Wanita Arab Saudi akan dimaklum status cerai menerusi SMS
Kementerian Undang-Undang Arab Saudi akan mula melaksanakan sistem baru untuk memaklumkan kaum wanita menerusi SMS, apabila penceraian mereka diluluskan.
Gambar hiasan menunjukkan wanita Arab Saudi menggunakan telefon (Gambar fail: AFP)
RIYADH: Kementerian Undang-Undang Arab Saudi akan mula melaksanakan sistem baru untuk memaklumkan kaum wanita menerusi SMS, apabila penceraian mereka diluluskan.
Ini selaras dengan arahan Menteri Undang Undang dan Presiden Majlis Tertinggi Undang-Undang Dr Walid Al-Samaani.
Saudi Press Agency melaporkan, sistem baru itu membolehkan wanita di kerajaan itu untuk mengakses dokumen berhubung pembatalan perkahwinan mereka, menerusi portal online kementerian tersebut.
Daya usaha terbaru itu menetapkan supaya mahkamah memaklumkan wanita terjejas secara serta merta menerusi pesanan ringkas, di nombor telefon yang didaftar menerusi sistem Absher, apabila mahkamah mengeluarkan keputusan cerai. Pesanan teks itu akan memaklumkan wanita berkenaan tentang nombor dokumen perceraian dan mahkamah yang mengeluarkannya.
Menurut Saudi Gazette, mahkamah-mahkamah serata Arab Saudi sudah menerima surat pekeliling supaya melaksanakan arahan ini bermula hari ini (6 Jan) agar dapat menawarkan bantuan kepada penerima dalam menegakkan hak-hak mereka. Langkah ini juga dapat mempromosi transformasi digital dalam kementerian itu, dengan lebih banyak khidmat ditawarkan kepada rakyat.
Seorang wanita juga boleh membuat pertanyaan tentang status perkahwinannya menerusi portal kementerian itu, menurut Saudi Gazette. Wanita yang terjejas boleh menghubungi langsung jabatan wanita mahkamah atau pejabat presiden mahkamah untuk mendapat salinan dokumen.
Kementerian Undang-Undang melancarkan khidmat elektronik bersama-sama Pusat Maklumat Kebangsaan bagi pendaftaran perkahwinan secara online selepas kontrak perkahwinan mereka disahkan. Saudi Gazette melaporkan, status perkahwinan pasangan akan dikemas kini secara langsung menerusi sistem Absher dan butiran rakyat di Agensi Status Sivil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.