Skip to main content

Gaya Hidup

Trifecta tawar pelbagai sukan luncur sesuai untuk semua peringkat umur

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Peluang untuk bermain sukan papan selaju, luncur air dan salji di tengah-tengah kawasan Orchard Road.

Semua itu dapat dilakukan dalam satu lokasi di tarikan pelancong terbaharu Trifecta oleh The Ride Side yang terletak bersebelahan stesen MRT Somerset.

Pengasas bersama Trifecta, Encik Terry Tan dan jurulatih Encik Alfian Affandi, berkongsi dengan BERITA Mediacorp idea dan ciri-ciri tarikan sukan dengan konsep ‘endless riding’ atau pengalaman bermain yang tidak berkesudahan itu.

LUNCUR AIR DAN SALJI DI TENGAH BANDAR SG

Encik Terry Tan mula melakukan sukan luncur salji kira-kira lapan tahun yang lalu dan sering ke luar negara untuk melakukan sukan itu bersama teman-temannya.
Gambar: The Ride Side
Namun, aktiviti itu terhenti apabila COVID-19 melanda.

“Apabila COVID-19 melanda pada tahun 2019, kami ingin membawa gunung dan ombak ke Singapura agar semua warga Singapura boleh meluncur salji dan air - sesuatu yang tidak boleh dilakukan sebelum ini. Kemudian kami memutuskan untuk menjadikannya satu realiti," kongsi Encik Tan.

Beliau mengakui bukan mudah untuk menjadikan idea tersebut satu kenyataan.

"Terdapat pelbagai cabaran daripada segi pembinaan hingga ke reka bentuk ruang. Kami berhadapan dengan begitu banyak batasan. Dan juga ketika berhubung dengan pihak berkuasa untuk memastikan mereka menyokong konsep dan visi kami. Itu juga agak mencabar.

"Daripada segi operasi juga mempunyai banyak cabaran untuk menggabungkan tiga sukan berbeza dalam satu ruang. Itu sebenarnya agak menakjubkan dengan sendirinya tetapi kami berjaya melakukannya bersama-sama," kata beliau.

Tambahnya, beliau dan pengasas bersama yang lain perlu juga mencari huraian kreatif untuk sebarang masalah seperti dalam operasi seharian.

Misalnya, untuk mengatasi masalah tenaga kerja, jurulatih mengajar lebih daripada satu jenis sukan, selaras dengan konsep Trifecta.

MANFAATKAN TEKNOLOGI TERBAHARU

Tarikan itu menawarkan teknologi terbaharu dalam simulator luncur air dan salji yang pertama seumpamanya di Asia.

Para pengunjung, yang baharu atau yang berpengalaman, boleh melakukan semua aktiviti tersebut dalam ruang yang selamat.

ARENA SALJI

Para pemain papan salji di Trifecta akan meluncur di atas "karpet ski" yang direka untuk meniru pengalaman meluncur atas salji dan dilembapkan dengan air untuk mengurangkan pergeseran.

Para pemain berpengalaman boleh meluncur selaju 35 kilometer sejam atau dihadkan pada 10 kilometer sejam bagi pemain yang baharu belajar.
Gambar: Eva Adriana Azmi
ARENA LUNCUR AIR

Kolam luncur air di Trifecta direka oleh syarikat Jerman Citywave dan menggunakan 11 pam berkuasa untuk menghasilkan arus ombak yang deras.

Ketinggian ombak boleh disesuaikan mengikut pengalaman pemain.

"Mesin luncur air (kami) adalah yang terbesar di Asia. Lebarnya hampir 10 meter, dan ketinggian ombak boleh disesuaikan pada ketinggian rendah yang selamat untuk mereka yang baharu belajar dan boleh mencapai hampir 1.7 meter," kata Encik Tan.

Encik Alfian menambah: “Kalau di luar sana, kita perlu lalui banyak keadaan seperti arus, mungkin ada bahaya di lautan seperti jerung atau obor-obor. Tetapi di sini, persekitaran lebih terkawal dan (saiz dan deras) ombak sentiasa sama.”
Gambar: Eva Adriana Azmi

KANAK-KANAK JUGA BOLEH CUBA!

Tarikan bertemakan sukan ini juga mesra keluarga.

“Kami ingin mencipta satu tempat di mana keluarga boleh datang bersama, bermain bersama, dan menikmati sukan ini tanpa perlu ke luar negara.

"Mereka boleh belajar bermain luncur air dan salji dengan kos yang sangat rendah. Jadi mereka tidak perlu melancong ke luar negara ke Jepun atau New Zealand untuk belajar. Dengan cara ini seisi keluarga akan mempunyai lebih banyak akses kepada sukan yang sebelum ini tidak begitu berpatutan untuk kebanyakan kita." kata Encik Tan.

Keluarga dengan kanak-kanak tidak perlu bimbang kerana Trifecta memenuhi keperluan semua peringkat umur dan tahap kemahiran.

Sentiasa ada jurulatih di sini untuk memastikan keselamatan para pemain.

Selain ketinggian ombak dan kelajuan mesin luncur salji yang boleh disesuaikan, pemegang besi juga disediakan bagi mereka yang memerlukan sokongan tambahan.


“Kami ada kanak-kanak dalam tujuh tahun, lapan tahun yang tidak berpengalaman tetapi dapat melakukan sukan itu selepas sesi pertama.”

“Kemudahan ini sesuai untuk semua orang. Hujan atau panas, anda masih boleh bersukan. Ia selamat untuk semua orang, untuk semua peringkat umur,” kata Encik Alfian

Trifecta dibuka dari jam 7 pagi hingga tengah malam setiap hari.

Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita