Skip to main content

Gaya Hidup

Ubah sampah jadi wayang kulit, seniman Indonesia ini berjuang lindungi warisan budaya Nusantara

 Ada sesuatu yang memukau tentang wayang kulit hasil buatan Iskandar Hardjodimuljo, yang sekilas pandang tampak sederhana dan tidak elegan atau mewah seperti seni halus tradisional yang biasanya dipersembahkan di pentas yang besar dan megah.

Anggaran Waktu Membaca:
Ubah sampah jadi wayang kulit, seniman Indonesia ini berjuang lindungi warisan budaya Nusantara

Seniman Indonesia Iskandar Hardjodimuljo dengan wayang kulit diperbuat daripada sampah atau 'wayang uwuh' (Gambar: Nivell Rayda/CNA)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 12:11AM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 12:24AM

JAKARTA: Ada sesuatu yang memukau tentang wayang kulit hasil buatan Iskandar Hardjodimuljo, yang sekilas pandang tampak sederhana.

Wayang kulit yang dihasilkan oleh seniman Indonesia ini tidak elegan atau mewah seperti seni halus tradisional yang biasanya dipersembahkan di pentas yang besar dan megah.

Sebaliknya, wayang kulit hasil tangan Iskandar dihiasi dengan warna-warna cerah dan garang, dilukis secara sembarangan, untuk dipersembahkan kepada kanak-kanak sekolah dan orang biasa.

Namun apa yang lebih menarik ialah wayang-wayang uwuh (yang dalam bahasa Jawa bermaksud "sampah") tidak dilukis pada kulit ataupun kayu, tetapi dihasilkan daripada kertas keras dan kadbod terpakai, serta botol plastik dan bekas makanan lama.

"Melalui wayang uwuh, ada pesanan mengenai keadaan hidup, budaya dan masyarakat," kata lelaki berusia 55 tahun itu kepada Mediacorp.

“Saya ingin memperkenalkan wayang kepada semua orang, terutama kanak-kanak. Saya juga ingin mengajar bahawa sampah boleh dijadikan karya seni dan sesuatu yang mempunyai nilai dan manfaat tinggi. "

25 TAHUN JADI AKAUNTAN, TUKAR JADI SENIMAN

Iskandar telah meminati wayang kulit sejak dari kecil lagi. Beliau dilahirkan dan dibesarkan di sebuah desa di pinggiran Yogyakarta, yang terkenal sebagai pusat kebudayaan Jawa dan tempat terakhir di mana seorang sultan Jawa masih bertakhta.

Namun, beliau tidak pernah bermimpi menjadi seorang artis, apatah lagi pembuat boneka wayang kulit.

Related article image
(Gambar: Nivell Rayda/CNA)

(Gambar-gambar: Nivell Rayda/CNA)

“Ketika saya masih di sekolah menengah, saya pernah membuat batik dengan motif wayang. Semasa saya di kuliah, saya sama sekali tidak berminat untuk mengembangkan jiwa seni saya,” kongsinya.

Cintanya pada dunia seni berputik semula ketika beliau mula bekerja sebagai seorang akauntan, kerjayanya selama 25 tahun.

"Saya melukis sebagai hobi. Saya mengajar diri sendiri. Tetapi saya selalu melukis wayang kulit dari masa lalu, untuk mengenang masa kecil saya. Semasa kecil, saya sering menonton wayang (kulit) di kampung,” kata Iskandar.

Lambat laun, Iskandar menjadi terkenal sebagai segelintir artis yang terlibat dalam seni melukis wayang secara khusus. Sekitar tahun 2000, beliau mula mengambil bahagian dalam pameran.

"Prosesnya panjang. Namun, pada akhirnya saya memutuskan untuk menjadi artis,” katanya. Iskandar berhenti bekerja sebagai akauntan pada 2012.

SISA AKIBAT BANJIR CETUS ILHAM

Pada masa itu, Iskandar hanya melukis gambar wayang kulit pada kanvas. Beliau mula membuat watak-watak wayang kulit pertamanya pada 2013.

"Saya mengambil bahagian dalam pameran Biennale Jakarta. Pada masa itu temanya adalah, 'Seni di Antara Kita'," katanya.

"Saya seorang sukarelawan pada waktu itu, mengajar di sebuah desa seni di tebing Sungai Ciliwung. Tahun itu berlaku banjir besar. Jadi ada banyak plastik, papan lapis, botol yang sampai ke kampung tempat saya menjadi sukarelawan,” kata Iskandar. "Saya segera mempunyai idea. Saya boleh membuat wayang kulit dari bahan-bahan ini."

Walaupun pada awalnya wayang uwuh hanyalah projek sampingan untuk pameran, karya seni itu kemudian menjadi suatu obsesi buat Iskandar.

Related article image
(Gambar: Nivell Rayda/CNA)

"Saya suka membuat patung wayang kulit dari sampah. Saya boleh berinovasi dengan pelbagai bahan. Kreativiti kita dicabar. Sekarang, ketika saya melihat sampah, saya segera berfikir: 'Apa yang dapat saya hasilkan?'"

Walaupun ramai seniman bereksperimen dengan barangan terpakai, boleh dikatakan bahawa Iskandar adalah satu-satunya artis yang mengubah sampah menjadi patung wayang kulit.

"Saya ingin menghidupkan semula minat terhadap warisan budaya kita. Wayang kulit semakin ditinggalkan oleh golongan muda. Mereka lebih berminat dengan muzik dan budaya seni Barat dan moden. "

LESTARIKAN "KEKAYAAN BUDAYA KITA"

Menurut Iskandar, wayang uwuh telah menjadikan dirinya seorang artis terkenal. Dalam usahanya mengubah sampah menjadi patung wayang kulit, beliau telah menerima banyak undangan untuk mempamerkan seninya dan mengadakan bengkel di luar negeri, dari Thailand hingga ke Itali.

Related article image
(Gambar: Nivell Rayda/CNA)

Beliau juga rajin adakan bengkel untuk kanak-kanak dan seniman muda, di mana mereka juga belajar teknik mengubah sampah menjadi patung wayang darinya.

"Walaupun saya sering diajak pergi ke luar negara, saya lebih suka mengajar anak-anak di Indonesia mengenai wayang dan seni membuat wayang dari sampah," katanya.

"Sekarang, hanya saya sahaja yang membuat wayang dari sampah secara kerap. Impian saya ialah supaya ramai artis lain yang berminat mengubah sampah menjadi karya seni sambil melestarikan warisan budaya kita."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita