Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tilam perlu dibersihkan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 4-5 bulan; ini caranya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kebiasaannya kita akan menukar sarung bantal dan cadar sekurang-kurangnya dua minggu sekali atau sebulan sekali.

Namun tahukah anda bahawa itu tidak mencukupi? Selain cadar, ramai orang yang terlupa tentang tilam. Kotoran yang melekat pada tilam diabaikan kerana mungkin tiada sesiapa yang nampak.

Membeli tilam merupakan satu pelaburan untuk kesihatan tubuh. Lebih-lebih lagi bagi yang prihatin tentang penjagaan tulang belakang. Ada yang sanggup berhabisan wang hingga beribu dolar untuk membeli tilam bermutu.

Tidak kira tilam mahal atau murah, penjagaan dan kebersihannya tetap penting.

Yakinkah anda tilam mahal yang sudah digunakan bertahun lamanya bebas daripada hama dan kuman?

Menurut kajian, tilam seharusnya dibersihkan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh empat hingga lima bulan.

Sekalipun demikian, ramai yang berasa leceh dan sukar untuk mencuci tilam kerana saiznya yang besar dan berat - terutama sekali jika tilam bersaiz 'king' atau 'queen'.

Ada juga yang mungkin terlepas pandang atau mempunyai sikap ambil lewa dan menganggap tilam yang tertutup dengan cadar cantik tidak tercemar dengan kotoran.

Sedangkan setelah bertahun lama menggunakannya ia pasti akan terdedah dan tercemar dengan debu, peluh, kelemumur, kulit mati atau kelembapan suhu bilik jika anda tidak membersihkannya secara rutin.

Oleh kerana kotoran itu tidak jelas kelihatan dan dibiarkan lama pada tilam, hama yang tersembunyi pada celahan tilam boleh menjadi penyebab alahan seperti gatal-gatal pada badan atau selsema yang boleh menjejas tidur yang lena.

Maka, ada yang bertanya bagaimana hendak menjaga tilam supaya sentiasa baru dan berbau wangi?

Cuba amalkan cara-cara berikut. Ia pasti dapat membantu dan memberikan hasil yang berkesan.

Mulakan dari awal, jangan tunggu sampai tilam sudah bertukar warna baru ingin membersihkannya!

RUTIN MUDAH BERSIHKAN TILAM

Bak pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang penting, jangan malas!

Cuba luangkan masa pada hujung minggu untuk membasmi kuman yang tersembunyi di dalam rumah termasuk di dalam bilik tidur. Apabila tilam dan bantal bebas kuman, secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat.

CUCI CADAR

Rajin-rajinlah menukar cadar dan sarung bantal sekurang-kurangnya satu hingga dua kali sebulan. Tanggalkan semua cadar, pelindung tilam, selimut dan sarung bantal apabila sudah tiba masanya untuk dicuci dan digantikan dengan yang lain.

Jika mesin pencuci anda ada fungsi air panas, ia membantu memberi kesan yang lebih baik semasa proses pencucian. Elak daripada tidur di atas cadar dan sarung bantal yang sama lebih daripada dua bulan. Walaupun nampak bersih, kuman-kuman pasti tersembunyi di sebaliknya dan akan melekat pada tilam.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

SERBUK PENAIK

Ini antara cara murah dan mudah membersihkan tilam. Walaupun serbuk penaik tidak mempunyai bau tetapi ia sangat berkesan. Penggunaan serbuk penaik didapati dapat mengurangkan masalah pepijat dan hama yang melekat pada tilam.

Caranya mudah, tuangkan sedikit serbuk penaik di dalam bekas dan sapukan pada permukaan tilam. Kemudian gosok rata perlahan-lahan agar tidak merosakkan permukaan tilam.

Biarkan selama 15 minit atau lebih untuk memastikan hama dan telurnya terhapus. Seterusnya gunakan vakum untuk menyedut serbuk penaik di atas tilam. Pastikan setiap penjuru dan permukaan dibersihkan rapi.

 

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

NYAH BAU

Usah tutup sebelah mata atau berlengah untuk bersihkan kotoran pada tilam. Walaupun setakat kotoran kecil.

Contohnya, jika anda mempunyai anak-anak kecil yang sering terkencing pada tilam, pastikan untuk segera buka cadar dan bersihkan tilam. Jika anda membiarkannya kering atau lengah membersihkannya, air kencing akan serap ke dalam lapisan tilam dan meninggalkan kesan selain bau yang kurang menyenangkan.

Bersihkan dengan menggunakan dua hingga tiga sudu besar serbuk penaik, campurkan dengan sedikit cecair hidrogen peroksida (mudah didapati di kedai farmasi terkemuka) dan sedikit cecair sabun di dalam bekas.

Ambil kain bersih dan tekap pada bahagian yang terkena najis tapi jangan sampai basah. Gunakan bahagian demi bahagian kain tersebut dan pastikan untuk gunakan bahagian yang bersih. Kemudian keringkan bahagian yang lembap sebelum menyarungkan cadar yang bersih.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

TANGGALKAN KOTORAN

Biasanya tilam yang sudah lama digunakan dan tidak pernah dibersihkan akan mempunyai kesan kotoran seperti sebuah peta.

Kotoran itu biasanya disebabkan oleh peluh. Selalunya tanda-tanda seperti itu boleh dihilangkan atau dipudarkan warnanya dengan menyemburkan cecair hidrogen peroksida. Apabila menyembur cecair tersebut pastikan jangan sampai tilam menjadi sampai basah.

Tuangkan cecair di dalam botol semburan dan semburkannya sedikit demi sedikit pada bahagian yang kotor bertanda. Biarkan kering, cecair itu dapat menanggalkan kesan kotoran akibat peluh dan lain-lain. Cara tersebut diboleh diulangi hingga tilam-tilam menjadi bersih.

JEMUR TILAM

Mungkin ada yang terfikir bagaimana ingin menjemur tilam bersaiz besar dan berat. Anda tidak perlu bawa ke tingkap untuk anginkan tilam.

Sebaliknya, amalkan rutin untuk kebas tilam kerana ia dapat membantu untuk menanggalkan habuk yang melekat.

Buka semua tingkap di dalam bilik agar cahaya dan udara segar dapat masuk. Jika membersihkan habuk pada tilam, pastikan anda menggunakan pelitup agar tidak bersin, terutama sekali bagi yang sensitif dengan habuk. Biarkan sehingga dua hingga tiga jam sebelum menggantikan cadar dan sarung bantal yang bersih.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

TERBALIKKAN TILAM

Selepas bersihkan bahagian atas tilam sudah pasti anda inginkan bahagian bawah juga bersih.

Jangan lupa untuk terbalikkan tilam untuk menyedut kotoran, hama atau habuk yang melekat yang boleh merangsang alergi. Dengan demikian, kedua-dua belah akan bersih dan bebas daripada kotoran.

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)

KHIDMAT PEMBERSIHAN

Bagi anda yang terlalu sibuk bertugas hingga tiada masa untuk mengemas rumah dan membersihkan tilam-tilam yang ada. Cara mudah adalah dengan melanggani khidmat pembersihan tilam yang ada di pasaran.

Terdapat tawaran pelbagai pakej dengan harga yang berbeza-beza, semuanya bergantung kepada pilihan dan kemampuan anda! Jika ada peruntukan kewangan yang lebih pillihlah pakej yang menyeluruh.

Tapi, bagi yang ingin berjimat, bolehlah anda cuba panduan-panduan yang sudah dikongsi ini.

Ia merupakan satu rutin yang terapeutik apabila anda dapat membersihkan tilam sendiri. Apabila ia bersih dan bebas kuman, ia menjamin kesihatan yang lebih baik kerana setiap hari anda perlu menggunakannya untuk beristirehat dan dapatkan tidur yang lena!

 

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan