Wanita ini tawan lebih 80 gunung, tubuh kumpulan pendakian khas buat kaum hawa
Cik Hazleen Ahmad mula mendaki secara kebetulan.
Cik Hazleen Ahmad di Rainbow Valley di Fujairah, Amiriah Arab Bersatu. (Gambar: Amazing Trekkers Club)
Segalanya bermula dengan satu masalah kesihatan pada 2011. Semasa dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan pada bahagian kaki, Cik Hazleen mengalami rasa sakit di tekak yang rupa-rupanya merupakan sesuatu yang lebih serius – bengkak yang bernanah (abses).
“Saya beritahu suami ketika itu, ‘Saya rasa saya akan mati,’ dan dia kata saya berlebihan,” kenang Cik Hazleen. “Saya suruh dia bawa saya ke bilik kecemasan kerana saya tidak boleh bernafas. Saya rasa seperti ada sesuatu yang terbakar.
“Apabila saya sampai di pakar ENT di Hospital Mount Elizabeth, beliau suruh saya masuk ke bilik rawatan. Dia membersihkan sebilah pisau dan dalam lima saat dia membelah tekak saya,” katanya lagi. “Rupanya ada toksin terkumpul dan tekak saya hampir tertutup. Dan jika ia pecah, ia boleh masuk ke paru-paru dan saya akan lemas.”
Jangkitan sedemikian dikenali sebagai abses peritonsillar atau quinsy, keadaan di mana nanah terkumpul di tekak dan membentuk abses jika tidak dirawat.
Selepas pengalaman mencemaskan itu, Cik Hazleen sedar bahawa beliau perlu mula bersenam dengan betul.
“Saya ketika itu berusia sekitar 40 tahun, mungkin sedang melalui perimenopaus dan saya mempunyai Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) yang belum didiagnos,” kata beliau. “Saya cepat marah dan tidak gembira dengan diri sendiri. Ketika itulah saya mula berlari.”
Rasa teruja sewaktu mendaki Gunung Kinabalu menjadi ubat bagi segala masalah, kata Cik Hazleen. Tetapi aktiviti itu bukan satu-satunya yang membuat dirinya terpikat. Persahabatan yang terjalin turut menambat hati Cik Hazleen.
“Aktiviti pendakian menyelamatkan hidup saya,” kata Cik Hazleen, 53 tahun, kepada Mediacorp. “Apabila saya mula mendaki, saya tidak boleh berhenti. Tetapi ia bukan hanya tentang mendaki sahaja, anda perlu melakukannya secara berkumpulan, bersama para wanita yang saling menyokong satu sama lain.”
TIADA GUNUNG YANG TERLALU TINGGI
Cik Hazleen menubuhkan Amazing Trekkers Club (ATC) pada 2015 dan mencipta pelan perniagaan 10 tahun untuk syarikat pengembaraan luar itu.
Setiap lawatan juga disertakan dengan aktiviti santai selepas pendakian, seperti safari, sesi spa atau lawatan budaya. Kelab itu juga sentiasa mencari badan bukan untung tempatan untuk disokong di setiap destinasi.
Di Singapura, selain Kolam Air MacRitchie dan Hutan Simpanan Bukit Timah, para ahli turut menjelajah Pulau Coney, Koridor Kereta Api, Pulau Ubin dan berjalan dari satu stesen ke stesen lain sepanjang laluan MRT.
Cik Hazleen berkata ATC diwujudkan daripada hasrat untuk membina sebuah masyarakat yang memperkasakan golongan wanita, di mana mereka boleh mencabar diri dari segi fizikal dan mental melalui pendakian dan aktiviti lasak.
“Salah seorang ahli kami berkata dia datang kerana mahukan cabaran tetapi kekal kerana persahabatan,” kata Cik Hazleen lagi. “Wanita-wanita ini terus mendaki dan berlatih bersama-sama. Mereka membentuk sebuah masyarakat dan ia lebih daripada sekadar melakukan pendakian.”
Satu-satunya masa mereka berhenti melakukan pendakian adalah semasa pandemik. Sedekad selepas penubuhan ATC, Cik Hazleen berkata 3,500 wanita dan belia sudah menawan lebih 250 gunung di lebih 30 negara. Walaupun tumpuan ATC merupakan golongan wanita, ia turut menganjurkan lawatan bagi para belia dan keluarga. Kadangkala, suami para ahli juga turut menyertai sesi latihan dan acara sosial yang dijalankan.
Baginya, detik paling bermakna adalah perbualan yang berlaku di gunung. Ada kalanya mereka berbincang isu pendakian seperti bagaimana untuk mengawal degupan jantung atau menghadapi isu kasut yang tidak selesa. Tetapi mereka juga berbual tentang menopaus, kesihatan mental dan kesedihan.
“Gunung-ganang memberi kami ketenangan, seperti satu ruang untuk berundur daripada ketegangan, tempat di mana anda boleh jadi diri anda sendiri,” kata Cik Hazleen. “Saya menjadi diri sendiri sepenuhnya pada kebanyakan masa. Ia sangat, sangat memperkasa diri.
“Saya pernah lihat orang menangis teresak-esak. Sedang saya berbual, saya perasan teman saya sudah terduduk menangis kerana perkara-perkara yang dipendamkan keluar apabila kami bercakap.”
SOKONGAN BAGI NEURODIVERSITI
Cik Hazleen mendedahkan obsesinya mendaki gunung berpunca daripada ADHD yang tidak didiagnos.
“Mereka yang ada ADHD bersikap sangat obsesif,” kata Cik Hazleen, yang hanya didiagnos secara rasmi pada 2024.
Ketika itu beliau sedang mengusahakan ijazah sarjana dalam bidang neurosains gunaan di King’s College London. Ujian yang dijalankan semasa kursus itu mendedahkan masalah ingatan yang dialaminya bukan sekadar kesan menopaus, tetapi ada kaitannya dengan ADHD.
Cik Hazleen menggambarkan diagnosis itu sebagai sesuatu yang ”menyedarkan".
“Ia mengubah naratif hidup saya daripada keraguan diri kepada belas kasihan dan pemahaman terhadap diri sendiri,” kata beliau.
“Saya sedar bahawa tumpuan mendalam, kreativiti dan intuisi saya – ciri-ciri yang membantu saya berjaya sebagai pemimpin, ahli strategi komunikasi dan usahawan – semuanya sebahagian daripada kepelbagaian neuro saya.”
Antara peranan yang digalasnya adalah sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif global bagi Institute of Neurodiversity, serta presiden dan pengerusi cawangannya di Singapura.
Walaupun institut global itu sudah wujud selama lima tahun, Cik Hazleen menubuhkan cawangannya di Singapura sebagai sebuah pertubuhan bukan untung pada awal 2025 dan berkhidmat sepenuh masa secara sukarela.
Matlamat pertubuhan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat dan sekolah mengenai neurodiversiti. Ia juga mempunyai rancangan untuk menubuhkan sebuah institut fizikal pada masa akan datang.
Cik Hazleen juga merupakan seorang pelabur pemula (angel investor), khusus bagi wanita, perniagaan yang diterajui wanita dan kesihatan wanita. Beliau menyifatkan dirinya sebagai seorang “usahawan berimpak” dan pendokong neurodiversiti menerusi syarikat-syarikatnya.
KUASA MASYARAKAT YANG MENJADI INSPIRASI
Minat Cik Hazleen terhadap pendakian turut mempengaruhi dua anak perempuannya, masing-masing berusia 17 dan 15 tahun, yang sudah mendaki beberapa gunung bersamanya. Pada 2018, anak sulungnya yang ketika itu berusia 10 tahun menjadi rakyat Singapura paling muda mendaki dua puncak di Gunung Kilimanjaro, kata Cik Hazleen.
“Pendakian mengajarnya tentang ketabahan, iltizam dan daya tahan, serta memupuk rasa kebersamaan,” kata beliau. “Apabila berdepan dengan cabaran, kini dia akan berkata kepada dirinya, ‘Jika saya boleh mendaki gunung, saya boleh atasi cabaran ini juga’.”
Anak perempuannya yang bongsu turut mendaftar untuk mendaki Kilimanjaro bersama sekolahnya. Cik Hazleen juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 27 tahun.
Cik Hazleen kini sedang membangunkan pelancaran ATC Marketplace, sebuah platform yang menyatukan masyarakat wanita di seluruh dunia, secara fizikal dan digital. Beliau juga akan melancarkan sebuah badan pem,pemikir bagi para pemimpin wanita, yang dinamakan Wolf-Women Pack.
Walaupun ATC adalah salah satu daripada usaha perniagaanya, Cik Hazleen mengakui ia juga “menjadi ubat saya, penawar saya dan penyembuh saya”.
“Corak langkah semasa melakukan pendakian membantu mengatur otak ADHD saya,” kata beliau.
“Apa yang bermula sebagai terapi peribadi kini berkembang menjadi sebuah masyarakat wanita yang kuat, yang saling meyokong satu sama lain dalam menghadapi pelbagai fasa kehidupan.”
Di gunung, katanya, tiada ruang untuk “bersembunyi daripada diri sendiri”. Cabaran fizikal pendakian digabungkan dengan ketenangan fikiran yang diperoleh daripada alam semula jadi menciptakan persekitaran sempurna untuk pertumbuhan peribadi dan penyembuhan.
“Masyarakat yang kami bina memahami bahawa perjalanan setiap wanita adalah unik, namun kami berkongsi matlamat sama untuk mencari kekuatan menerusi pengembaraan,” kata Cik Hazleen.
“Gunung tidak peduli tentang diagnosis anda – ia hanya bertanya sama ada anda sanggup untuk melangkah setapak lagi dan untuk melihat sejauh mana anda sudah capai.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.