Wajah cepat tua jika kerap tatap skrin komputer, telefon bimbit?
Gambar: Pexels
Tidak kira usia dan jantina, memiliki telefon pintar adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan hari ini. Menurut satu kajian, zaman ini ramai terutamanya wanita yang tampil lebih matang daripada usia sebenar kerana sering terdedah kepada skrin komputer dan telefon bimbit.
Bekerja dengan komputer menjadi satu tuntutan yang pastinya tidak dapat dielakkan dalam zaman ini. Namun, terdapat pelbagai cara untuk menangani kesan buruk akibat duduk sehari suntuk dan berjam-jam lamanya di depan komputer di pejabat, rumah dan sebagainya.
Selain menyertai kegiatan sukan atau melakukan senaman, penting juga untuk memastikan diet yang sihat. Bukan itu sahaja, anda juga digalakkan untuk amalkan rutin rehatkan mata dari masa ke semasa di pejabat mahupun di rumah jika anda masih bekerja dari rumah.
Sibuk bekerja sehari suntuk menghadap komputer, buat panggilan video untuk bermesyuarat selain melayan Instagram dan Tik Tok dan bermacam lagi, tanpa disedari ramai, wajah atau penampilan juga terancam membuat kita tampil lebih matang daripada usia sebenar. Jika tidak ditangani segera, kesannya pasti dapat dilihat dari masa ke semasa. Lebih memburukkan lagi jika tercetusnya masalah kulit dan mata yang berpanjangan.
TANGANI KESAN PENUAAN KULIT
Hadap komputer berjam lama
Cuba lihat ekspresi wajah anda ketika bekerja di depan komputer. Percaya atau tidak, wajah anda tidak menggambarkan sebarang emosi. Menurut kajian, kurangnya penggunaan otot-otot wajah dapat mempercepatkan proses kulit menjadi kendur dan lahirlah kedutan dan garisan pada kulit yang tidak diingini atau sebelum tiba masanya.
Ekspresi terlalu serius
Ada kalanya apabila anda membaca emel atau dokumen di pejabat yang memerlukan respons, tanpa disedari anda akan mengerutkan kening. Jika tabiat ini kerap dilakukan lambat laun garis kerutan akan jelas dilihat pada tengah dahi.
Mata terjejas
Melihat dengan pandangan tajam ke arah skrin komputer untuk jangka waktu yang lama ternyata akan menyebabkan mata cepat lelah dan adakalanya berair. Ini akan menghambat perjalanan darah pada mata yang akan membentukan kantung kebiruan di bawah mata.
Untuk mengelakkan masalah ini atau mengurangkan pembentukan kantung mata, anda boleh cuba menekan tulang di bawah mata perlahan-lahan dengan jari yang bersih. Bermula dari sudut dalam mata dan kemudian ke arah luar.
Mungkin ramai yang menyangka penggunaan berpanjangan telefon bimbit hanya akan mendedahkan kita kepada masalah mata sahaja. Tanggapan itu pastinya tidak tepat.
Selain mata, kita juga akan berdepan dengan masalah penuaan pramatang yang menjejas kecantikan kulit. Ia akan membuat wajah tampil kusam tidak berseri disebabkan pancaran cahaya biru yang hadir melalui skrin.
Tahukah anda, pancaran ini merupakan cahaya biru yang terhasil daripada skrin peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer, TV dan juga tablet. Ia merupakan penyumbang utama masalah kulit pramatang, kedutan selain kerosakan seperti hiperpigmentasi.
Pakar kecantikan berpendapat, inilah antara punca mengapa wanita hari ini tidak secantik wanita zaman dahulu walaupun seusia. Dalam zaman serba canggih ini dengan pelbagai aplikasi dan aktiviti-aktiviti secara online ternyata ia mendatangkan pelbagai masalah kulit dan mata jika ia tidak ditangani dari awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.