Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tinjauan baharu dedah ramai pesakit kencing manis tidak kawal penyakit dengan baik

Dengan lebih 400,000 warga Singapura menghidap penyakit kencing manis (dan sekitar sejuta diramalkan menghidap penyakit itu menjelang 2050), secara berkemungkinan diri anda ataupun anda mengenali seseorang yang menghidap penyakit kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan lebih 400,000 warga Singapura menghidap penyakit kencing manis (dan sekitar sejuta diramalkan menghidap penyakit itu menjelang 2050), secara berkemungkinan diri anda ataupun anda mengenali seseorang yang menghidap penyakit kencing manis.

Jika anda sudah pun dijangkiti kencing manis, anda mungkin lebih menjaga pemakanan anda serta mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Ramai pesakit kencing manis mungkin menganggap mereka mempunyai pengendalian yang baik ke atas kesihatan mereka.

Namun, menurut tinjauan YouGov yang ditugaskan oleh Abbott, ia sebaliknya.

Sebagai permulaan, 65 peratus daripada individu yang ditinjau berkata mereka sudah mengendalikan penyakit kencing manis mereka dengan baik.

Tinjauan yang diadakan pada September lalu itu melibatkan 352 golongan dewasa rakyat Singapura yang menghidap penyakit kencing manis Jenis 1 atau 2 (sekitar 14 peratus tidak tahu jenis penyakit kencing manis yang dihidapi) berusia 18 tahun dan ke atas.

Namun, lebih 60 peratus individu yang ditinjau mempunyai tahap hemoglobin terglikosilasi (HbA1c) melebihi tujuh peratus.

Tahap HbA1C adalah purata nilai glukos selama tiga bulan.

Mempunyai tahap HbA1c yang lebih tinggi daripada tujuh peratus dikaitkan dengan risiko lebih tinggi menghidap komplikasi seperti kegagalan jantung, angin ahmar, penyakit ginjal, kerosakan saraf dan daya penglihatan yang terjejas.

Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada individu yang ditinjau tidak memantau paras gula di rumah kerana ia dianggap menyulitkan, manakala lagi 46 peratus pula menganggap ia tidak penting.

Namun "tanpa pemantauan, mereka mungkin tidak tahu bagaimana pilihan pemakanan mereka menjejas paras gula dalam tubuh, dan makanan yang sama boleh menjejas paras gula individu lain secara berbeza", kata Dr Ester Yeoh, pengarah perubatan dan pakar endokrinologi perunding kanan di Klinik Aspen Diabetes & Endocrine.

Menurut tinjauan itu, ramai pesakit kencing manis hanya bergantung pada pengurangan pengambilan manisan dan minuman bergula untuk mengawal penyakit kencing manis mereka.

"Pengawalan penyakit kencing manis secara berkesan memerlukan lebih daripada pengurangan pengambilan gula," kata Dr Lim Su Lin, ketua pakar diet dan ketua terapeutik di Hospital Universiti Nasional.

"Kawal bahagian makanan, mengamalkan diet pemakanan seimbang dengan kurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan diproses yang boleh menaikkan dengan ketara profil glikaemik anda."

Sungguhpun begitu, berita baiknya adalah hampir 97 peratus daripada responden makan ubat secara kerap.

Berikut adalah dapatan lain yang menggariskan jurang antara tanggapan dan penjagaan sebenar penyakit itu:

DIET SANGAT BERKESAN DALAM MEMPENGARUHI PARAS GULA DALAM DARAH

Sebanyak 90 peratus individu yang ditinjau percaya bahawa pengurusan diet dan makanan adalah penting untuk mempengaruhi kadar gula dalam darah.

Bahkan, 74 peratus individu yang ditinjau mengurangkan pengambilan gula dan minuman manis selepas didiagnos dengan penyakit kencing manis.

Namun, hanya 40 peratus individu yang ditinjau mengaitkan kesan makanan lain dengan paras gula dalam darah.

Contohnya, 46 peratus daripada mereka mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan 43 peratus pula mengurangkan pengambilan makanan berproses.

Hanya 30 peratus memutuskan untuk makan lebih banyak makanan berprotein.

Pentingnya mengawal saiz hidangan ke atas paras gula dalam darah juga perlukan lebih banyak kesedaran.

Hanya 10 peratus berkata mereka memberi perhatian kepada saiz hidangan mereka selepas didiagnos dengan penyakit kencing manis.

LEBIH BANYAK MASA PERLU DILUANGKAN UNTUK BERSENAM

Hampir 80 peratus mengaku bahawa mereka tidak melakukan senaman mencukupi iaitu kurang daripada 150 aktiviti sederhana-berat yang disarankan setiap minggu.

Secara purata, mereka hanya bersenam selama 95 minit dalam seminggu, dan sekitar satu daripada dua individu bersenam selama tiga hari atau kurang daripada itu dalam seminggu.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas pula meluangkan lebih masa bersenam.

Hampir 30 peratus berkata mereka meluangkan 150 minit setiap minggu untuk bersenam, berbanding dengan 17 peratus individu ditinjau yang berusia bawah 60 tahun.

RAMAI MASIH BERGANTUNG KEPADA PAKAR JAGAAN KESIHATAN UNTUK DAPATKAN NASIHAT

Seramai 78 peratus individu yang ditinjau masih bergantung kepada pakar perubatan seperti pakar diet dan jururawat, selain daripada doktor, untuk mendapatkan maklumat.

Sementara itu, pempengaruh, termasuk pelatih gaya hidup, guru senam dan cef, kurang kemungkinan diminta nasihat. Hanya 20 peratus daripada individu ditinjau meminta nasihat perubatan daripada mereka.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan