Warga SG pamer kehebatan kawal layang-layang ikut koreografi di peringkat antarabangsa

Kumpulan sukan layang-layang 'Team Airnergy' di Marina Barrage. (Gambar: Mohammad Zulkifli)
SINGAPURA: Sebut sahaja tentang sukan, apa yang timbul dalam fikiran pasti bola sepak, badminton, sukan renang dan sebagainya.
'Sport kite flying' atau sukan layang-layang pula jarang dibicarakan sedangkan ia juga memerlukan kemahiran fizikal, tumpuan mental dan daya kreativiti yang tinggi - sama seperti kebanyakan jenis sukan kompetitif lain.
Sukan itu bahkan telah membawa Encik Mohd Zulkifli, 51 tahun, dan Encik Adenan Haron, 57 tahun, sejauh Taiwan, Perancis dan Abu Dhabi untuk mengibarkan bendera Singapura dalam pertandingan sukan itu.
Encik Zulkifli dan Encik Adenan merupakan anggota Persatuan Layang-Layang Singapura (SKA). Mereka juga menganggotai kumpulan sukan layang-layang 'Team Airnergy' yang ditubuhkan pada tahun 2010.

KEUNIKAN SUKAN LAYANG-LAYANG
Pada umumnya, pemain sukan layang-layang boleh bermain secara solo, berpasangan atau berkumpulan yang terdiri daripada sehingga 100 anggota.
Mereka harus mempamerkan kemahiran mengawal layang-layang menerusi satu pertunjukan dengan koreografinya disiapkan si pemain sendiri.
Koreografi yang dipentaskan pula lazimnya melibatkan pelbagai pergerakan layang-layang yang mengikut rentak muzik. Ini tentunya tidak mudah kerana keadaan angin sukar diramal.
"Sukan layang-layang ini bukan mudah. Kita harus faham aerodinamik layang-layang itu. Bagaimana ia terbang di langit?" kongsi Encik Zulkifli yang sudah berkecimpung dalam sukan layang-layang selama 28 tahun.
"Kedua, kita harus ada kekuatan fizikal dan kesihatan (yang baik). Ketiga, kita harus ada koordinasi otak dan mata," tambah beliau.
Bersaing secara berkumpulan juga membawa cabaran tersendiri, kata Encik Adenan, yang aktif dalam sukan ini selama lebih 10 tahun.
"Kalau terbangkan seorang diri (saya) okay, tidak ada masalah. Tapi bila kita dah ada dengan kumpulan, semuanya harus sama… Pergerakan kita semua sama, kelajuan sama," ujarnya.

DETIK PERMULAAN CUBA SUKAN LAYANG-LAYANG
Encik Zulkifli berminat dengan layang-layang sejak zaman sekolah lagi. Ketika itu, beliau mula bermain dengan layang-layang kecil yang hanya menggunakan satu tali, sebelum perlahan-lahan beralih kepada layang-layang yang lebih besar dan sesuai untuk mereka yang sudah mahir.
Encik Zulkifli terus menimba ilmu menerbangkan layang-layang melalui YouTube, sehinggalah beliau menggagahkan diri untuk mengambil bahagian dalam festival layang-layang pertamanya di Borneo pada tahun 2007.
Minat Encik Adenan pula mula berputik pada 2017, iaitu ketika beliau melihat seseorang bermain 'parafoil'. Peluang mencuba 'parafoil' pada masa itu membangkitkan minatnya terhadap sukan layang-layang ini.
"Saya nampak kumpulan Zul dan pada masa itu saya belum masuk kumpulannya lagi. Saya pun macam kagum. Saya nak belajar, jadi saya belajar. Belajar pun dari YouTube jugak... Setahun kemudian Zul tawarkan saya masuk kumpulannya," cerita Encik Adenan.
GALAK GOLONGAN MUDA CUBA SUKAN INI
Persatuan Layang-Layang Singapura (SKA) sering bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk menganjurkan bengkel layang-layang dengan harapan dapat memupuk minat para pelajar dalam sukan ini.
"Layang-layang ini sebenarnya satu terapi untuk minda, untuk kesihatan kita. Sebab waktu kita tarik layang-layang untuk terbang tinggi, semua (otot) bergerak, gerak kiri kanan," luah Encik Adenan.
"Bila kita main layang-layang, kita dekatkan diri dengan alam semula jadi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.