Tidur cukup tetapi badan masih rasa letih. Apa sebabnya?
Gambar hiasan. (Gambar: Pexels)
Memang benar tidur yang cukup adalah penting untuk tubuh dan minda berfungsi dengan baik. Tapi, tidur bukan hanya sekadar jumlah jam yang dihabiskan di atas katil, ia melibatkan beberapa fasa yang memainkan peranan berbeza dalam memastikan tubuh kita benar-benar mendapat rehat yang mencukupi.
Menurut kajian, tidur yang tidak bermutu sering kali hadir tanpa disedari. Antara tanda paling ketara ialah rasa letih yang berpanjangan walaupun sudah tidur mencukupi. Selain itu, ada juga yang mungkin kerap terjaga di tengah malam dan berdepan kesukaran untuk tidur semula, menjadikan tidur terganggu.
Pada masa yang sama, mimpi yang terlalu banyak atau tidur yang terlalu ringan juga menunjukkan bahawa tubuh tidak sempat memasuki fasa tidur lena yang penting untuk pemulihan. Ada juga yang mengalami dengkuran kuat atau gangguan pernafasan semasa tidur dan ini turut akan menjejaskan mutu rehat malam mereka.
Kesannya apabila bangun pagi, anda mungkin akan rasa sakit kepala atau otot mula tegang kerana tidur tidak berjalan lancar. Disamping itu, ada juga diantara kita yang akan mendapati sukar untuk fokus selain melalui perubahan emosi seperti cepat marah dan juga rasa lesu yang berpanjangan sepanjang hari.
Semua ini adalah tanda bahawa tubuh tidak mendapat rehat sebenar yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik.
PUNCA MUTU TIDUR BOLEH TERGANGGU
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan tidur anda kurang bermutu. Berikut beberapa sebab yang sering terjadi tetapi kurang disedari ramai.
1. Gangguan tidur
Sleep apnea adalah gangguan di mana saluran pernafasan tersumbat atau terhenti seketika berulang kali ketika tidur. Gangguan ini menyebabkan otak terjaga secara mikro untuk memastikan pernafasan berfungsi semula. Walaupun anda tidak sedar, gangguan ini menjadikan tidur anda tidak lena.
2. Tidur tidak menentu
Anda mungkin jenis yang sering tidur lewat malam dan kemudian harus bangun awal untuk bekerja atau ke sekolah pada hari biasa. Sementara pada hujung minggu pula, anda akan tidur lewat dan juga bangun lambat. Inilah antara jadual tidur yang tidak konsisten. Pola tidur yang tidak tetap boleh mengganggu rutin kitaran tidur dan bangun seharian. Lantas, menyebabkan anda untuk sukar mendapatkan tidur lena yang bermutu.
3. Hormon
Bagi wanita hormon yang tidak menentu yang berlaku sebelum haid atau ketika hamil juga didapati boleh mengganggu penghasilan hormon melatonin, iaitu hormon yang mengawal kualiti tidur. Akibatnya, mereka kerap menghadapi masalah sukar tidur, mudah terjaga pada waktu malam dan kemudian bangun dalam keadaan lesu.
4. Tekanan
Tekanan mental atau keresahan yang berterusan membuatkan otak segar dan aktif walaupun anda cuba tidur. Ini akan menyebabkan anda untuk sukar terlena atau mudah terjaga semasa sedang tidur. Lantas, apabila bangun pagi anda akan rasa letih, tidar segar dan mengantuk.
5. Zat besi
Kekurangan zat besi boleh menjejas bekalan oksigen ke seluruh badan menjadi kurang efektif. Ini juga boleh menyebabkan keletihan kronik walaupun anda tidur mencukupi. Masalah ini kerap dialami dalam golongan wanita yang mengalami haid berat atau ibu hamil.
6. Tiroid
Kelenjar tiroid yang kurang aktif boleh menyebabkan metabolisme tubuh melambat dan membuat seseorang rasa lebih letih, kulit kering, berat badan naik dan ada kalanya rasa sejuk yang luar biasa.
Amalkan waktu tidur yang konsisten. Cuba tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari, termasuk hujung minggu. Kajian mendapati cara ini dapat membantu menstabilkan jam biologi tubuh anda.
Selain itu cuba kurangkan pendedahan kepada cahaya skrin. Elak daripada menggunakan telefon bimbit atau menonton TV sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur. Kajian mendapti cahaya biru boleh mengganggu penghasilan hormon melatonin.
Walaupun sibuk dengan jadual tugas seharian, pastikan untuk luangkan masa dan amalkan aktiviti sihat seperti senaman ringan. Anda boleh berjalan kaki untuk membantu memperbaik peraliran darah dalam tubuh dan ia juga akan meringankan otot. Hasilnya tubuh lebih sihat dan percayalah ia membolehkan anda untuk dapatkan tidur yang lebih lena.
Penting juga untuk belajar untuk relaks. Amalan seperti membaca, mandi air suam, meditasi selain pernafasan dalam boleh membantu untuk menenangkan minda dan memudahkan tidur.
Bagi yang bekerja syif malam, anda juga boleh memastikan untuk dapatkan tidur yang cukup apabila pulang ke rumah pada siang hari sebelum sambung bekerja pada malam hari. Pada hari cuti, pastikan untuk dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya agar tubuh tampil segar dan yang penting sihat.
Akhir sekali, semak semula rutin harian anda dan cuba buat perubahan yang perlu. Tidur yang bermutu bukan kemewahan, ia adalah pelaburan terbaik untuk tubuh dan minda yang sihat untuk jangka masa yang panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.