Skip to main content

Gaya Hidup

Tradisi pelita panjut di Perak dihidupkan sempena sambutan Hari Raya

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Mar 2026 10:38PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 12:55AM
KAMPUNG PASIR PUTEH: Tradisi pelita panjut sudah lama diamalkan di kampung-kampung seluruh Malaysia, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Di Perak, sebuah kampung kembali bersinar dengan cahaya pelita panjut, mencerminkan warisan tradisi memupuk semangat kebersamaan yang terus dipelihara dalam kalangan penduduk.

Di Kampung Pasir Puteh, persiapan menjelang Hari Raya bermula beberapa minggu lebih awal.

Bagi sebuah keluarga di kampung tersebut, ia bermula dengan penjelajahan yang sudah menjadi kebiasaan.

Disertai keluarganya, Jasmi Daud, 67 tahun, menuju ke hutan untuk mencari buluh.

Buluh merupakan bahan asas untuk membuat pelita panjut - hiasan lampu minyak tradisional yang sinonim di kampung-kampung sepanjang Ramadan dan Hari Raya.

"Atas minat ayah saya dulu, arwah dia, jadi anak cucu terikut-ikut dia punya peninggalan tu. Ya, memang mana-mana pun dia akan buat. Walaupun tidak ada pertandingan, setiap rumah akan ada pelita atau panjut," kata Encik Jasmi.

Sekembali ke rumah, persiapan segera dibuat.

Bahan membuat pelita adalah ringkas - minyak tanah dan sumbu yang dipasangkan.

Apabila matahari terbenam, para penduduk kampung mula berkumpul untuk berbuka puasa, berkongsi juadah dan beramah mesra - menceriakan suasana.

Apabila malam tiba, pelita dinyalakan satu persatu.

Tradisi menyalakan pelita seperti itu telah diamalkan sejak sekian lama di kampung-kampung seluruh Malaysia. Dahulu pelita digunakan untuk menerangi jalan pulang, dan hari ini, pelita menjadi lambang kemesraan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Proses tersebut bukan sahaja melibatkan tiga generasi dalam satu keluarga.

Malah, turut membawa kejayaan bagi Encik Jasmi sekeluarga.

Mereka menjuarai pertandingan pelita panjut Kampung Pasir Puteh selama empat tahun berturut-turut.

Pertandingan tahunan menjelang Hari Raya itu mendorong para penduduk kampung menghiasi rumah masing-masing dan kawasan sekitar dengan pelita.

Kampung Pasir Puteh gemerlap dengan hasil kreativiti warisan tempatan.

"Kalau tidak ada pelita panjut ini, suasana raya tidak seronok, tidak meriah. Kalau kita melawat kampung-kampung, di mana pun sama. Mesti mereka pasang. Tak banyak, sikit," kata Encik Jasmi.

Di seluruh kampung, suasana semakin meriah.

Sorak ria kanak-kanak bermain bunga api disahut dentuman meriam buluh yang bergema.

"Tahun ke tahun, kita anjurkan dan kini telah pun menghampiri tahun ke-10 kita anjurkan, dan Alhamdulillah sambutan yang amat-amat menggalakkan.

"Bukan hanya pengunjung yang datang, bukan hanya daripada kawasan sekitar, malahan daripada luar Perak pun ada datang semata-mata untuk melihat pertandingan tradisi ini di Kampung Pasir Puteh ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Pasir Puteh, Mohamad Norriduan.

Kemeriahan sampai ke kemuncaknya dengan persembahan bunga api yang menghiasi langit malam.

Dengan pelita yang berkelip menerangi malam dan penduduk kampung yang berkumpul bersama, suasana perayaan jelas terasa di Kampung Pasir Puteh, Perak.

Dan, tradisi seperti pelita panjut terus menyatukan masyarakat setiap kali menjelang Aidilfitri.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita