Skip to main content

Gaya Hidup

Trauma di tempat kerja boleh berlarutan selepas berhenti kerja, bagaimana untuk mengatasinya?

Lebih sedekad lalu, Noah berpindah ke Singapura untuk bekerja di sebuah syarikat teknologi berbilang negara, dalam pekerjaan yang disifatkannya sebagai satu impian menjadi kenyataan.

Anggaran Waktu Membaca:
Trauma di tempat kerja boleh berlarutan selepas berhenti kerja, bagaimana untuk mengatasinya?

Trauma di tempat kerja boleh menjejas harga diri dan keyakinan terhadap nilai diri seseorang. (Gambar: iStock/Rudi Suardi)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 12:16PM
SINGAPURA: Lebih sedekad lalu, Noah berpindah ke Singapura untuk bekerja di sebuah syarikat teknologi berbilang negara, dalam pekerjaan yang disifatkannya sebagai satu impian menjadi kenyataan.

Lima tahun pertamanya berjalan lancar sebelum rombakan besar dalam organisasi menyaksikan beliau ditempatkan dalam pasukan baharu di bawah pengurus baharu.

Menurut Noah, pengurus tersebut mempersoalkan gajinya, membuat kenyataan berbaur perkauman dan mempersendakan amalan agamanya.

Dalam satu kejadian, komputer ribanya digunakan untuk menghantar e-mel mengandungi penghinaan dan kata-kata kesat kepada seluruh jabatan.

Noah kemudian mengetahui bahawa pengurusnya yang berbuat demikian, kononnya sebagai "pengajaran" supaya beliau sentiasa mengunci skrin komputernya.

Keadaan itu turut menjejas kesihatannya. Tangan kirinya menjadi kaku dan sukar digerakkan, manakala beliau semakin sukar untuk bangun dan pergi bekerja.

Walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan syarikat tersebut, Noah, yang kini berusia 45 tahun dan merupakan seorang pemilik perniagaan, berkata kenangan mengenai bekas pengurusnya masih boleh menyebabkan beliau menggigil dan mengalami jantung yang berdebar-debar.

Pengalaman sedemikian kadangkala digambarkan sebagai "trauma di tempat kerja".

Pakar psikologi klinikal Amrit Kaur berkata perbuatan membuli, menghina dan mengganggu secara berterusan atau tekanan kronik boleh mengatasi keupayaan biasa seseorang untuk menghadapinya dan meninggalkan kesan berpanjangan.
Related article image
Antara keadaan yang boleh menyebabkan trauma di tempat kerja termasuk dibuli secara berterusan, dihina di hadapan rakan sekerja serta dimarahi atau ditengking. (Gambar: iStock/hxyume)
BAGAIMANA PEKERJAAN BOLEH MENJEJAS DIRI

Cik Kaur berkata tekanan berkaitan pekerjaan boleh menjadi sangat sukar ditangani kerana seseorang sering dijangka terus menjalankan tugas dalam persekitaran yang menjadi punca tekanan tersebut.

Kesannya termasuk gangguan tidur, rasa takut menghadapi minggu bekerja, menjadi kaku ketika mesyuarat atau tidak mampu memaksa diri untuk menjawab e-mel.

Pakar psikologi klinikal Mahima Didwania dari The Other Clinic pula berkata kesan yang dialami berbeza antara individu.

Ia boleh merangkumi keresahan, kemurungan dan serangan panik hingga kemerosotan keyakinan serta kesihatan fizikal.

Pakar psikoterapi Michelle Mah, pengasas The Curious Bonsai, berkata kesannya juga boleh berupa kesukaran berfikir dengan jelas, daya ingatan yang lemah, kesukaran membuat keputusan, terlalu memikirkan sesuatu serta rasa tidak berdaya yang semakin meningkat.

Bagi Hana, 31 tahun, kesannya dapat dirasakan secara fizikal.

Dalam pekerjaan pertamanya di sebuah makmal, seorang rakan sekerja kanan sering menjeling, mengeluh dengan kuat dan kadangkala menolaknya ke tepi apabila beliau menghadapi kesukaran menjalankan sesuatu tugas.

Lama-kelamaan, sekadar melihat rakan sekerja tersebut menyebabkan tapak tangannya berpeluh dan jantungnya berdebar-debar. Beliau turut sukar memberikan tumpuan kerana takut melakukan kesilapan.
Related article image
Seseorang yang sering dimarahi oleh rakan sekerja kanan atau pengurus boleh mula berasa dirinya tidak bernilai. (Gambar: iStock/Liubomyr Vorona)
KESAN TERHADAP HARGA DIRI

Cik Kaur berkata bagi ramai individu, pekerjaan bukan sekadar tempat mencari pendapatan tetapi turut mempengaruhi bagaimana seseorang menilai kecekapan, kejayaan dan nilai dirinya.

Menurutnya, perkara itu amat ketara dalam masyarakat yang mementingkan pencapaian seperti Singapura, apabila kecekapan dalam pekerjaan sering dikaitkan dengan nilai diri seseorang.

Trauma di tempat kerja dengan itu boleh menghakis harga diri, terutama apabila pencapaian profesional berkait rapat dengan identiti seseorang.

Matthew, 32 tahun, berdepan pengalaman sedemikian ketika bekerja sebagai seorang pengurus dalam sektor penjagaan kesihatan.

Beliau berkata penyelianya sering menghina dan memarahinya atas alasan mempunyai "standard tinggi" dan mahu membimbingnya.

Beberapa rakan sekerjanya berhenti kerja dalam tempoh beberapa bulan sehingga beliau menjadi anggota terakhir dalam pasukan dan terpaksa memikul lebih banyak tugas.

Matthew akhirnya mula mempercayai penghinaan pengurusnya dan merasakan dirinya tidak bernilai.

DAPATKAN BANTUAN LUAR

Matthew akhirnya berhenti kerja selepas lebih setahun.

Namun, meninggalkan pekerjaan mungkin menghapuskan punca tekanan secara langsung tetapi tidak semestinya menghilangkan kesannya.

Hampir lima tahun kemudian, keadaan kesihatan mental Matthew bertambah baik, tetapi beliau kadangkala masih teringat kembali pengalaman di tempat kerja lamanya apabila menghadapi kesukaran dalam pekerjaan sekarang.

Cik Didwania berkata seseorang perlu mempunyai ruang selamat untuk memproses emosi tanpa bimbang tentang kesannya terhadap pekerjaan atau takut dihakimi.

Sokongan itu boleh diperolehi daripada rakan rapat, anggota keluarga atau menerusi terapi.

Menurutnya, terapi juga boleh membantu seseorang membina semula identiti dan keyakinan serta mengenal pasti nilai dan batas masing-masing, terutama apabila mempertimbangkan pilihan kerjaya lain.

JIKA TIDAK MAMPU MENINGGALKAN TEMPAT KERJA

Berhenti kerja atau berpindah ke jabatan lain mungkin menjadi pilihan terbaik bagi seseorang yang berdepan tekanan teruk di tempat kerja, namun ia bukan pilihan yang realistik bagi semua.

Komitmen seperti pinjaman perumahan, anak-anak, ibu bapa yang semakin berusia dan tanggungjawab kewangan lain boleh menyebabkan seseorang perlu terus bekerja meskipun persekitarannya menjejas kesejahteraan.

Cik Kaur menyarankan supaya masalah praktikal dan psikologi ditangani secara serentak.

Dari segi praktikal, seseorang boleh menilai keadaan kewangan, memahami pilihan cuti kerja atau cuti perubatan serta melihat sama ada tanggungjawabnya boleh diubah buat sementara waktu.

Dari segi psikologi pula, seseorang boleh mendapatkan terapi atau sokongan daripada individu yang dipercayai, menetapkan batas dan mencari cara untuk menjadikan keadaan di tempat kerja lebih terkawal.

BINA KEHIDUPAN DI LUAR PEKERJAAN

Pemulihan bukan sekadar mencari majikan yang lebih baik.

Cik Kaur berkata perlindungan yang lebih mendalam datang daripada membina semula rasa nilai diri yang tidak bergantung sepenuhnya kepada prestasi pekerjaan atau layanan yang diterima di sesebuah tempat kerja.

Noah misalnya memberikan lebih banyak perhatian kepada keluarga, kerohanian dan hobinya sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

Beliau turut menghadiri kegiatan di kawasan kejiranannya, meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak serta menjalinkan persahabatan di luar lingkungan profesional.

Hubungan tersebut membantunya menyedari bahawa seseorang boleh menghargainya atas sebab yang langsung tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Bagi Noah, pengalaman buruk itu akhirnya mengajarnya bahawa pekerjaan tidak menentukan keseluruhan nilai seseorang sebagai manusia.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita