Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita Melayu Malaysia ini miliki tukikan istimewa niaga kuih Cina

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jan 2025 10:45PM Dikemas Kini : 29 Jan 2025 10:46PM
KEDAH: Antara negara di dunia yang ramai penduduk etnik Cina ialah Malaysia, dengan lebih tujuh juta penduduk Cina.

Seperti di Singapura, Tahun Baharu Cina adalah antara perayaan terbesar yang disambut di Malaysia setiap tahun.

Bagi seorang peniaga Melayu di Malaysia, menjual kuih Cina malah menjadi kemahirannya yang istimewa, lebih-lebih lagi bagi musim Tahun Baharu Cina.

Jamilah Ahmad, seorang suri rumah di pulau Langkawi di utara Kedah, mempunyai tukikan bidang niaga cukup unik.

Kepakarannya ialah membuat kek beras tradisional Cina dipanggil 'Nian Gao', yang mendapat sambutan cukup hangat di media sosial.

 
'Nian Gao' melambangkan tuah dan kemakmuran dan biasanya dimakan keluarga-keluarga Cina semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

Pun begitu, Cik Jamilah berkata, masyarakat Melayu turut menikmati juadah yang dalam bahasa Melayu dipanggil Kueh Bakul.

Cik Jamilah berkata: "Sebenarnya Kak Jamilah memang suka makan kueh bakul. Daripada dulu, masyarakat Langkawi memang, kita dengan bangsa Cina, memang kita kawan erat. Maksudnya daripada situ, baru kita belajar, dia orang bagi ilmu.

"Sebab itu Kak Jamilah nak sifat nak untuk membantu orang kita, budaya kita bersifat muhibbah, semua boleh makan tanpa was-was."
 
Proses membuat 'Nian Gao' sebenarnya bukanlah mudah.

Adunan yang mengandungi gula, tepung beras dan air perlu disediakan pada malam sebelumnya.

Mengukusnya sahaja mengambil masa cukup lama - kira-kira 12 jam!

Malah, mengukus 'Nian Gao' perlu dilakukan pada suhu rendah.

Menurut Cik Jamilah, selepas 'Nian Gao' disejukkan, tugas seterusnya adalah mengeluarkan kek itu daripada acuan dan memotong lebihan daun pisang di sekelilingnya.

 
Dijual pada sekitar S$4, Nian Gao buatan Cik Jamilah habis dijual sebelum tengah hari setiap hari, dan semasa Tahun Baharu Cina, ramai pelanggan Cina membelinya untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan Muslim.

"Kawan saya pun ada bagi. Popular. Ramai I tengok dorang beli. Muhibbah, walaupun kita Raya Cina ke, Raya India ke, Raya Melayu ke," tambahnya.
 
Keunikan kepelbagaian budaya inilah yang ingin ditonjolkan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim kepada seluruh dunia.

"Terdapat perayaan-perayaan yang disambut oleh pelbagai masyarakat di sini. Dan saya juga gembira bahawa kita semua mengalu-alukan dan menerimanya sebagai sebahagian budaya Malaysia. Kami bersedia menyambut rakan dari luar negara," kata PM Anwar.

Semua ini sedang kerajaan Malaysia terus berusaha mempromosikan pelbagai pesta dan budaya tempatan bagi memenuhi sasaran menarik lebih 31 juta pelancong tahun ini.
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan