Skip to main content

Gaya Hidup

TikTok "tidak sesuai" bagi remaja, ibu bapa pula tidak tahu-menahu

Berjuta-juta remaja kini menggunakan aplikasi TikTok, semata-mata untuk merakam diri mereka melakukan sesuatu sepanjang 15 saat. Namun, ramai ibu bapa baru sahaja 'bertapak' untuk menggunakan aplikasi tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok "tidak sesuai" bagi remaja, ibu bapa pula tidak tahu-menahu

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 11:57PM Dikemas Kini : 27 Dec 2018 12:00AM

PARIS: Berjuta-juta remaja kini menggunakan aplikasi TikTok, semata-mata untuk merakam diri mereka melakukan sesuatu sepanjang 15 saat. Namun, ramai ibu bapa baru sahaja 'bertapak' untuk menggunakan aplikasi tersebut. Yang pasti, golongan ibu bapa sering kali 'terkejut' apabila mula menggunakan aplikasi tersebut.

Menerusi aplikasi itulah, pengguna bebas mengekspresikan diri menerusi video pendek.

Rangkaian sosial itu menjadi aplikasi yang paling banyak dimuat turun melalui App Store (Apple) dalam tempoh enam bulan pertama 2018, menurut syarikat analisis pasaran, Sensor Tower. Ini bermakna, aplikasi tersebut sebenarnya lebih popular berbanding Facebook, Instagram dan Snapchat.

Laman milik syarikat China, ByteDance, dilaporkan mempunyai 500 juta pengguna setakat Jun lalu selepas ia mengambil alih Musical.ly pada tahun 2017 dan meluaskan jangkauannya di Amerika Syarikat.

Namun, para pengkritik menyatakan bahawa aplikasi itu mendedahkan para pengguna kepada komen-komen yang mampu menjejas diri mereka, terutama sekali para pengguna wanita yang masih muda. Bukan itu sahaja, aplikasi itu boleh juga dijadikan sebagai wadah bagi penjenayah untuk mencari mangsa serangan seksual.

Aplikasi itu menjanjikan para penggunanya dengan kandungan yang "tidak disunting, nyata dan tanpa batasan" serta mendakwa bahawa ia sesuai bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.

Terdapat banyak kes yang dilaporkan pihak media yang mana pengguna berasa terganggu dengan komen-komen yang diterima. Ada juga pengguna yang diminta memberikan butiran peribadi atau memuat naik gambar-gambar provokatif.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia turut mengharamkan aplikasi itu selepas lebih 170,000 orang menandatangani petisyen yang mendakwa bahawa aplikasi itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kerana mengajak mereka memuat naik video dalam pakaian terdedah.

Larangan itu hanya dimansuhkan selepas wakil-wakil dari China mengadakan lawatan ke Jakarta dan berjanji akan menggajikan lebih ramai kakitangan untuk menapis kandungan-kandungan tidak sesuai.

Kesan pendedahan awal kepada media sosial adalah sesuatu yang sangat baru sehingga "ibu bapa, pendidik, dan doktor juga... mungkin kurang tahu atau tidak tahu sama sekali tentang perlunya membimbing generasi muda tentang bahaya teknologi-teknologi baru ini," kata seorang pakar, Encik Brian Solis dari syarikat penasihat teknologi Amerika, Altimeter.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita