Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tip-tip elak belanja keterlaluan apabila bercuti

Laman Forbes menukil hasil tinjauan 'LearnVest Money Habits and Confessions' 2017, yang mendedahkan 74 peratus responden berhutang secara purata AS$1,108 (S$1,500) untuk melunaskan belanja percutian. Bagaimanakah untuk elakkan tabiat buruk ini?

Anggaran Waktu Membaca:
Tip-tip elak belanja keterlaluan apabila bercuti

Dewan keberangkatan di Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Hester Tan)

Diterbitkan : 20 Dec 2018 01:49PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 01:53PM

NEW YORK: Ramai sudah tahu bahawa sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama ekonomi - rakyat Amerika Syarikat sahaja misalnya, belanjakan lebih AS$100 bilion (S$137.6 bilion) semasa cuti musim panas pada 2017, menurut syarikat Allianz Travel Insurance.

Apa yang membimbangkan adalah, sebahagian daripada mereka sanggup berhutang untuk pergi bercuti. Laman Forbes menukil hasil tinjauan 'LearnVest Money Habits and Confessions' 2017, yang mendedahkan 74 peratus responden berhutang secara purata AS$1,108 (S$1,500) untuk melunaskan belanja percutian.

Namun, ini tidak bermakna anda perlu terus berhenti dari melancong.

Berikut adalah lima tip dari laman Forbes yang dapat membantu anda terus menikmati manfaat bercuti tanpa risau tentang kesannya terhadap perancangan kewangan anda.

1. MULAKAN DENGAN BELANJA IKUT KEMAMPUAN

Konsultan pemasaran Cik Gabriela Cardoza, yang kerap keluar negara, mengesyorkan merancang perbelanjaan melancong secara terperinci menggunakan program Excel.

Pakar faedah pekerjaan Encik Jim Katzaman menasihatkan agar merujuk kepada akaun bank terdahulu dan membuat persediaan mengikut kemampuan.

"Dengan cara itu, anda pasti tidak akan belanja lebih daripada yang termampu dan tidak akan menanggung beban hutang," nasihat beliau.

2. GUNAKAN LAMAN TAWARAN PERCUTIAN

Kini terdapat banyak portal dan aplikasi yang membantu seseorang mencari tawaran hebat berhubung pelancongan. Antara contoh yang dilaporkan Forbes termasuk Skyscanner, Yelp, NatGeo Travel dan Expedia.

3. WASPADA GUNA KAD KREDIT

Pastikan anda menggunakan kad kredit yang tidak mengenakan yuran bagi urus niaga luar negara, kerana yuran sedemikian boleh menimbun dengan pantas tanpa anda sedari. Dalam pada itu, Cik Cardoza menasihatkan agar membawa kad kredit kedua sebagai alternatif jika anda mempunyai masalah dengan kad utama anda.

4. LANGGANI SURAT PEKELILING SYARIKAT PENERBANGAN

Menurut Forbes lagi, banyak syarikat penerbangan menawarkan diskaun untuk tempoh yang amat singkat. Maka itu, rajin-rajinlah langgani 'newsletter' syarikat penerbangan agar anda tidak terlepas peluang berjimat!

Anda juga disyorkan merancang awal dan membeli tiket penerbangan enam bulan atau setahun sebelum bercuti kerana harganya kerap kali lebih murah.

5. IKUTI AKTIVITI PERCUMA

Tidak semua aktiviti menyeronokkan memerlukan kos yang tinggi. Di setiap tempat yang dikunjungi, pasti ada muzium, persembahan percuma atau pemandangan indah yang boleh dinikmati pada harga yang rendah ataupun tanpa bayaran langsung - gratis! Tentunya anda boleh membawa pulang pelbagai kenangan indah dari tempat-tempat sebegini.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Dengan tip-tip yang dikongsi ini, pasti lebih ramai yang boleh meluaskan pengalaman tanpa beban berhutang.

Selamat bercuti!

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan