yanty, Aiman, 21 tahun, dan Adam, 19 tahun, serta anak perempuan Lenny yang berusia 18 tahun, Safa. Kesemua mereka akan membantu di kedai sementara Suntec nanti.
"Jika anda datang ke acara itu, anda dapat bertemu dengan generasi keempat kami juga," katanya sambil ketawa.
Selain belajar memasak, ketiga-tiga belia itu juga akan diajar resipi tradisional Padang dan teknik memasak Warong Nasi Pariaman, serta seluk-beluk menguruskan perniagaan keluarga itu.
Pada masa yang sama, Cik Lenny berkata pihak keluarga juga terbuka untuk belajar daripada generasi muda, terutamanya dari segi memodenkan perniagaan mereka.
Keluarga itu berharap dengan menyerahkan perniagaan itu kepada generasi keempat, resipi dan tradisi mereka akan terus diwarisi turun-temurun.
Pengunjung boleh memesan lauk-pauk tersebut secara berasingan seperti di kedai nasi padang biasa, atau memilih hidangan set. Set Rendang dijual pada harga $13, manakala Set Ayam Bakar dan Set Ayam Gulai masing-masing berharga $14.
Walaupun Warong Nasi Pariaman tidak akan menggunakan kaedah memasak berasaskan arang seperti di restoran lama mereka, Cik Lenny memberi jaminan bahawa semua hidangan tetap akan disediakan menggunakan resipi asli keluarga.
Hidangan tersebut akan dimasak segar di tapak acara sepanjang pesta tiga hari itu, tetapi jumlahnya terhad setiap hari. Oleh itu, para peminat Warong Nasi Pariaman yang ingin mengubati rindu mereka dinasihati agar datang awal sebelum ia habis terjual.
Pesta The Great Food Assembly akan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai di Dewan 405, Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura. Waktu operasi adalah dari pukul 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam setiap hari. Masuk adalah percuma. Untuk pertanyaan katering, Warong Nasi Pariaman boleh dihubungi di talian 9833 2746.
Kisah ini pada asalnya diterbitkan di 8Days. Untuk lebih banyak kisah 8Days, layari https://www.8days.sg/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.