Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Virus korona baru: StereoFest ditangguh, pembeli boleh minta wang dikembalikan

Pesta muzik pop Melayu pertama dan terbesar di Singapura, StereoFest, akan ditunda ke suku ketiga tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Virus korona baru: StereoFest ditangguh, pembeli boleh minta wang dikembalikan

Antara barisan penyanyi yang dijangka menyerikan StereoFest. (Gambar: StereoFest/Facebook)

SINGAPURA: Pesta muzik pop Melayu pertama dan terbesar di Singapura, StereoFest, akan ditunda ke suku ketiga tahun ini.

Ini bermakna pesta yang menampilkan 15 penyanyi dan kumpulan dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, mungkin diadakan antara bulan Julai dengan September ini, berbanding 22 dan 23 Februari ini di Palawan Green, Sentosa.

Langkah itu diambil menyusuli langkah pihak berkuasa meningkatkan penilaian risiko virus korona baru di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON) dari kuning ke jingga pada Jumaat lalu (7 Feb).

Demikian menurut jurucakap Adi Media dalam kenyataan medianya hari ini (10 Feb).

"Meskipun kami tidak sabar untuk menganjurkan StereoFest, kami harus mengambil langkah ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam acara ini - dari sukarelawan, penyanyi, rakan-rakan acara dan penonton.

"Walaupun keadaannya masih lagi berkembang di Singapura, kami tidak mahu mengambil risiko tentang sebarang potensi jangkitan yang mungkin berlaku di acara tersebut," kata jurucakap itu.

StereoFest akan menampilkan artis seperti 4U2C, ANBS (Syed Azmir, Hyrul Anuar and Fauzie Laily), Andi Bernadee, Ayda Jebat, Elizabeth Tan, Floor 88, Ismail Izzani, Jaz, Judika, New Boyz, NOAH, Rahila Rashun, Rahmat Damansari, Sufie Rashid dan Zee Avi.

BOLEH MOHON WANG DIKEMBALIKAN

Bagi mereka yang sudah membeli tiket, pihak penganjur menawarkan dua pilihan.

Yang pertama adalah untuk menyimpan tiket yang sudah dibeli itu untuk masuk ke pesta StereoFest yang ditangguhkan.

Atau, mereka boleh meminta pengembalian wang bagi tiket yang dibeli. Untuk berbuat demikian, mereka boleh mengirim emel ke sf [at] adimedia.com.sg dengan nama, nombor tiket dan pilihan yang dibuat.

Pengembalian wang bagi tiket hanya boleh dilakukan sehingga 29 Februari ini dan tiket mereka akan dipindahkan ke tarikh baru StereoFest 2020 secara automatik.

Permintaan bagi pengembalian wang selepas 29 Februari ini tidak akan dilaksanakan.

"Kami berterima kasih kepada semua atas sokongan mereka dan kami berharap anda akan terus menyokong StereoFest walaupun ada pertukaran tarikh.

"Kami memohon pemahaman anda dalam isu ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan," kata jurucakap tersebut. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan