Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita 40-60 tahun sila ambil perhatian! Anda berisiko hadapi bahu beku

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Wanita berusia antara 40 hingga 60 tahun, terutamanya yang menghidap kencing manis, tiroid, Parkinson, atau barah, sering menghadapi masalah bahu beku yang boleh mengakibatkan kehilangan pergerakan bahu secara berpanjangan jika tidak dirawat.

Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, Artroplasti serta Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Malaysia, D. Suresh George V Nainan, berkata kebanyakan kes bahu beku adalah idiopatik, iaitu puncanya tidak dapat dikenal pasti.

Namun, menurut beberapa kajian, pesakit kencing mempunyai lebih daripada tiga kali ganda kemungkinan untuk mengalami kondisi ini berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit tersebut.

“Ada situasi di mana seorang pesakit yang kelihatan seperti menghidapi bahu beku tetapi sebenarnya dia menghidapi penyakit barah Ini menekankan kepentingan mendapatkan diagnosis dan rawatan awal agar kondisi tidak menjadi lebih teruk.

Beliau turut menambah, “Faktor risiko lain termasuklah kekurangan mobiliti. Kecederaan kecil pada pergelangan tangan atau siku boleh secara tidak langsung menyebabkan bahu beku kerana kurangnya pergerakan.

“Adalah perkara biasa bagi pesakit yang memakai sling atau kas selama tempoh yang panjang untuk menghidap kondisi ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (7 Jan).

CIRI UTAMA BAHU BEKU

Beliau berkata ciri utama bahu beku adalah keradangan pada sendi bahu, yang selalunya berlaku tanpa sebab yang jelas. Keadaan ini biasanya bermula dengan rasa sakit dan keadaan kaku yang semakin teruk, akhirnya menyebabkan sendi bahu kehilangan keupayaan untuk bergerak.

Katanya keadaan ini berkembang melalui tiga fasa, iaitu fasa pembekuan yang berlangsung antara dua hingga sembilan bulan, fasa beku yang boleh berlanjutan selama empat hingga 12 bulan, dan fasa pelembutan atau pemulihan yang mengambil masa antara enam bulan hingga dua tahun.

Dr Suresh George turut menekankan pentingnya diagnosis awal dan intervensi untuk mencegah kekakuan dan ketidakupayaan bahu bergerak dalam jangka masa yang lama.

“Diagnosis awal boleh memendekkan tempoh dan kesakitan bahu beku dengan ketara. Walaupun kebanyakan pesakit akhirnya akan pulih, intervensi awal dapat mempercepatkan proses pemulihan dan mengurangkan ketidakselesaan,” katanya.

RAWATAN BAHU BEKU

Tambah beliau lagi, rawatan untuk bahu beku dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu rawatan konservatif yang merangkumi terapi fizikal, pengurusan kesakitan dengan ubat anti-radang, dan senaman untuk meningkatkan mobiliti bahu, manakala suntikan steroid diberikan untuk mengurangkan keradangan dan memudahkan pergerakan.

Katanya rawatan seterusnya adalah pembedahan yang mungkin dipertimbangkan untuk kes-kes yang sangat jarang berlaku jika kondisi berterusan melebihi 18 bulan.

Beliau berkata kekal aktif boleh mengelakkan keadaan tersebut, dan adalah penting untuk memulakan senaman bahu secara lembut secepat mungkin bagi mereka yang cedera atau selepas menjalani pembedahan yang menyebabkan tangan mereka tidak boleh bergerak.

Selain itu, katanya, senaman yang fokus kepada peregangan dan fleksibiliti boleh memberikan manfaat yang besar, antaranya yoga dan pilates, yang menggalakkan bahu bergerak bebas dan meningkatkan fleksibiliti, yang dapat membantu mengelakkan kekakuan yang berkaitan dengan bahu beku.
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan