Time To Fly 2025 tawar lebih 380,000 tiket SIA & Scoot pada potongan harga
Menjelang hujung tahun, ramai yang pasti sudah mula membuat persiapan untuk pergi bercuti.
Para pengunjung di edisi terdahulu pameran pelancongan Time To Fly. (Gambar: Singapore Airlines)
Pesta pelancongan 'Time To Fly' Singapore Airlines (SIA) kembali diadakan pada bulan ini, kali ini menawarkan lebih 380,000 tiket penerbangan SIA dan Scoot pada potongan harga.
Tambang promosi ditawarkan bagi penerbangan SIA yang layak untuk tempoh perjalanan antara Januari hingga September 2026, manakala bagi Scoot, promosi dijalankan bagi perjalanan antara November tahun ini hingga Oktober 2026.
Para pelanggan SIA juga boleh menikmati potongan harga bagi lebih 200,000 tiket ulang-alik dari Singapura ke 77 destinasi, termasuk Brisbane, Frankfurt, San Francisco dan banyak lagi.
Scoot pula menawarkan potongan harga bagi lebih 180,000 tiket sehala dari Singapura ke 61 destinasi termasuk Chiang Rai, Da Nang, Tokyo (Haneda) dan Vienna.
Penjualan online akan berlangsung dari 24 Oktober hingga 6 November menerusi laman web dan aplikasi mudah alih SIA serta Scoot, selain melalui ejen pelancongan yang dilantik.
Selain itu, edisi fizikal pesta 'Time To Fly' juga akan diadakan dari 24 hingga 26 Oktober di Dewan 401 hingga 403, Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.
Pameran tiga hari itu akan menawarkan tiket diskaun daripada Singapore Airlines dan Scoot, cabutan bertuah harian (termasuk hadiah tiket kelas perniagaan), di samping kemunculan selebriti dan personaliti Mediacorp.
Para pengunjung juga boleh menghadiri sesi perkongsian bersama selebriti popular seperti Cheryl Chou, Tyler Ten, Chantalle Ng dan Azura Goh.
Selain tiket penerbangan, lebih 30 ejen pelancongan dan rakan kongsi turut menawarkan diskaun, hadiah dan tawaran istimewa di Time To Fly 2025, termasuk Kris+, KrisShop, Pelago dan Scoot.
Setiap pembelian bernilai S$1,000 memberikan peluang kepada para pelanggan untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama yang berlainan setiap hari.
Hadiah-hadiah tersebut termasuk penginapan hotel mewah di destinasi seperti Bali, Osaka dan Maldives, yang disertakan dengan tiket penerbangan kelas perniagaan ke destinasi-destinasi berkenaan.
Selain itu, hadiah utama keseluruhan adalah sepasang tiket kelas niaga Singapore Airlines ke Sydney, Beijing dan Manila, serta penginapan tiga hari dua malam di hotel Shangri-La di ketiga-tiga bandar tersebut.
Hadiah lain termasuk penginapan di hotel terkemuka seperti Sofitel Singapore City Centre, The Capitol Kempinski Hotel Singapore dan Swissotel The Stamford, serta baucar Scoot dan KrisPay "miles".
Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran SIA, Encik Vinod Kannan, berkata: “Time To Fly kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelanggan kami di Singapura. Tahun ini, antara Singapore Airlines dan Scoot, kami menawarkan lebih 380,000 tiket diskaun ke 122 destinasi di seluruh dunia, bersama tawaran eksklusif di pameran sepanjang tiga hari ini. Ia memberi pelanggan kami lebih banyak pilihan dan nilai hebat untuk merancang percutian 2026 bersama keluarga dan orang tersayang.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.