Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Warisan 'ngoca' Negeri Sembilan usaha lestarikan sungai

Sungai bukan sahaja menjadi sumber air dan rezeki khususnya untuk masyarakat sekitar tetapi juga mempunyai pelbagai manfaat.

Anggaran Waktu Membaca:
Warisan 'ngoca' Negeri Sembilan usaha lestarikan sungai

Mengoca, antara kegiatan sosial cukup popular di Negeri Sembilan, Malaysia, juga dianggap sebagai senaman yang boleh menyihatkan badan kerana peserta perlu membongkokkan badan serta berlari-lari di dalam selut untuk menangkap ikan yang berada di dalam petak sawah tersebut. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Sep 2022 10:41AM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 10:41AM
KUALA PILAH: Sungai bukan sahaja menjadi sumber air dan rezeki khususnya untuk masyarakat sekitar tetapi juga mempunyai pelbagai manfaat.

Di samping hasil tangkapan terutamanya ikan, anugerah alam ini juga boleh dijadikan lokasi untuk banyak aktiviti sosial dan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang.

Bagi penduduk di Negeri Sembilan, antara aktiviti sosial yang begitu popular sejak dahulu ialah ‘ngoca’, iaitu aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan lazimnya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam.

Kebiasaannya, aktiviti mengoca ini diadakan selepas musim menuai padi apabila kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.

IBARAT PESTA

Bernama sempat melihat betapa meriahnya aktiviti ngoca ketika menyertai Ekspedisi Sumber Air Negara Sungai Muar anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 22 hingga 25 Ogos lalu.

Ekspedisi itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga dan melestarikan sungai di dalam negara termasuk lembangan Sungai Muar.

Bayangkan, 20 orang peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu perlu ‘bergelut’ di dalam petak sawah berkeluasan 20x50 meter bagi merebut pelbagai jenis ikan sungai yang terdapat di dalamnya seperti sepat, puyu dan keli.

Aktiviti mengoca ini bukan sahaja mencabar bahkan meletihkan kerana dilakukan ketika matahari memancar terik di atas kepala, namun rasa keseronokan serta keterujaan mengatasi segalanya.

Mengoca juga dianggap sebagai senaman yang boleh menyihatkan badan kerana peserta perlu membongkokkan badan serta berlari-lari di dalam selut untuk menangkap ikan yang berada di dalam petak sawah tersebut.

Paling utama, aktiviti sebegini dapat mengeratkan hubungan antara penduduk kampung kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya.

JANGAN LUPA BUDAYA

Seperti aktiviti tradisi yang lain, mengoca juga sebenarnya semakin hari semakin dilupakan khususnya oleh generasi muda zaman kini, dengan hanya segelintir sahaja yang masih meminatinya.

Menurut jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS) bagi daerah Kuala Pilah, Mohd Zamri Ali, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan ianya tidak pupus.

“Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Pilah dan pelbagai pihak termasuk JPSNS berusaha untuk terus memartabatkan aktiviti mengoca ini dengan menjadikan Perkampungan Budaya Terachi sebagai tapak utama aktiviti tahunan ini.

“Selain itu, amat penting untuk kita terus menjaga kebersihan dan kemandirian sungai kita. Ini kerana sekiranya berlaku pencemaran, maka secara tidak langsung ianya akan merosakkan hasil tanaman sawah padi dan menjejaskan rantaian bekalan makanan orang ramai," katanya.

Beliau menambah aktiviti mengoca berkait rapat dengan kepentingan menjaga sumber air sungai.

“Bagi golongan pesawah padi khususnya, tapak sawah padi mereka akan menggunakan air dari saliran tali air berdekatan dengan air tersebut biasanya berasal dari aliran sungai yang berhampiran.

“Bagi penduduk di sini, punca air sungai yang masuk ke tali air tapak sawah mereka berasal dari Sungai Terachi yang hulunya terletak di Gunung Angsi di daerah ini.

“Sungai Terachi adalah antara lembangan Sungai Muar yang merupakan sungai terpanjang di Negeri Sembilan yang merentasi beberapa daerah iaitu Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. Ia seterusnya mengalir ke Johor melalui daerah Segamat dan berakhir di muara Sungai Muar di daerah Muar,” terang beliau.

AKTIVITI SEPANJANG TAHUN

Apabila ditanya mengenai pemilihan Perkampungan Budaya Terachi sebagai tapak utama aktiviti mengoca, Encik Mohd Zamri berkata ia berikutan tapak sawah di situ merupakan tanah milik kerajaan negeri di bawah kawalan Pegawai Daerah Kuala Pilah.

Oleh yang demikian, sebarang aktiviti budaya yang dilakukan tidak mengganggu aktiviti tanaman sawah padi penduduk kampung sekitar.

"Kebiasaannya, aktiviti mengoca ini akan dibuat dua tahun sekali iaitu selepas pesawah selesai menuai padi di sawah mereka. Namun bezanya di sini, kita boleh lakukan aktiviti mengoca ini sepanjang tahun kerana lapan tapak sawah padi di sini sudah diwartawakan sepenuhnya bagi tujuan berkenaan.

"Pembinaan tapak mengoca di sini dimulakan sejak tahun 2020 selepas siri kejayaan program pesta bola mengoca yang diadakan untuk orang ramai di mukim Juasseh pada tahun 2019. Kerajaan negeri bersetuju untuk membina tapak mengoca kekal mengunakan peruntukan dari Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kos RM450,000 (S$139,000) yang merangkumi kerja-kerja pembinaan lapan kolam ngoca, tali air sekunder, pintu kawalan air serta 'farm irrigation turnout' (FIT).

"Selain itu, sebanyaj RM415,000 (S$128,000) turut diperuntukkan bagi naik taraf parit buang serta pembinaan tali air sepanjang 130 meter supaya peserta boleh berendam secara beramai-ramai, membersihkan diri yang penuh berlumpur sambil menggamit kembali nostalgia seperti yang dirasai orang zaman dahulu," katanya.

Beliau pada masa sama menambah, pelbagai aktiviti lain turut mengiringi aktiviti mengoca sebagai acara utama seperti menangkap itik, gusti bantal, tarik tali dan bermain bola sepak di dalam tapak sawah yang disediakan.

TANGGUNGJAWAB SEMUA

Sementara itu, jurutera di Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Nur Hareza Redzuan, pula berpandangan usaha memelihara dan memulihara sumber air sungai bukan sahaja terletak di bahu pihak berwajib sebaliknya seluruh ahli masyarakat.

Berpendapat aktiviti tradisional seperti mengoca ini perlu dikekalkan sebagai aktiviti tradisi, beliau berkata ia secara langsung dapat mendidik penduduk untuk memahami keperluan menjaga sungai yang menjadi sumber air bagi keperluan domestik dan pertanian di sini.

"Penduduk di Negeri Sembilan ini amat beruntung kerana JPS negeri sentiasa peka dengan isu semasa berkaitan kepentingan Sungai Muar. Kita juga boleh tahu kualiti sungai di sini berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan kerana terdapat banyak loji rawatan air (LRA) terawat dibina di sepanjang lembangan Sungai Muar di sini.

“Di negeri ini sahaja, banyak LRA terawat yang berfungsi mengagihkan bekalan air paip bersih kepada pengguna sekitar dan ini jelas menunjukkan komitmen pihak berwajib dalam menjaga kepentingan sumber air untuk rakyat,” ujarnya.
Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa