Tulang rusuk wanita ini patah, gara-gara batuk terlalu teruk
Beliau sudah menghidap batuk kering yang berlarutan selama dua minggu dan berasa sakit di bahagian kanan badannya.

Gambar hiasan. (Gambar: Usplash/Michael Amadeus)
NEW ENGLAND: Biasanya bila diserang batuk, tekak terasa perit dan mungkin dada sakit.
Namun bagi seorang wanita, batuknya begitu teruk sehingga tulang rusuk beliau patah!
Apabila wanita berusia 66 tahun itu, yang namanya tidak didedahkan dalam laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England, pertama kali berjumpa doktor beliau disangka mengalami selesema biasa.
Beliau sudah menghidap batuk kering yang berlarutan selama dua minggu dan berasa sakit di bahagian kanan badannya, lapor laman Independent.
Ubat selesema yang diberikan kepada beliau pula tidak melegakan kesakitan yang dialami.
Apabila beliau sekali lagi berjumpa doktor sekitar lima hari kemudian, wanita berkenaan menyelak bajunya dan menunjukkan kesan lebam pada bahagian atas sebelah kanan perutnya.
Ternyata beliau mengalami masalah lain, lapor laman Independent.
Wanita, yang berasal dari Massachusetts, New England itu, menjalani imbasan CT yang mendedahkan bahawa beliau mengalami keretakan tulang rusuk kesembilan. Malah, tulang rusuk tersebut patah.
Ujian lanjutan mengesahkan bahawa beliau mengalami jangkitan Bordetella pertussis, yang menyebabkan batuk kokol, menurut laman Independent.
Ini meskipun beliau pernah menerima suntikan bagi mencegah batuk kokol lapan tahun lalu.
Wanita itu berkata beliau juga tidak berhubungan dengan sesiapa yang sedang sakit.
Batuk kokol jarang berlaku dan lazimnya tidak serius dalam kalangan pesakit dewasa. Namiun dalam kes teruk, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti keretakan tulang rusuk.
Simptom-simptom awal termasuk hidung beringus, mata yang merah dan berair, sakit tekak dan suhu badan yang naik sedikit.
Batuk yang teruk lazimnya bermula sekitar seminggu selepas simptom-simptom tersebut.
Wanita itu diberi antibiotik dan sembuh sepenuhnya setelah menjalani pembedahan.
Semua kakitangan klinik dan anggota keluarga wanita itu juga dirawat bagi memastikan mereka tidak terkena jangkitan kuman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.