Skip to main content

Gaya Hidup

Tip rancang percutian lebih seronok dan bebas stres

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Disember sering dianggap waktu terbaik untuk rehat seketika daripada jadual harian yang padat.

Inilah masa yang sesuai untuk menenangkan diri dan menikmati ketenangan setelah sibuk bertugas sepanjang tahun.

Jika anda sedang merancang percutian di dalam atau luar negara, apa kata anda gunakan kesempatan ini untuk menikmati pengalaman baharu bersama seisi keluarga.

Tidak kira sama ada meneroka destinasi jauh atau dekat, melakukan aktiviti mencabar atau sekadar santai berjalan-jalan, yang pasti, setiap langkah membuka ruang untuk pengalaman segar yang berbeza daripada rutin seharian.

Pengalaman duduk di tepi pantai sambil menikmati angin laut, berjalan di tempat-tempat yang belum pernah anda jejaki atau bersantai sambil menghirup kopi di kafe pilihan bukan sekadar melepaskan penat, tetapi juga memberi inspirasi dan tenaga baharu untuk menghadapi tahun mendatang.

Setiap percutian diimpikan menjadi kenangan terindah dan lebih bermakna daripada sekadar perjalanan biasa.

Jika anda masih sedang merancang percutian, lakukan persiapan awal agar segala urusan berjalan lancar dan tidak tergesa-gesa pada saat-saat akhir.

Berikut antara tip-tip ringkas untuk memudahkan perancangan percutian anda.

5 TIP SEBELUM BERCUTI

1. Siapkan itinerari
Related article image
(Gambar: Pexels)
Tidak kira destinasi dekat atau jauh, percutian yang lancar bermula dengan perancangan awal.

Jangan tunggu sehingga saat-saat akhir untuk menentukan destinasi atau aktiviti yang ingin dilakukan.

Buat kajian awal tentang cuaca, jarak antara lokasi dan juga tempat-tempat menarik.

Muat turun aplikasi seperti Klook, Traveloka dan TripAdvisor untuk saranan dan anggaran masa perjalanan yang diperlukan, kos pengangkutan dan tempahan tiket ke daya tarikan menarik.

Pada masa yang sama, semak lokasi restoran halal serta waktu operasinya. Pastikan itinerari anda juga dapat memberi ruang untuk rehat.

2. Tetapkan bajet dan periksa pasport
Related article image
(Gambar: Pexels)
Bajet bukan sekadar membeli tiket, penginapan, tetapi juga makanan, pengangkutan, cenderamata dan perbelanjaan lain.

Pastikan untuk tetapkan bajet terlebih dahulu supaya perancangan kewangan lebih teratur.

Ketepikan sedikit wang untuk aktiviti spontan atau membeli barangan tanpa dirancang di kedai-kedai tempatan.

Pastikan juga pasport anda sah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh perjalanan.

Semak sama ada visa diperlukan supaya masalah dokumen tidak menjejas percutian anda.

3. Tukar wang lebih awal
Related article image
(Gambar: Pexels)
Kadar pertukaran di lapangan terbang biasanya lebih rendah.

Oleh itu, pastikan untuk tukar wang lebih awal atau anda juga boleh gunakan kad seperti YouTrip.

Ianya lebih selamat dengan kadar pertukaran lebih baik dan mengurangkan keperluan untuk membawa wang tunai berlebihan.

Namun, pastikan juga untuk membawa sedikit wang tunai untuk situasi kecemasan seperti membeli makanan di tempat terpencil atau menaiki pengangkutan tempatan yang tidak menggunakan kad.

4. Senaraikan keperluan
Related article image
(Gambar: Pexels)
Membuat persiapan pada saat akhir mudah menyebabkan barang tertinggal seperti alat pengecas telefon atau ubat-ubatan.

Oleh itu, anda digalakkan untuk membuat senarai benda yang ingin dibawa beberapa hari sebelum berangkat. Antaranya, 'adapter' antarabangsa, pakaian sesuai dan dokumen penting.

Jika ingin ke destinasi sejuk, jangan lupa jaket tebal, sarung tangan dan kasut kalis air.

Bagi yang membawa anak kecil pula, pastikan bekalan susu dan makanan mencukupi selain lampin, cemilan dan permainan kecil yang mudah dibawa.

5. Utamakan kesihatan dan insurans
Related article image
(Gambar: Pexels)
Kesihatan adalah faktor utama yang menentukan keseronokan percutian. Bawa ubat-ubatan asas seperti Panadol selain pakaian yang bersesuaian dengan iklim destinasi yang ingin dikunjungi.

Pada masa yang sama, jangan lupa membeli insurans percutian. Walaupun ia menambah kos, ia dapat memberikan ketenangan minda sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Polisi yang baik meliputi kelengahan penerbangan, pembatalan, kehilangan bagasi, kecederaan serta kecemasan perubatan di luar negara.

6 TIP SEMASA BERCUTI

1. Aktiviti dan fleksibiliti
Related article image
(Gambar: Pexels)
Percutian paling seronok adalah apabila anda ada ruang untuk melakukan perkara yang tidak dijangka.

Contohnya, pengalaman singgah dan duduk di kafe atau berjalan tanpa hala tuju boleh menjadi pengalaman paling manis.

Namun, mempunyai itinerari tetap penting untuk memastikan perjalanan teratur, dengan ruang untuk berehat dan melakukan kembara spontan.

2. Cuba makanan tempatan
Related article image
(Gambar: Pexels)
Usah hanya bergantung pada restoran atau kafe di hotel. Ambil peluang yang ada untuk mencuba hidangan tempatan di tempat-tempat makanan lain di kawasan sekitar.

Setiap hidangan yang dinikmati bukan sekadar mengenai rasa, tetapi juga tentang cara untuk kita memahami budaya dan sajian tempatan yang berbeza. Jadikan setiap pengalaman makan sebagai sebahagian daripada pengembaraan anda.

3. Interaksi dengan penduduk
Related article image
(Gambar: Pexels)
Kenangan terindah ada kalanya lahir daripada perbualan santai. Jika ada kesempatan, tanyalah penduduk tempatan mengenai saranan tempat menarik untuk dikunjungi.

Belajarlah beberapa frasa asas bahasa tempatan. Ia pasti akan menambah keunikan pengalaman percutian anda.

4. Fotografi
Related article image
(Gambar: Pexels)
Fokus pada momen sebenar dan bermakna, bukan sekadar 'selfie' sahaja.

Rakamlah potret kenangan bersama keluarga atau rakan-rakan percutian anda selain tempat-tempat dan pemandangan menarik yang anda nikmati.

Kamera membantu mengabadikan memori berharga dan ganbarnya pasti akan dijadikan kenangan manis dan bahan cerita ketika pulang nanti.

5. Pengangkutan awam
Related article image
(Gambar: Pexels)
Jika terdapat perkhidmatan kenderaan awam di tempat yang dikunjungi, anda boleh cuba untuk menaiki bas, kereta api atau feri untuk menikmati kehidupan harian penduduk tempatan.

Selain lebih menjimatkan dan mesra alam, pengalaman ini memberi perspektif lebih mendalam berbanding dengan menaiki teksi, Uber atau mengambil perkhidmatan pelancong yang sering kali mempunyai aturcara yang padat.

6. Rehat dan relaks
Related article image
(Gambar: Unsplash)
Pengembara yang santai lebih mudah menikmati setiap pengalaman semasa bercuti. Luangkan masa untuk berehat, menghargai suasana dan menjadikan setiap detik lebih bermakna.

Tujuan bercuti bukan sekadar melarikan diri daripada rutin harian yang padat, tetapi juga peluang untuk rehat sambil menikmati masa bersama keluarga atau rakan, sekali gus seronok menimba pengalaman baharu.

Percutian sempurna juga tidak berlaku secara kebetulan. Ia memerlukan perancangan bijak.

Jangan tunggu sehingga saat akhir. Buat perancangan lebih awal dan persediaan rapi.

Akhir sekali, nikmati setiap detik, jadikan ia satu perjalanan dan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Selamat bercuti!
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita