Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita Malaysia menang siri terbaru 'The Great British Bake Off'

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Malaysia menang siri terbaru 'The Great British Bake Off'

(Gambar: Facebook/The Great British Bake Off)

Diterbitkan : 17 Nov 2022 10:37PM Dikemas Kini : 17 Nov 2022 10:37PM
KUALA LUMPUR: Seorang penyelidik kardiovaskular yang berasal dari Malaysia, Syabira Yusoff memenangi musim ke-13 program popular, 'The Great British Bake Off'.

Wanita berusia 32 tahun itu, yang berpindah ke Britain pada 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) diumumkan sebagai pemenang pada episod akhir pada malam Selasa (15 Nov), menewaskan Abdul Rehman Sharif, 29 tahun, dan Sandro Farmhouse, 30 tahun, lapor Astro Awani.

Syabira berkata, kemenangan itu adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya, sambil memaklumkan dia mencipta resipi pada pukul 5.00 pagi dan merujuk Instagram dan Pinterest bagi mendapatkan inspirasi.

“Semua kerja keras, percubaan dan kesilapan, semuanya berbaloi. Saya sangat berbangga,” kata penyelidik di King’s College London, yang mula membuat kek pada 2017 bagi melepaskan rasa rindu pada kampung halaman.

Merupakan peserta kegemaran peminat sejak awal, Syabira digambarkan sebagai seorang pembuat kek yang unik dengan memberi rasa Malaysia kepada masakan klasik British, seperti menggunakan rendang ayam dalam Cornish pasties, menurut Astro Awani.

“Ada beberapa rasa yang kami tidak pernah temui sebelum ini dan tidak mungkin akan temui lagi. Dia seorang pembuat kek yang luar biasa," kata salah seorang juri rancangan itu, chef selebriti Paul Hollywood.

Untuk cabaran penutup, Syabira mereka 'arca' orang utan besar yang memegang hutan hujan, sesuai dengan tema 'Planet Indah Kami'.

Ia diperbuat daripada lapisan 'shortbread tarragon' dan 'Genoese sponge' berperisa lada hitam dengan sandwic jem beri hitam.

“(Arca) Orang utan itu bijak. Ia bukan hasil paling kemas yang pernah saya lihat, tetapi rasanya sangat hebat," tambah Hollywood lagi.
Sumber : Sumber Web/AE/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa