Skip to main content

Gaya Hidup

Urat varikos: Perlukah anda bimbang?

Beberapa urat varikos mula kelihatan pada kaki anda. Bolehkah keadaan tersebut dirawat?

Anggaran Waktu Membaca:
Urat varikos: Perlukah anda bimbang?

Urat varikos lazimnya terbentuk pada bahagian kaki, buku lali dan tapak kaki. (Gambar: Canva)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 10:03PM
NEW YORK: Beberapa urat varikos mula kelihatan pada kaki anda. Bolehkah keadaan tersebut dirawat?

Urat varikos sukar untuk diabaikan. Saluran darah yang timbul, berbonjol dan kelihatan seperti tali ini jelas kelihatan pada permukaan kulit, dan bagi kebanyakan orang, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa.

Ia paling lazim terbentuk pada bahagian kaki, buku lali dan tapak kaki, namun kadangkala juga boleh muncul di bahagian pelvis serta bahagian badan yang lain.

Walaupun sehingga 30 peratus orang dewasa mengalami urat varikos, ia "tidak mengancam nyawa atau anggota badan", kata Dr Faisal Aziz, Ketua Pembedahan Vaskular di Penn State Health.

Beberapa perubahan gaya hidup yang mudah untuk dilakukan boleh membantu mengurangkan simptom dan mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih teruk, namun ia lazimnya tidak dapat menghilangkan urat varikos yang sedia ada.

Berikut merupakan sebab-sebab urat varikos terbentuk serta keadaan yang memerlukan pemeriksaan perubatan.

APAKAH PUNCA URAT VARIKOS?

Arteri membawa darah keluar dari jantung, manakala vena membawanya kembali ke jantung. Namun tugas itu lebih sukar bagi vena di bahagian kaki kerana darah perlu bergerak melawan graviti, kata Dr Faisal.

Justeru, tubuh bergantung pada sistem yang mempunyai dua bahagian. Apabila seseorang bergerak, otot betis akan menekan vena di bahagian kaki dan menolak darah ke atas, manakala injap sehala menghalang darah daripada mengalir semula ke bawah, kata Dr Isabella Kuo, pakar bedah vaskular di Pusat Perubatan Universiti California Irvine.

Urat varikos terbentuk apabila injap tersebut menjadi lemah atau gagal ditutup dengan sempurna. Akibatnya, darah terkumpul di bahagian kaki, meningkatkan tekanan dan menyebabkan vena mengembang.

Menurut Dr Faisal, sejarah keluarga merupakan faktor risiko paling utama bagi urat varikos. Namun, peningkatan usia, berat badan berlebihan serta pekerjaan yang memerlukan seseorang duduk atau berdiri bagi tempoh yang lama turut meningkatkan risiko keadaan tersebut.

Wanita juga lebih berisiko mengalami urat varikos. Walaupun puncanya masih belum difahami sepenuhnya, terapi penggantian hormon dan kehamilan dipercayai memainkan peranan, kata Dr Kuo.

Memandangkan kebanyakan faktor risiko tersebut berada di luar kawalan seseorang, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mencegah urat varikos. Namun, pengamalan gaya hidup yang aktif, mengekalkan berat badan sihat serta mengelak daripada duduk atau berdiri terlalu lama boleh membantu mengurangkan tekanan pada vena.

ADAKAH URAT VARIKOS BERBAHAYA?

Jika urat varikos tidak menyebabkan kesakitan atau gangguan, tiada masalah untuk membiarkannya sahaja, kata Dr Angela Kokkosis, Pengarah Pusat Penjagaan Vena di Stony Brook Medicine.

Namun begitu, banyak kes disertai simptom dan wajar diperiksa.

Sebagai contoh, apabila darah terkumpul di dalam vena, ia boleh menyebabkan kesakitan, rasa tidak selesa dan kaki juga boleh terasa berat. Jika tekanan kekal tinggi, cecair dan sel darah merah boleh meresap ke tisu berhampiran, kata Dr Kokkosis, sekali gus menyebabkan bengkak, kulit gatal dan kering serta perubahan warna kulit.

Dalam kes yang jarang berlaku, urat varikos boleh menyebabkan ulser, khususnya jika ia tidak dirawat, kata Dr Faisal.

Urat varikos juga dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami trombosis vena dalam (deep vein thrombosis atau DVT), iaitu pembekuan darah yang berpotensi mendatangkan bahaya.

Oleh itu, jika berlakunya bengkak atau kesakitan secara tiba-tiba pada sebelah kaki sahaja – terutamanya selepas duduk terlalu lama, seperti ketika melakukan penerbangan jarak jauh – pemeriksaan perubatan perlu dijalani dengan segera.

APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN?

Urat varikos tidak boleh disembuhkan, namun para doktor mengesyorkan beberapa perubahan yang mudah diamalkan sebagai langkah awal untuk memperlahankan perkembangannya.

Matlamatnya adalah untuk membantu darah mengalir semula ke bahagian atas kaki, kata Dr Kokkosis.

Berjalan kaki seketika atau melenturkan kaki ketika duduk di meja kerja, sekurang-kurangnya sekali setiap sejam, boleh membantu dalam memastikan otot betis terus aktif.

Apabila duduk atau berbaring, doktor juga mengesyorkan supaya kaki diangkat lebih tinggi selama kira-kira 15 minit pada setiap satu masa.

Memakai stoking mampatan pada waktu siang juga boleh membantu. Stoking tersebut memberikan tekanan dari luar pada kaki, sekali gus membantu melawan kesan graviti dan mengurangkan pengumpulan darah.

Menurut Dr Faisal, stoking mampatan merupakan antara kaedah terbaik untuk melegakan simptom, namun sesetengah individu berasa kurang selesa memakainya, terutama di tengah-tengah cuaca panas.

Bagaimanapun, terdapat cara untuk memudahkan penggunaannya. Kebanyakan orang tidak memerlukan stoking mampatan yang tinggi sehingga ke paha. Stoking sehingga paras lutut dengan tahap mampatan sederhana lazimnya sudah memadai, tambah beliau.

Jika anda sukar untuk memakai stoking mampatan setiap hari, sekurang-kurangnya pakailah stoking tersebut pada hari yang memerlukan anda untuk duduk atau berdiri bagi tempoh yang lama, kata Dr Kokkosis.

Tiada ubat tanpa preskripsi yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) khusus untuk merawat urat varikos.

Namun, beberapa kajian menunjukkan bahawa suplemen seperti "micronised purified flavonoid fraction" dan ekstrak biji "horse chestnut" boleh membantu mengurangkan sakit kaki, rasa berat dan bengkak, kata Dr Kuo. Walau bagaimanapun, suplemen tersebut bukan pengganti kepada perubahan gaya hidup.

Jika anda masih mengalami kesakitan dan simptom lain selepas tiga hingga enam bulan, atau mengalami komplikasi seperti perubahan warna kulit atau ulser, anda disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar vena, kata Dr Faisal.

Selepas menolak kemungkinan masalah lain yang berkaitan, doktor boleh menutup vena yang bermasalah menggunakan haba, bahan pelekat atau larutan perubatan, atau membuangnya melalui pembedahan.

Rawatan tersebut bukan sahaja dapat memperbaiki penampilan urat varikos, malah mampu mengurangkan rasa berat dan sakit pada bahagian kaki.

Namun begitu, perlu diingat bahawa urat varikos merupakan satu keadaan kronik. Vena yang telah dirawat kadangkala boleh terbuka semula, dan pembedahan tidak menghentikan kecenderungan tubuh untuk membentuk urat varikos baharu pada masa hadapan.

"Ramai pesakit yang menjalani rawatan akan kembali beberapa tahun kemudian untuk merawat urat varikos yang baharu, dan selepas beberapa tahun, mereka mungkin memerlukan rawatan lagi," kata Dr Faisal.

"Tiada penawar untuk keadaan tersebut."
Sumber : New York Times/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita