Usia bukan penghalang untuk bersenam di gim
(Gambar: Pexel)
Cuba perhatikan suasana di gim hari ini. Di satu sudut, ada anak muda yang tekun melakukan latihan kekuatan dengan dumbel. Di sudut lain pula sekumpulan wanita sedang mengikuti kelas pilates. Ada yang datang awal pagi, ada yang singgah selepas habis bekerja dan tidak kurang juga mereka dalam lingkungan usia 50-an dan 60-an yang melakukan senaman mengikut kemampuan masing-masing.
Menariknya, ramai yang menggunakan ruang dan peralatan yang sama, tetapi tujuan datang ke gim tidak semestinya serupa. Ada yang mahu menurunkan berat badan, ada yang ingin membina kekuatan, manakala yang lain mungkin ingin tubuh lebih cergas agar dapat tidur lebih lena. Bagi sesetengah orang pula, matlamatnya lebih sederhana, mahu terus aktif dan mampu melakukan perkara yang diminati tanpa tubuh menjadi penghalang apabila usia meningkat.
Malah, sekadar bangun dari kerusi dan bergerak dengan selesa juga satu nikmat yang mungkin tidak kita hargai ketika masih muda. Mungkin itu juga sebabnya semakin ramai melihat senaman bukan sekadar usaha untuk mendapatkan tubuh yang lebih cantik, tetapi sebagai cara memastikan tubuh terus mampu mengikut rentak kehidupan, tidak kira usia.
Pada usia lebih muda, senaman sering dikaitkan dengan penampilan, menurunkan berat badan, membentuk tubuh, membina otot dan meningkatkan kecergasan.
Namun, apabila usia meningkat, tujuan bersenam juga boleh berubah. Kita mula lebih menghargai kemampuan tubuh untuk terus bergerak, melakukan aktiviti harian dengan mudah dan menjalani kehidupan tanpa terlalu banyak batasan fizikal.
Pendek kata, semakin usia bertambah, kecergasan bukan lagi semata-mata tentang bagaimana kita kelihatan, tetapi sejauh mana tubuh masih mampu membantu kita menjalani kehidupan yang aktif.
BIMBINGAN JURULATIH
Bagi yang sudah biasa ke gim, deretan mesin dan dumbel mungkin tidak lagi menghairankan. Tetapi bagi yang baru hendak bermula, suasananya boleh membuatkan rasa sedikit kekok dan terdapat pelbagai soalan. Mesin yang mana satu? Perlu angkat berapa berat? Betulkah cara melakukan sesuatu pergerakan dan sebagainya.
Di sinilah jurulatih peribadi boleh menjadi pilihan, terutama bagi mereka yang memerlukan panduan dan keyakinan untuk bermula.
Bagi yang sudah lama tidak bersenam, bimbingan seperti ini boleh menjadikan langkah pertama lebih mudah dan meyakinkan.
Namun, jurulatih bukan satu-satunya pilihan untuk membina rutin yang konsisten. Ada yang lebih gemar mengikuti kelas secara berkumpulan atau bersenam bersama pasangan dan rakan-rakan, manakala ada juga yang lebih selesa datang sendiri dan mengikuti rutin mengikut kesesuaian masing-masing.
Apa pun pilihan, yang penting ialah mencari cara yang membuatkan kita selesa dan konsisten melakukannya. Kerana, cabaran sebenar bukan bersenam sekali atau dua kali, tetapi menjadikannya sebahagian daripada rutin yang konsisten.
SETIAP ORANG BERBEZA
Apabila melihat beberapa generasi bersenam dalam ruang yang sama mengingatkan saya bahawa tiada satu bentuk kecergasan yang sesuai untuk semua. Golongan muda mungkin mengejar kekuatan, kecergasan atau prestasi. Mereka mungkin mahu berlari lebih laju atau mencabar diri dengan latihan berintensiti tinggi.
Yang penting, kecergasan bukan pertandingan. Jika sudah lama tidak bersenam, tidak perlu terus mengikuti rutin orang lain. Mulakan secara beransur-ansur mengikut kemampuan dan beri tubuh masa untuk menyesuaikan diri sebelum meningkatkan cabaran.
Anda juga tidak semestinya perlu menghabiskan berjam-jam di gim. Bagi yang sibuk, sesi yang lebih singkat tetapi dilakukan secara konsisten mungkin lebih mudah untuk dikekalkan.
Satu perkara yang sering berlaku apabila berada di gim ialah membandingkan diri dengan orang lain. Contohnya, dia boleh berlari 30 minit, kita baru 10 minit sudah mahu berhenti. Dia boleh mengangkat dumbel yang lebih berat, sedangkan kita masih menggunakan dumbel ringan.
Setiap individu bermula dari tempat yang berbeza. Seseorang yang baru kembali bersenam selepas bertahun-tahun tidak aktif tidak perlu bersaing dengan mereka yang sudah lama membina kecergasan. Ukuran kemajuan juga tidak semestinya terletak pada angka di penimbang atau berat dumbel yang mampu diangkat.
Mungkin suatu hari kita sedar tangga yang dahulu membuatkan kita tercungap-cungap kini terasa lebih mudah. Atau selepas berjalan seharian ketika bercuti, kita masih mempunyai tenaga untuk keluar makan malam. Itu juga satu kemajuan. Kadangkala, perubahan yang paling bermakna bukan sesuatu yang boleh kita ukur, tetapi sesuatu yang kita rasakan dalam kehidupan seharian.
KEKAL AKTIF
Apabila usia meningkat, mungkin cara kita melihat kecergasan juga berubah. Kita tidak lagi bersenam semata-mata untuk mengejar bentuk tubuh tertentu atau kelihatan lebih muda. Apa yang lebih penting ialah mempunyai tubuh yang cukup kuat dan bertenaga untuk terus melakukan tugas seharian dan perkara yang kita sukai.
Tidak perlu menjadi orang paling kuat di dalam gim atau mengangkat dumbel paling berat. Kemajuan mungkin sekadar berasa lebih bertenaga, lebih yakin bergerak atau menyedari bahawa tubuh kini lebih mudah melakukan sesuatu yang dahulu terasa mencabar.
Begitu juga, tidak perlu bermula dengan rutin yang terlalu berat. Mulakan perlahan-lahan mengikut kemampuan dan beri tubuh masa untuk menyesuaikan diri. Yang penting, terus bergerak dan cari bentuk senaman yang sesuai dengan diri serta mudah dijadikan sebahagian daripada rutin seharian.
Kerana pada akhirnya, mungkin itulah tujuan sebenar bersenam, bukan untuk melawan usia, tetapi untuk terus menikmati kehidupan bersamanya. Kekal kuat, terus bergerak dan mempunyai tenaga untuk melakukan perkara yang kita sukai, pada setiap peringkat usia.
5 perkara bersenam di gim:
• Kasut yang sesuai
Pilih kasut yang selesa jenis senaman. Kasut untuk berlari, misalnya, tidak semestinya pilihan terbaik untuk semua jenis latihan.
• 'Warm-up' atau panaskan badan
Luangkan beberapa minit untuk memanaskan tubuh sebelum memulakan latihan. Ia dapat membantu mempersiapkan otot dan sendi sebelum memulakan rejim anda.
• Bawa air
Bersenam membuatkan tubuh kehilangan cecair, terutama dalam cuaca panas. Pastikan untuk membawa botol air dan hidrat tekak sebelum, semasa dan selepas bersenam.
• Beri tubuh masa untuk pulih
Senaman bukan bermakna perlu dilakukan setiap hari. Rehat juga penting supaya tubuh mempunyai masa untuk pulih dan kembali bertenaga.
• Jaga kebersihan ruang bersama
Lap peralatan selepas digunakan dan letakkan semula dumbel atau peralatan di tempatnya. Gim ialah ruang yang dikongsi bersama, jadi perkara kecil ini membuatkan pengalaman semua orang lebih selesa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.