Video keluarga besar 'sporting' menari 'Jodoh Lebaran' di majlis persandingan tarik perhatian Aisha Retno
Petikan skrin video keluarga besar kepada raja sehari, Faiez Asrap Senin, yang menari lagu 'Jodoh Lebaran' di majlis perkahwinannya. (Gambar: TikTok/_farahlulu)
Namun bagi keluarga besar ini, ukhuwah itu menjadi lebih kukuh menerusi latihan-latihan menari untuk dijadikan 'hadiah' istimewa bagi seorang anggota keluarga yang bakal menjadi raja sehari.
Lebih menarik lagi, seramai 25 anggota keluarga dari usia 14 tahun hingga 65 tahun bersatu hati berlatih tarian bagi lagu 'Jodoh Lebaran' buat bakal mempelai, yang kini sudahpun diijabkabulkan pada 11 April lalu.
Hasilnya, video tarian mereka di majlis itu, yang dimuat naik ke TikTok dan Instagram menjadi tular dan meraih lebih 270,000 tontonan - 168,000 tontonan di TikTok dan hampir 107,000 tontonan di Instagram - dengan lebih 20,000 'like' di TikTok dan 4,700 'like' di Instagram.
"Semasa dua atau tiga keluarga sedang berlatih bersama kali ini, tiba-tiba tercetus idea untuk mempersembahkan lagu ini sebagai hadiah istimewa untuk kedua-dua pengantin.
"Memandangkan lebih ramai saudara-mara akan berada di majlis perkahwinan itu, tarian ini boleh melibatkan lebih ramai anggota keluarga dan juga kerana lagu 'Jodoh Lebaran' sangat sesuai dan bertepatan dengan majlis itu yang diadakan semasa musim Hari Raya."
Persembahan itu bahkan menjadi lebih meriah dengan seluruh dewan menyemarakkan suasana sewaktu persembahan tersebut.
“Di penghujung lagu, semakin ramai orang menyertai bulatan yang mengelilingi pengantin dan turut bertepuk tangan bersama-sama.
"Lagu itu begitu tular sehingga semua orang tahu lagu dan liriknya, jadi ia benar-benar membantu membangkitkan suasana dan memeriahkan seluruh dewan," kongsi Cik Farah.
TERIMA REAKSI POSITIF PENYANYI ASAL
Ternyata, latihan menari selama tiga jam sepanjang tiga sesi itu sejak seminggu sebelum majlis perkahwinan tersebut membuahkan hasil.
Video itu bukan sahaja menjadi tular, malah turut mendapat perhatian penyanyi asal lagu 'Jodoh Lebaran', Aisha Retno.
Aisha, yang turut menyaksikan video itu di TikTok, memberi komen: "MASHAALLAH SG WINS", di mana komen ringkasnya itu sahaja menerima lebih 850 'like'.
Yang jelas, raja sehari, Encik Faiez Asrap Senin juga menyifatkan detik itu sebagai sangat menakjubkan dan istimewa apabila keluarga besarnya mempersembahkan tarian 'Jodoh Lebaran' di majlis perkahwinan beliau di Anggun Marina One.
"Saya amat bersyukur kerana saya tahu betapa banyak masa, usaha dan dedikasi yang dicurahkan - begitu banyak sesi latihan, malah ada antara mereka yang sanggup datang berlatih selepas waktu kerja.
"Tetapi entah bagaimana ia menjadi kenyataan, malah kami berakhir dengan satu ‘flash mob’ besar-besaran di tengah-tengah Marina One. Itu memang luar biasa!
"Saya benar-benar tersentuh dengan usaha keluarga saya melakukan ini untuk kami. Melihat pelbagai generasi berkumpul dan membuat persembahan bersama-sama merupakan satu momen yang sangat indah.
ERATKAN HUBUNGAN KELUARGA
Sebagai kakak pengantin, Cik Farah juga tidak menyangka inisiatif itu menjadi sesuatu yang lebih besar - ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu wadah untuk menyatukan keluarga.
"Sepanjang proses tersebut, ia telah mencipta keterujaan sebelum majlis, dan menjadi antara momen paling bermakna semasa hari perkahwinan.
"Ramai (pengguna) yang berkongsi bahawa video ini mengingatkan mereka tentang pentingnya hubungan kekeluargaan, kebersamaan, dan nilai murni dalam meraikan detik-detik istimewa."
Selain itu, ia turut menjadi detik bermakna yang akan terus tersemat dalam sanubari pengantin baharu itu.
"Tarian itu sememangnya menjadi salah satu sorotan utama majlis perkahwinan kami dan menjadikan keseluruhan sambutan lebih meriah dan penuh kegembiraan.
"Kami tidak pernah menyangka video itu akan menjadi tular, tetapi kami amat berterima kasih atas segala sokongan dan komen-komen baik yang kami terima.
"Dari lubuk hati kami, terima kasih kepada keluarga kami kerana menjayakan semua ini. Kami amat menghargainya, dan ia akan menjadi kenangan yang kami hargai selama-lamanya," ujar Encik Faiez.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.