Skip to main content

Gaya Hidup

Wanita ini jadikan pengalaman membesar di Pulau Sekijang Bendera inspirasi dalam perniagaan barangan kulit

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini jadikan pengalaman membesar di Pulau Sekijang Bendera inspirasi dalam perniagaan barangan kulit

Addynna Azlinor. (Gambar: Nadiah Sairon)

Diterbitkan : 14 Apr 2024 11:18PM

SINGAPURA: Jika anda mahukan beg mewah yang mudah dikenali ataupun beg yang diilhamkan oleh trend terkini, jenama ini tentu sekali bukan untuk anda.

Di Forest Child, sebuah syarikat barangan kulit artisan tempatan, anda tidak akan jumpa corak yang terlalu menarik perhatian - satu-satunya nama yang akan anda temui pada beg tangan ataupun dompet anda adalah nama anda sendiri.

Malah setiap barangan kulit itu direka khas mengikut citarasa pemilik dan mengambil masa sekitar sebulan untuk menghasilkannya.

"Menempah reka cipta khas bukan satu budaya di Singapura, tidak seperti Jepun atau Itali," kata pengasas Forest Child, Addynna Azlinor.

Sebilangan mereka malah melakukannya atas sebab nostalgia atau sudah menjadi kebiasaan.

"Misalnya, mereka sudah menggunakan dompet yang sama selama bertahun-tahun lamanya dan sudah terbiasa dengan reka bentuknya. Disebabkan ia mula lapuk, mereka sukar untuk mendapat reka bentuk yang sama," jelasnya.

addynna
(Gambar: Nadiah Sairon)

Yang lainnya pula mempunyai keperluan yang khusus - mereka mahukan bahagian tertentu dengan saiz tertentu untuk sesuatu yang sering dibawa, seperti tisu basah; atau jumlah khusus slot kad dan warna tertentu atas sebab-sebab 'fengshui'.

Namun sebab paling menyentuh hati melibatkan kisah yang biasanya meruntun perasaan.

"Baru-baru ini, seorang lelaki datang untuk menempah beg khas untuk isterinya kerana mereka baru kehilangan anjing kesayangan mereka," kongsinya.

Lelaki itu memberitahu Addynna bahawa beg itu ibarat simbol ikatan isterinya dengan anjing tersebut dan "hadiah perpisahan" daripada anjing mereka.

PERJALANAN SEBAGAI PEMBUAT BARANGAN KULIT

Kisah sedemikian antara yang mendorong wanita berusia 38 tahun itu untuk terus bekerja 10 hingga 12 jam sehari.

"Ia tentang hubungan yang terjalin antara saya dengan orang lain. Kadangkala, semasa konsultasi selama sejam, mereka akan berkongsi seluruh kisah hidup mereka," katanya lagi.

Forest Child menawarkan dompet kecil isi kad, dompet dan barangan kulit lain di laman webnya, di mana pelanggan boleh memilih warna, benang dan perincian lain.

Ia bermula pada harga S$22 bagi tag kunci hingga S$294 bagi dompet berlipat dengan bahagian menyimpan syiling.

Bagaimanapun, bagi hasil kerja yang memerlukan konsultasi, Addynna akan melukis dahulu reka bentuknya dan menghasilkan templat mengikut selera pelanggan. Kos khidmat sedemikian menelan belanja lebih S$500.

Addynna juga pernah memenuhi pesanan borong bagi CUT by Wolfgang Puck, di mana beliau menghasilkan 900 alas pinggan untuk restoran daging stik bertaraf Michelin itu.

Addynna, seorang graduan politeknik dari jurusan sains bioperubatan tidak menamatkan pengajiannya di universiti kerana tidak mampu untuk membayar yuran.

Atas sebab itu, beliau bertekad untuk mempelajari kemahiran membuat barangan kulit.

Pada 2012, semasa beliau sedang bekerja di kafe rakannya, beliau membuat barang kemas fesyen sebagai perniagaan sampingan. Apabila rakan-rakannya dalam bidang barangan kulit menghulurkan perca-perca kulit, beliau menggabungkannya menjadi produk untuk dijual.

Beliau bermula dengan sarung pen dan kemudian belajar membuat beg. Bermula dari saat itu, beliau mula jatuh cinta dengan bahan kulit.

Setahun kemudian, Addynna melancarkan Forest Child, menjual barangan di pasar seni dan gerai-gerai sementara sebelum membuka kedainya di Bali Lane pada 2014, dan kedai online pada 2018.

Beliau sudahpun berpindah ke Wcega Tower di Bukit Batok Crescent, dan dibuka atas temu janji sahaja.

NIKMATI SEMULA RENTAK KEHIDUPAN LEBIH PERLAHAN

Keluarga Addynna adalah antara enam keluarga terakhir yangk tinggal di Pulau Sekijang Bendera (St John's Island) pada tahun 1980-an dan 1990-an, di mana datuk neneknya adalah penjaga pulau itu.

"Tidak ada kedai pun di sana. Kami dikelilingi alam sekitar, menikmati cahaya matahari, laut dan membela haiwan seperti kucing, arnab, kambing, ayam, monyet dan anak burung helang yang diselamatkan salah seorang sepupu kami apabila ia terjatuh dari sarangnya," kongsi beliau.

Cintanya pada haiwanlah yang mendorong Addynna untuk menukar kepada kraftangan kulit yang dihasilkan sebagai bahan sampingan daripada daging.

"Saya tidak menyukai sama sekali sekiranya seekor haiwan dibunuh semata-mata untuk mendapatkan kulitnya," tambah beliau.

Tahun-tahun beliau membesar di Pulau Sekijang Bendera bersama arwah datuknya jugalah menjadi pencetus bagi cintanya terhadap produk hasil pembuatan tangan.

addynna
(Gambar: Nadiah Sairon)
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita