Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ucapan terima kasih, kuntuman senyuman dorong Muhammad Firdaus Osman terus berkarya sebagai penghibur jalanan

"Anda benar-benar membuat saya berasa gembira. Walaupun hari ini adalah Hari Valentine, saya baru sahaja putus cinta. Terima kasih atas persembahan anda." - luah seorang penonton kepada Muhammad Firdaus Osman

Anggaran Waktu Membaca:
Ucapan terima kasih, kuntuman senyuman dorong Muhammad Firdaus Osman terus berkarya sebagai penghibur jalanan

Seniman jalanan Muhammad Firdaus Osman, juga dikenali sebagai Fyrdauz Macbeth (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 28 Dec 2021 12:11AM Dikemas Kini : 28 Dec 2021 12:13AM

SINGAPURA: Sekalipun Singapura kurang terkenal dari segi seniman jalanannya, namun masih terdapat sebilangan seniman jalanan yang masih berkarya dan membuat persembahan.

Jika mereka bernasib baik, mereka boleh menarik ramai penonton dan memperolehi ganjaran atas persembahan mereka itu. Apabila Singapura dilanda pandemik, sesetengah seniman jalanan terpaksa berkarya secara online - meskipun tanpa kehadiran ramai penonton yang menyaksikan persembahan mereka.

Maka itu, mengapa mereka memutuskan untuk memberikan segalanya dalam persembahan mereka di depan khalayak ramai?

Apakah yang mendorong mereka untuk terus berkarya dan membuat persembahan?

MUHAMMAD FIRDAUS OSMAN: "SAYA BOLEH MENGGEMBIRAKAN ORANG LAIN"

"Saya adalah penghibur jalanan yang selalu membuat persembahan pada Hari Valentine."

Muhammad Firdaus Osman, atau lebih dikenali sebagai Fyrdauz Macbeth, telah membina reputasi sebagai penyanyi yang gemar mendendangkan lagu-lagu malar segar dan lagu-lagu cinta berhampiran Mandarin Gallery di Orchard Road.

"Biasanya, pasangan-pasangan kekasih akan duduk di anak tangga Wisma Atria dan mendengarkan lagu-lagu cinta dendangan saya," dedah Firdaus yang berusia 27 tahun.

"Ramai yang akan memberitahu saya: "Terima kasih kerana menggembirakan kami pada malam ini'."

Sejak bertahun-tahun beliau membuat persembahan pada hari cuti umum, satu memori begitu terserlah sekali.

Meskipun ramai pasangan kekasih sanggup berhenti untuk menyaksikan persembahannya, ada seorang penonton yang secara tiba-tiba menghampiri Firdaus dan berkata: "Anda benar-benar membuat saya berasa gembira. Walaupun hari ini adalah Hari Valentine, saya baru sahaja putus cinta. Terima kasih atas persembahan anda."

"Anehnya, perkara yang sama berlaku dua kali; dua insan berbeza; dua tahun berbeza," kata Firdaus lagi. "Saya bersyukur kerana setidak-tidaknya saya berpeluang membuat orang lain berasa gembira."

Penyanyi dan penggubah lagu itu mula membuat persembahan sebagai seorang seniman jalanan lima tahun yang lalu dengan gitar dan sepanduk yang berbunyi: "Saya bernyanyi di kaki lima untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih indah".

Menurut Firdaus, dia mula menyedari bahawa minatnya itu boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan dan kerjaya sepenuh masa.

Apabila seniman jalanan tidak lagi dibenarkan untuk membuat persembahan secara langsung disebabkan oleh pandemik, Firdaus bekerja sebagai seorang jurutera elektrik untuk menyara hidupnya.

 

Sungguhpun demikian, dia masih bertekad untuk terus membuat persembahan di depan khalayak ramai apabila sekatan-sekatan COVID-19 ditarik balik kelak kerana ia memberinya kebebasan untuk menyanyi di luar dan semakin dikenali ramai.

"Dengan membuat persembahan seperti ini, anda tidak terikat dengan sesiapa pun. Seperti membuka kedai sendiri, apa saja yang dilakukan adalah hak milik anda," kata pemuzik itu. "Membuat persembahan seperti ini akan mendekatkan saya dengan para penonton. Saya dapat berinteraksi dan beramah mesra dengan para penonton (dengan mereka). Itulah yang membuat saya berasa sangat gembira."

Sumber : CNA/NY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan