Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Video 'chirobaby' di TikTok, cetus kebimbangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Andrew Arnold, seorang kiropraktor dari Australia mencetuskan kemarahan warga net susuli rakaman videonya yang tular pada 2019. Ia menunjukkan beliau memegang bayi yang berusia dua minggu dengan kepalanya ke bawah. Beliau kemudiannya, dilarang merawat kanak-kanak sedang pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Sebaliknya, video serupa yang dimuat naik dua tahun kemudian, yang menunjukkan seorang kiropraktor dari Amerika Syarikat menghayun bayi dengan memegang kakinya sedang beliau memeriksa tulang belakang bayi itu menerima 2.4 juta tanda suka di platform TikTok. 

Sejak kebelakangan ini, beratus-ratus video membanjiri platform TikTok, yang menampilkan  pengamal kiropraktik mengurut, meregangkan dan melakukan "pembetulan" otot bagi bayi. Video tersebut seringkali diletakkan 'hashtag' seperti “babychiropractor”, “chirobaby” dan “babycracks”, dan menerima lebih 17.1 juta tontonan di platform tersebut. 

Meskipun rawatan untuk kanak-kanak adalah khusus dan lembut serta tidak melibatkan manipulasi sendi atau menghasilkan sebarang 'bunyi' daripada pergerakan tulang sepertimana yang seringkali dilihat dalam video yang menampilkan pesakit-pesakit dewasa, trend tersebut masih menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga net, sama ada prosedur sedemikian selamat bagi pesakit kecil. 

Rawatan kiropraktik di Singapura, dianggap sebagai bentuk rawatan "alternatif dan melengkapi" oleh pihak berkuasa. Pengamal kiropraktik harus terlatih dan bertanggungjawab dalam pengendalian rawatan masing-masing. 

Malah, beberapa pengguna TikTok,  terdiri daripada pengamal dan ibu bapa, memuji manfaat penjagaan kiropraktik bagi bayi, dengan mendakwa ia dapat merawat pelbagai masalah termasuk sembelit dan juga trauma yang mungkin dialami bayi ketika dilahirkan. 

Lelaman klinik Chiropractic Concepts, yang berpangkalan di Singapura menyatakan ketidakseimbangan dalam struktur tulang berlaku seawal "ketika bayi itu masih dalam rahim".

Maka itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memeriksa sebarang salah jajaran di belakang atau tulang belakang kerana mereka tidak akan dapat bercakap tentang kesakitan atau penderitaan mereka.

Tinjauan ringkas yang dilakukan Mediacorp ke atas akaun-akaun TikTok milik para kiropraktor tempatan, menunjukkan bahawa video rawatan kiropraktik ke atas bayi bukan sesuatu yang lazim di Singapura. 

Apabila ditanya umur minimum kanak-kanak yang dikehendaki berjumpa seorang kiropraktor, Dr Jenny Li dari of Re:chiro Singapore berkata dalam sebuah video di TikTok bahawa pesakit paling muda yang pernah dilihatnya "berusia beberapa bulan sahaja". 

Dr Li menjelaskan bahawa kiropraktor yang merawat sesiapa sahaja di bawah usia dua tahun, harus mengikuti "latihan yang lebih menyeluruh". 

Sedang sokongan bagi rawatan sedemikian terus meningkat, begitu juga kritikan terhadap rawatan itu. 

Pakar perubatan memberitahu agensi berita The Washington Post bahawa trend penjagaan kiropraktik bagi bayi di platform media sosial membimbangkan kerana rawatan tersebut mungkin menimbulkan risiko. 

Salah satunya ialah tulang dan sendi bayi berubah bentuk setiap hari, menjadikannya lebih mudah terjejas di bawah tekanan dan lebih terdedah kepada regangan yang berlebihan.

Pada November 2019, Menteri Kesihatan ketika itu Encik Gan Kim Yong, memberi jawapan bertulis di Parlimen mengenai jumlah aduan yang dibuat terhadap kiropraktor

Beliau berkata sejak lima tahun sebelum itu, Kementerian Kesihatan (MOH) menerima purata empat maklum balas setahun melibatkan hal kiropraktik yang seringkali berhubung kesalahan mengenai pentadbiran. 

"Khidmat kiropraktik dianggap sebagai rawatan melengkapi dan alternatif, dan tidak diberi lesen di bawah Akta Hospital Swasta dan Klinik Perubatan.Para kiropraktor digalakkan untuk mengamalkan peraturan kendiri melalui persatuan profesional mereka."

Sumber : Today/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan