Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tip lindung keluarga tersayang daripada asap rokok

Anggaran Waktu Membaca:
 Tip lindung keluarga tersayang daripada asap rokok

(Gambar: Andres Siimon/Unsplash)

KUALA LUMPUR: Orang ramai mengetahui merokok memberi kesan yang memudaratkan bukan sahaja kepada perokok itu sendiri malah tidak berbaloi rasanya bila mana asap yang dihembus itu turut ‘menjerat’ insan-insan tersayang menerima padahnya.

Ini memandangkan asap rokok boleh menjadi faktor utama penyumbang kepada masalah kesihatan seisi keluarga.

Menurut rencana Keluarga, bukan sahaja mengganggu pernafasan malah apa yang lebih menakutkan berkemungkinan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti barah, serangan jantung, angin ahmar dan sebagainya.

Hal ini pastinya memberi kerisauan di hati seorang isteri jika suaminya mempunyai masalah ketagihan merokok!

BAHAYA HEMBUSAN ASAP ROKOK

Asap rokok yang terhasil daripada pembakaran rokok boleh memberi risiko kesihatan pada perokok mahupun perokok pasif. Apabila rokok dibakar dengan api, tembakau akan menghasilkan pelbagai jenis bahan kimia yang merbahaya.

Bahkan tahukah anda bahawa di dalam asap rokok terdapat lebih daripada 6,000 bahan kimia dan 100 daripadanya sudah diklasifikasikan sebagai berbahaya!

NIKOTIN DALAM TEMBAKAU

Salah satu bahan yang terkandung di dalam tembakau adalah nikotin.

Nikotin secara amnya akan merangsang pengeluaran dopamin dalam otak. Dopamin adalah hormon yang menyebabkan seseorang untuk merasa gembira dan teruja. Oleh itu, setiap kali seseorang menghisap rokok, otak akan mengeluarkan hormon dopamin.

Jadi semakin lama seseorang itu menghisap rokok, semakin sukar dia meninggalkannya. Namun sedemikian, nikotin bukanlah penyebab utama penyakit berkaitan merokok, lapor Keluarga.

BERIKAN KEHIDUPAN KELUARGA YANG LEBIH SIHAT

Isteri dan anak-anak adalah pengarang jantung dan permata hati bagi seorang lelaki bergelar suami dan ayah. Oleh itu pastinya, sang suami ingin lebih bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran kediaman keluarga berada di dalam keadaan yang selamat dan bebas asap rokok meski pun dirinya adalah perokok tegar.

JADI APA YANG PERLU DIBUAT?

Mungkin ada perokok yang tertanya-tanya apa langkah yang boleh dipraktikkan untuk pastikan kehidupan keluarga sejahtera. Lebih-lebih lagi jika mempunyai anak kecil di rumah.

Jadi ini antara langkah yang boleh dipraktikan untuk memastikan anak-anak dan isteri tidak terdedah dengan asap rokok.

Tambah rencana Keluarga itu lagi, antaranya diingatkan jangan merokok di dalam rumah, elakkan daripada mendukung anak kecil selepas merokok, pastikan basuh tangan selepas merokok dan yang paling penting jangan merokok jika berdekatan anak-anak dan keluarga.

Namun kaedah ini diakui bukan mudah untuk dipraktikan dengan sekelip mata, apatah lagi jika seorang itu kerap merokok tanpa mengira masa dan tempat. Menunggu bila masa sesuai untuk merokok pastinya akan membuatkan seorang perokok tegar terseksa jiwanya.

Sumber : Agensi berita/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan