Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Waktu bermain penting; bantu bentuk fikiran, minda kanak-kanak

Dari sudut saintifik, bermain dapat membantu kanak-kanak dari segi pembelajaran dan perkembangan psikomotor mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Waktu bermain penting; bantu bentuk fikiran, minda kanak-kanak

Gambar hiasan. (Gambar: John Macdougall/AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 08:36PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 08:39PM

KUALA LUMPUR: Dari sudut saintifik, bermain dapat membantu kanak-kanak dari segi pembelajaran dan perkembangan psikomotor mereka.

Namun, bagi kanak-kanak yang berada dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah, akses kepada mainan dan masa bermain sangat terhad.

Menurut kajian Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, membenarkan kanak-kanak bermain dengan peralatan permainan sangat penting dalam pembentukan fikiran dan pembangunan minda mereka.

Kajian itu, menurut laporan agensi berita Astro AWANI, menunjukkan kekurangan waktu bermain ketika usia kecil boleh mendedahkan mereka kepada masalah sosial ketika usia remaja.

Ini mendorong Presiden Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, Wong Poai Hong, untuk menubuhkan perpustakaan permainan bagi membantu menyediakan akses kepada permainan bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Astro AWANI menukil Cik Wong sebagai berkata: "Hampir 20 peratus masalah yang dihadapi remaja adalah isu berkaitan sosial dan emosi. Ini berpunca dari pengalaman mereka pada usia yang muda."

"80 ke 90 peratus pertumbuhan minda berlaku dari waktu dilahirkan sehingga 5 tahun. Oleh itu, jika ingin memupuk sikap baik dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa harus fokus kepada lima tahun yang pertama anak mereka," katanya.

Cik Wong menambah bahawa perpustakaan permainan itu juga menggalak komunikasi yang lebih erat antara anak-anak dengan ibu bapa.

Perpustakaan permainan yang pertama di Malaysia itu ditubuhkan 10 tahun lalu.

Astro AWANI difahamkan bahawa buat masa ini, terdapat hampir 40 perpustakaan permainan di seluruh Malaysia, di mana kebanyakannya di kawasan pedalaman.

Persatuan itu kini menetapkan perhatian kepada kawasan bandar, terutamanya kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan miskin bandar.

Laporan Kanak-Kanak pinggiran hasil kajian UNICEF ke atas kawasan PPR mendapati bahawa kira-kira 4 daripada 10 rumah tiada peralatan permainan bagi kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.

UNICEF berharap dengan penubuhan perpustakaan permainan di kawasan PPR, ia akan membantu kanak-kanak di kawasan tersebut mendapat akses kepada peralatan permainan.

Perpustakaan permainan PPR pertama akan ditubuhkan di kawasan PPR Idaman yang dijangka siap menjelang September ini.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan