Skip to main content

Gaya Hidup

TikTok lancar panduan baharu di SG, galak keselamatan online untuk keluarga

TikTok melancarkan sebuah panduan praktikal yang bertujuan menggalakkan navigasi digital dengan selamat di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok lancar panduan baharu di SG, galak keselamatan online untuk keluarga

Ikon aplikasi TikTok terpapar pada skrin telefon bijak, pada 27 Oktober 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

SINGAPURA: TikTok melancarkan sebuah panduan praktikal yang bertujuan menggalakkan navigasi digital dengan selamat di Singapura.

Panduan itu bertujuan untuk membantu keluarga menilai tabiat digital mereka dan mengambil langkah praktikal ke arah pengalaman online yang lebih selamat secara bersama.

Dibangunkan dengan kerjasama TOUCH Cyber Wellness, panduan itu berteraskan dua komponen utama iaitu "Family Digital Check-In Guide" (Panduan Daftar Masuk Digital Keluarga) dan "Interactive Digital Hub" (Hab Digital Interaktif).

“Menyedari bahawa setiap remaja dan keluarga menelusuri dunia digital secara berbeza, inisiatif ini menggalakkan perbincangan terbuka dan bukannya syarahan sehala,” kata TikTok dalam satu kenyataan pada Isnin (25 Mei).

Pengurus Jangkauan dan Perkongsian Kepercayaan dan Keselamatan TikTok, KahnJi Siriprapa Weerachaising berkata, platform itu berharap dapat menyokong keluarga di Singapura dengan sumber praktikal yang menjadikan perbualan keluarga lebih mudah didekati dan relevan.

“Bagi kebanyakan keluarga pada masa ini, kehidupan digital tidak lagi terpisah daripada kehidupan seharian, sebaliknya menjadi ruang golongan muda belajar, bersosial, berkarya dan mengenali diri mereka.

“Itulah sebabnya membina tabiat digital yang lebih sihat memerlukan lebih daripada sekadar peraturan. Ia memerlukan perbualan terbuka, saling memahami dan alat praktikal yang boleh diteroka bersama oleh keluarga,” kata beliau.

"Family Digital Check-In Guide" melengkapi sumber yang tersedia di "Safety Centre" (Pusat Keselematan) TikTok, termasuk Guardian's Guide (Panduan Penjaga) dan Teen Safety Centre (Pusat Keselamatan Remaja), bagi menyediakan alat kepada keluarga di Singapura untuk membantu menetapkan batas digital yang positif secara bersama.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita