Tips kembali bekerja selepas cuti bersalin, apakah persiapannya?
Hampir setiap ibu baharu menghadapi cabaran yang tidak dijangka apabila kembali bekerja. Hal ini kerana sudah beberapa bulan anda tinggal di rumah bersama bayi.
Lukisan grafik: Jasper Loh
Adalah satu perkara biasa untuk merasakan pelbagai emosi, termasuk rasa bimbang dan seronok untuk kembali ke pejabat.
Dengan membuat persediaan semasa cuti bersalin, anda boleh berasa lebih bertenang dalam membuat pilihan untuk diri dan bayi anda.
Berikut adalah beberapa panduan dan persediaan bagi ibu yang akan kembali bekerja selepas cuti bersalin:
1. SESUAIKAN JANGKAAN
Pengarah syarikat perundingan pengambilan pekerja Michael Page Singapura, Eugenia Ng, mengakui bahawa "kehidupan sebagai ibu baharu bukan mudah".
Ia bukan sekadar cuba menguruskan masa tetapi juga menangani ketidakpastian seperti jadual tidur bayi anda atau penyakit - sambil mengimbangi keutamaan kerja anda, aspirasi serta kesejahteraan mental anda, kata beliau.
"Nasihat saya untuk mana-mana ibu baharu yang kembali bekerja adalah untuk menetapkan semula jangkaan anda," kata Cik Ng. "Ini bukan tentang berkompromi tetapi menyesuaikan pandangan anda buat sementara waktu sehingga anda dan keluarga anda dapat menyesuaikan diri dengan jadual kerja dan komitmen anda."
2. SIAPKAN KELUARGA ANDA UNTUK PERUBAHAN INI
Cik Ng menjelaskan bahawa sistem sokongan yang kuat di rumah adalah penting untuk ibu yang kembali bekerja. Mengetahui anda mempunyai kumpulan sokongan yang boleh dipercayai boleh menenangkan fikiran anda, membolehkan anda fokus dan memanfaatkan masa anda di tempat kerja sepenuhnya.
"Barang diingat, penyesuaian ini bukan hanya untuk ibu - ia adalah perubahan kepada seluruh ekosistem keluarga," kata Cik Ng kepada CNA Women.
Jika bayi anda dijaga oleh datuk nenek, bincangkan dengan mereka lebih awal tentang jadual seperti waktu tidur dan waktu makan supaya anda boleh lebih yakin tentang keadaan anak anda.
Selain itu, berbincang dengan pasangan anda tentang bagaimana peranan anda akan berubah.
3. LAKUKAN PERCUBAAN
Inilah sebabnya penting bagi keluarga anda untuk mengatur latihan percubaan, supaya semua orang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini secara perlahan-lahan.
"Kembali bekerja selepas menghabiskan beberapa bulan bersama bayi anda boleh mencetuskan keresahan perpisahan yang hebat, ditambah pula dengan perubahan hormon yang dialami oleh kebanyakan ibu baharu," jelas Cik Ng.
"Cara yang berguna untuk bersedia adalah dengan melakukan latihan percubaan. Mulakan dengan masa rehat yang singkat berjauhan dari bayi anda, mungkin satu atau dua jam, dan secara beransur-ansur panjangkan masa ini kepada tiga, empat atau bahkan lapan jam.
"Latihan percubaan ini boleh meringankan cabaran emosi akibat perpisahan dan membantu anda dan bayi anda menyesuaikan diri dengan rutin baru," tambahnya.
Jika anda sedang menyusukan bayi dan perlu menyediakan jadual mengepam, aturkan jadual masa termasuk merancang bagaimana dan di mana anda akan menyimpan susu anda, dan bagaimana anda akan membawanya pulang ke rumah. Juga pertimbangkan bagaimana anda akan mencuci dan mensterilkan pam payudara anda untuk sesi mengepam seterusnya di tempat kerja.
4. DAPATKAN SOKONGAN DI TEMPAT KERJA
Contohnya, adakah terdapat bilik menyusu atau adakah anda perlu menempah bilik mesyuarat apabila anda perlu memerah susu? Adakah waktu kerja yang fleksibel mungkin pada mulanya untuk memudahkan kembali ke mod kerja dan adakah terdapat rangkaian sokongan, sama ada formal atau tidak formal, untuk ibu-ibu baharu?
"Walaupun perjalanan setiap ibu adalah unik, cabaran yang dihadapi sering sama," kata Cik Ng. "Membina kumpulan sokongan di tempat kerja dengan rakan-rakan ibu boleh menyediakan ruang yang selamat untuk berkongsi petua, nasihat dan galakan. Kumpulan-kumpulan ini juga boleh menjadi sumber kekuatan yang penting, memberi kuasa kepada anda untuk mencapai keseimbangan peribadi dan profesional anda."
Mengelilingi diri anda dengan orang yang memahami keadaaan anda boleh menjadikan perjalanan kembali ke tempat kerja kurang menakutkan dan lebih memuaskan, tambahnya.
5. CARI KESEIMBANGAN YANG BETUL
"Nasihat saya adalah untuk menyatakan secara terbuka bantuan yang anda perlukan, sama ada ia bermakna meminta waktu yang fleksibel, menangguhkan kenaikan pangkat atau menyesuaikan beban kerja anda sehingga kehidupan terasa lebih teratur," katanya. "Perjalanan setiap ibu adalah unik dan ia mungkin berbeza dengan setiap anak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.