Skip to main content

Gaya Hidup

Trend kongsi katil dengan rakan sebilik kian meningkat di Australia, Kanada semata-mata untuk jimat kos sewa

Anggaran Waktu Membaca:
Trend kongsi katil dengan rakan sebilik kian meningkat di Australia, Kanada semata-mata untuk jimat kos sewa

Gambar: aserealty/TikTok

Diterbitkan : 21 Nov 2023 11:40PM
TORONTO: Harga sewa bilik yang semakin meningkat memberi laluan kepada trend seperti "hot bedding", iaitu aturan tidur yang berkongsi katil dengan rakan sebilik semata-mata untuk menjimatkan wang.

Sebuah video TikTok yang tular dan dimuat naik oleh ejen hartanah dan pencipta kandungan digital Anya Ettinger pada 22 Oktober menunjukkan reaksinya kepada sebuah iklan sewa rumah di Toronto pada laman Facebook Marketplace yang menawarkan "hot bedding".

Bertajuk "Kongsi bilik tidur di kondo menghadap tasik", bilik tersebut ditawarkan pada harga sewa CAD 900 (S$876.70) setiap bulan.

Catatan awal menunjukkan bahawa ia mencari seorang "wanita yang mudah mesra" untuk "berkongsi" katil saiz Queen di bilik tidur utama kondominium itu. Ia juga menunjukkan bahawa satu lagi catatan di Facebook Marketplace yang menawarkan aturan yang sama berjalan dengan "lancar".

"Sembilan ratus dolar sebulan, untuk kongsi, bukan katil (saiz) king, di mana anda boleh letak bantal halangan dengan selesa, sebuah katil saiz king dengan orang lain, yang bukan pasangan anda," tambah Cik Ettinger, sambil berkata aturan itu adalah "tidak munasabah".

Video yang dimuat naik oleh Cik Ettinger itu menjadi tular dengan pantas, dengan meraih lebih daripada 611.300 tontonan, 39,700 tanda suka dan 1,673 komen setakat Selasa (21 Nov).

"Hot Bedding" bukan trend yang baru. Terdapat berbagai laporan mengenai popularitinya yang semakin meningkat di Australia tahun ini.

Malah, rakan-rakan sebilik itu boleh mengatur jadual tidur mereka supaya mereka boleh mengambil 'syif' untuk tidur bersendirian di bilik itu.

Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai "Priyanka", berkongsi bahawa pengalamannya melalui "hot bedding" melibatkan seorang pemandu trak yang bekerja pada waktu malam, menurut agensi berita Australia SBS World News.

Selepas kos sewa dibahagikan dua, "Priyanka" membayar AUS$550 (S$483) sebulan untuk tidur di bilik itu pada waktu malam, sementara pemandu trak itu akan menginap di bilik itu pada siang hari selepas pulang daripada kerja.

Indeks kos sara hidup yang semakin meningkat di Australia telah menyebabkan pelajar dan golongan muda seperti "Priyanka" untuk menggunakan langkah-langkah sebegitu untuk menjimatkan wang.

Sebuah tinjauan pada 2021 yang melibatkan 7,000 pelajar antarabangsa di Sydney dan Melbourne mendapati bahawa 3 peratus daripada mereka memilih "hot bedding" untuk menjimatkan kos sewa, lapor laman berita kewangan dan perniagaan Business Insider.

Namun, walaupun kos sewa rumah di Singapura juga turut meningkat, sebuah pencarian online menunjukkan bahawa tiada iklan yang menawarkan "hot bedding" secara terbuka.

Sebuah iklan yang mungkin boleh dianggap "hot bedding" walaupun ia tidak menyatakannya, mencari seorang rakan sebilik lelaki yang ingin "mengongsi bilik tidur". Harga yang dipaparkan di dalam gambar adalah untuk satu katil saiz antara 'queen' atau 'king', dan iklan itu juga menyatakan bahawa ia lebih menggemari rakan sebilik yang "tidak bekerja syif malam".

Ramai pengguna TikTok berasa ragu-ragu terhadap iklan di video Cik Ettinger, dengan ada yang mempersoalkan niat sebenar pemilik rumah itu.

Seorang pengguna berkongsi pengalamannya: "Saya pergi melihat tempat sebegini. Iklan menyatakan US$1,200 (S$1,603) untuk satu bilik. Ternyata, ia sebuah kondo satu bilik dan lelaki berusia 60 tahun itu hendak berkongsi katil."

Ada pula yang tidak dapat membayangkan bahawa mereka mengeluarkan wang hanya untuk mereka kehilangan privasi.

"Saya menyewa flat dua bilik bersendirian. Saya boleh mencari rakan serumah kerana ia agak mahal, tetapi saya terlalu menghargai privasi saya. Ini gila," komen seorang pengguna.

Para pengguna lain juga meninggalkan komen mengenai pengalaman mereka berdepan aturan serupa di London, New York City, California, Montreal dan Vancouver.
Sumber : Today/AT/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita