Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Usaha lestarikan keunikan zapin Johor kepada generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Tarian zapin begitu sebati dengan identiti Johor sehingga tarian warisan itu menjadi antara kemestian dalam setiap keraian. 

Tarian tradisional yang mempunyai gerak langkah lemah gemalai itu mempunyai keunikan tersendiri sehingga ia menjadi ‘trademark’ kepada negeri di selatan tanah air itu. 

Bermula dengan langkah ‘taksim’ sebagai tanda hormat kepada pemain gambus, diikuti dengan lagu pantun sehingga diakhiri dengan langkah ‘wainab’, setiap gerak tari mempunyai maksud tersendiri yang menjadi keistimewaan zapin Johor. 

Jurulatih tarian zapin Yayasan Warisan Johor (YWJ), Rohayu Mohd Yusoh berkata keunikan zapin Johor yang diwarisi turun-temurun itu tidak boleh dipisahkan dengan alunan muzik tradisional melibatkan instrumen wajib seperti maruas dan gambus yang juga merupakan alatan tradisional Johor. 

Cik Rohayu yang sudah berkhidmat selama 16 tahun di YWJ berkata zapin Johor mempunyai pelbagai jenis tarian di setiap daerah dengan kelincahan dan keindahan gerak tari mempunyai maksud yang tersendiri. 

 “Di Johor terdapat pelbagai jenis zapin yang mewakili setiap daerah sebagai contoh kalau di Kampung Pekajang, Johor Bahru kita ada Zapin Pekajang...di Batu Pahat, Zapin Kores dan Tanjung Labuh dan di Mersing Zapin Tenglu dan Tenglu Mak Usu.

“Sekarang kita ada 16 zapin jadi setiap daerah dan jenis zapin ada maksud tersendiri dan itulah keunikan zapin Johor,” kata beliau ketika ditemui Bernama di Yayasan Warisan Johor.

Meskipun berdepan arus pemodenan yang menjadikan tarian tradisional ini kian dilupakan masyarakat, pihaknya tidak berputus asa untuk sentiasa perkenalkan tarian zapin Johor ini kepada generasi baru. 

Beliau memaklumkan, selain membuat pendedahan tarian ini di peringkat sekolah dan memperluaskan di setiap daerah, YWJ juga pada masa sama mengkaji tarian warisan terbabit. 

Seorang penari Mohd Yusof Salleh, 36 tahun, yang menganggap zapin sebagai ikon bagi negeri Johor menyifatkan keistimewaan tarian zapin Johor terletak pada gabungan muzik maruas yang hanya digunakan untuk tarian tradisional itu.

“Keunikan tarian ialah muzik iringan alunan maruas yang khas digunakan untuk tarian zapin sahaja, telingkah kopak iaitu paluan maruas di akhir pantun membuatkan tarian zapin menjadi meriah. 

“Dan petikan gambus seolah-olah satu zikir, penari harus mengikut rentak dan langkah yang disusun mengikut alat muzik tersebut menunjukkan keharmonian tarian zapin itu sendiri,” kata beliau.

Sementara itu, penari muda dikenali sebagai Nazatul Atiqah, 23 tahun, berkata tarian warisan zapin bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipelajari berbanding tarian moden. 

Bagaimanapun, gadis yang mencintai tarian warisan tersebut dan berpengalaman membawa tarian zapin ke Tokyo, Jepun dan Brunei bercita-cita ingin memperluaskan tarian tradisional itu ke persada dunia. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan