Skip to main content

Gaya Hidup

Usia masih muda tapi mudah lupa. Apa puncanya?

Anggaran Waktu Membaca:
Usia masih muda tapi mudah lupa. Apa puncanya?
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Masalah mudah lupa sering dikaitkan dengan golongan warga emas dan proses penuaan semula jadi. Apabila usia meningkat, fungsi otak yang berkaitan dengan ingatan lazimnya akan merosot secara bertahap-tahap. Namun begitu, dalam gaya kehidupan moden hari ini, semakin ramai juga golongan yang lebih muda yang mengalami masalah mudah lupa.

Contohnya, kerap terlupa temu janji, gagal mengingati informasi atau tarikh-tarikh yang penting atau sukar fokus dan memberi tumpuan walaupun untuk tugasan yang ringkas. Masalah ini menimbulkan persoalan - mengapakah seseorang yang masih muda boleh menjadi pelupa dan adakah keadaan ini perlu ditangani dan dibimbangkan?
 
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Menurut kajian, berbeza dengan golongan lanjut usia, punca mudah lupa dalam kalangan orang muda selalunya berkait rapat dengan gaya hidup. Tekanan harian, corak tidur yang tidak menentu, pemakanan tidak seimbang serta tabiat harian yang kurang sihat dikenal pasti sebagai penyumbang utama.

Kebanyakan masalah ini bersifat sementara dan boleh diperbaiki melalui perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan terancang. Namun demikian, terdapat juga beberapa keadaan perubatan tertentu yang boleh menyebabkan gangguan ingatan dan memerlukan perhatian serius.
 
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
DAYA INGATAN MEROSOT

Masalah cepat lupa dalam kalangan mereka yang masih muda bukanlah sesuatu yang berlaku tanpa sebab. Ia didapati berpunca daripada pelbagai faktor yang berkaitan dengan kehidupan yang sering dianggap remeh bagi ramai.

Tanpa disedari, tabiat dan tekanan yang kita lalui setiap hari boleh menjejaskan daya ingatan. Antaranya:

Tekanan, kebimbangan dan kemurungan

Tekanan emosi merupakan faktor yang sangat dominan dalam kehidupan anak muda hari ini. Tuntutan pelajaran, beban kerja, masalah kewangan selain konflik dalam hubungan keluarga dan sosial boleh mencetuskan tekanan yang berpanjangan.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Stres, kebimbangan dan kemurungan juga boleh menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan perhatian. Apabila tumpuan terganggu, proses menyimpan dan menginati semula maklumat juga menjadi lemah, sekali gus menyebabkan seseorang mudah lupa.

Kurang tidur dan rehat

Tidur bukan sekadar waktu berehat, sebaliknya ia merupakan tempoh penting untuk otak memproses dan menyusun maklumat yang diterima sepanjang hari. Dalam kalangan anak muda, tabiat berjaga malam, penggunaan gajet sebelum tidur dan jadual harian yang padat sering menyebabkan waktu tidur dikorbankan.

Tanpa disedari, kesannya ia boleh menjejas emosi, meningkatkan kebimbangan dan mengurangkan keupayaan otak untuk berfungsi secara optimum. Jika berlarutan untuk jangka masa yang panjang, kekurangan rehat boleh memberi kesan ketara terhadap daya ingatan.
 
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Pemakanan yang tidak seimbang

Ramai golongan muda sering bertanggapan tubuh mereka masih kuat dan sihat, lantas kurang memberi perhatian terhadap pemakanan. Makanan segera, tinggi lemak tepu dan lemak trans sering menjadi pilihan mereka kerana mudah dan cepat. Tanpa disedari, pengambilan makanan sebegini secara berlebihan dan berlarutan juga boleh menjejas kesihatan otak.

Beberapa kajian menunjukkan lemak tepu dan trans berpotensi memberi kesan negatif terhadap fungsi kognitif, terutamanya apabila dikaitkan dengan faktor genetik tentu yang sering dikaitkan dengan risiko masalah memori.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Pengambilan ubat-ubatan tertentu

Walaupun usia masih muda, ada sesetengah individu yang perlu mengambil ubat-ubatan untuk merawat masalah kesihatan tertentu. Namun, ada ubat yang mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk, keliru atau kurang fokus. Keadaan ini juga boleh menjejaskan keupayaan untuk mengingati dan memproses maklumat. Sekiranya masalah mudah lupa timbul selepas mengambil ubat, pastikan untuk dapatkan nasihat pakar atau doktor. Jangan biarkan ia berterusan.

Masalah tiroid dan hormon

Keadaan apabila kelenjar tiroid tidak menghasilkan hormon yang mencukupi turut boleh berlaku dalam kalangan orang muda. Hormon tiroid memainkan peranan penting dalam mengawal metabolisme tubuh dan fungsi otak. Kekurangan hormon ini boleh menyebabkan keletihan, gangguan tidur, perubahan emosi serta masalah ingatan.

Gangguan kognitif ringan

Adakalanya masalah mudah lupa disebabkan oleh gangguan kognitif ringan. Ini bermakna kemampuan berfikir dan mengingat seseorang menurun lebih daripada biasa untuk umur mereka, tetapi belum sampai tahap demensia. Mereka yang mengalaminya masih boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa, tetapi berisiko mengalami kemerosotan kognitif pada masa depan.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Penyakit Alzheimer

Walaupun jarang berlaku, demensia dan penyakit Alzheimer juga boleh menyerang golongan muda. Keadaan ini biasanya melibatkan kemerosotan memori yang ketara serta perubahan tingkah laku. Sekiranya masalah mudah lupa disertai kesukaran menjalankan aktiviti harian atau perubahan personaliti, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan dengan segera.

CARA TINGKATKAN INGATAN

Untuk mencegah dan mengatasi masalah mudah lupa, selain mengenal pasti punca, penting untuk mengamalkan gaya hidup yang menyokong kesihatan otak dan ingatan. Salah satu caranya adalah dengan sentiasa merangsang minda melalui aktiviti seperti mempelajari kemahiran baharu, membaca, menulis atau melakukan aktiviti yang mencabar fikiran.

Selain itu, mengurus tekanan emosi juga sangat penting. Anda boleh melakukan aktiviti santai, mengembangkan hobi, bersenam secara ringan, selain meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk mengurangkan tekanan.

Di samping itu, cuba gunakan kalendar, buku catatan atau aplikasi peringatan untuk membantu merancang tugasan harian agar tidak terlupa perkara penting. Amalkan juga untuk simpan barangan kecil yang penting seperti kunci, dompet dan cermin mata di tempat yang sama setiap hari untuk mengelakkan anda daripada tercari-cari dan lupa.
 
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Aktiviti fizikal secara berkala seperti melakukan senaman selama sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu juga mampu meningkatkan peredaran darah dan oksigen ke otak. Ini secara tidak langsung dapat menyokong fungsi daya ingatan yang lebih baik.

DIET SEHARIAN

Pemakanan yang seimbang turut memainkan peranan yang sangat penting. Oleh itu, cuba memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, serta makanan yang kaya dengan vitamin B dan asid lemak omega-3. Bagi yang merokok, cubalah kurangkan atau buang tabiat tidak sihat ini.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)
Kajian juga mendapati masalah mudah lupa di kalangan orang muda juga sering berpunca daripada gaya hidup yang tidak seimbang. Walaupun kebanyakannya tidak melibatkan masalah kesihatan yang serius, keadaan ini tidak wajar dipandang ringan.

Dengan kesedaran, perubahan tabiat dan penjagaan kesihatan mental serta fizikal yang baik, daya ingatan anda boleh dipelihara dan mutu hidup dapat ditingkatkan secara menyeluruh. Penting untuk pastikan anda mendapat waktu tidur yang cukup antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam.

Tidur yang bermutu memberi peluang kepada otak untuk berehat dan memperbaharui fungsi memori. Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, daya ingatan pasti dapat dipelihara dan risiko masalah mudah lupa juga dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.

Percayalah, jika minda dan tubuh dijaga pada usia awal, ia bukan sahaja dapat membantu untuk memelihara ingatan, malah ia juga akan tingkatkan lagi mutu hidup secara menyeluruh semakin usia terus meningkat!
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita