Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita ini cipta seni hiasan kek guna pisau palet

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini cipta seni hiasan kek guna pisau palet

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 04 Mar 2022 10:17AM Dikemas Kini : 04 Mar 2022 11:53AM

KUALA LUMPUR: Jika dilihat dari jauh, gaya Siti Noor Zihan Sheikh Abdullah menghias kek seolah-olah seperti sedang menyapu mentega di atas sekeping roti.

Hakikatnya, wanita berusia 46 tahun itu sedang menghasilkan seni hiasan kreatif yang memerlukan ketelitian tinggi menggunakan pisau palet bagi mencipta kelainan dalam seni hias kek.

Sama seperti teknik beg plastik yang digunting, atau dikenali sebagai x-nozzle, lorekan daripada pisau palet juga mampu menghasilkan pelbagai hiasan seperti kelopak bunga, daun, pokok, hati dan bintang dengan hasil dekorasi lebih kemas.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan kek mengakui kerjaya sebagai penghias kek menyebabkannya perlu menjadi lebih kreatif dalam berkarya.

“Sebagai pembuat kek dan tenaga pengajar, saya suka mencuba sesuatu yang baru dan mencari kelainan, maka saya perbagaikan teknik hiasan kek kepada teknik pisau palet pada 2016 sebagai modul baru dalam kursus yang saya tawarkan,” katanya kepada Bernama.

Siti Noor Zihan yang turut berminat dalam bidang lukisan sejak kecil berkata penggunaan pisau palet untuk melukis sudah lama popular di luar negara seperti Itali, namun masih baru di Malaysia.

“Saya sangat minat melukis dan menghasilkan pelbagai lukisan di atas kanvas atau board. Saya lihat seni (pisau palet) satu seni yang menarik dan unik.

“Tetapi, oleh sebab saya selalu ‘bermain’ dengan kek, jadi saya adaptasikan penggunaannya untuk menghias kek,” katanya yang pernah menerbitkan buku ‘Seni Hiasan Kek Perkahwinan Buttercream Cake’ pada 2014.

Menggunakan aising daripada krim mentega dan coklat masakan sebagai bahan utama, Siti Noor Zihan berkata seseorang itu perlu menguasai beberapa teknik pergerakan pisau palet bagi membuat sesuatu hiasan kek seperti pemandangan atau bunga.

“Ada beberapa teknik yang digunakan bagi melorek dan membentuk kelopak bunga dan daun antaranya seni hiasan impasto dan sculpture painting melalui penggabungan ton warna agar ia kelihatan lebih asli dan ‘hidup’,” katanya yang mengambil masa sekitar 30 minit untuk menyiapkan hiasan bergantung kepada corak dan saiz.

Pun begitu, wanita kelahiran Batu Uban, Pulau Pinang itu mengakui penggunaan pisau palet bagi menghias kek lebih renyah dan rumit berbanding melukis di atas kanvas atau board yang lebih menyeronokkan.

“Berkarya di atas kek lebih mencabar kerana saya perlu lebih berhati-hati, jika tersentuh sedikit hiasannya akan comot selain perlu ada minat untuk melakukannya,” katanya sambil menambah kek dihasilkannya itu dijual dengan harga bermula dari RM250 (S$80) mengikut saiz, corak dan bahan yang digunakan.

Sumber : Bernama/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan