Skip to main content

Gaya Hidup

Tidur atau bersenam: Mana satu lebih penting?

Mana yang lebih merugikan? Lupakan saja senaman? Atau ‘hilang’ satu atau dua jam waktu tidur?

Anggaran Waktu Membaca:
Tidur atau bersenam: Mana satu lebih penting?

(Gambar:Pixabay/Free-Photos/TOBIAS SCHWARZ / AFP)

Diterbitkan : 20 Mar 2018 10:47PM Dikemas Kini : 20 Mar 2018 10:54PM

BERITAMediacorp: Pasti anda pernah mengalaminya: Deringan loceng jam mengejutkan anda daripada lena, mengingatkan anda kepada rutin berlari-lari anak yang sudah dirancang lebih awal. Masalahnya, kelopak mata anda berat tidak terkata. Badan juga terasa letih.

Namun jika anda tidak bersenam, anda mungkin tidak ada waktu lain untuk melakukannya. Mana yang lebih merugikan? Lupakan saja senaman? Atau ‘hilang’ satu atau dua jam waktu tidur?

JAWAPAN YANG TERBAIK ADALAH…

Percaya atau tidak, sebenarnya tiada jawapan bagi soalan-soalan tersebut. Malah, ramai pakar kesihatan enggan memberikan jawapan pasti. “Teruklah jika perlu memilih salah satu,” Dr Charles Czeisler dari Sekolah Perubatan Harvard memberitahu New York Times.

“Saya tidak boleh memilih salah satu,” Dr Edward Laskowski dari Klinik Mayo memberitahu Time, sambil menambah “Tidur dan senaman adalah seperti makanan dan air.”

Maka jawapan terbaik adalah untuk tidak membuat sebarang pilihan. Tidur awal supaya anda dapat merehatkan tubuh sekitar tujuh hingga sembilan jam semalam dan bersenam pada waktu tidak sibuk dengan tugas atau temu janji, lapor laman Curiosity.

Tiada manusia yang sempurna. Kadangkala tidur anda tidak mencukupi dan anda tidak dapat menyesuaikan jadual senaman. Maka jawapannya? Ia bergantung kepada keadaan anda. Cuba anda pertimbangkan pro dan kontranya seperti berikut:

JIKA ANDA TERUSKAN TIDUR…

PRO: Anda boleh lakukan senaman di lain masa.
Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2013 mendapati, mereka yang tidur lebih lama setiap malam, juga melakukan senaman lebih panjang. Malah mutu senaman mereka lebih baik. “Mempertingkat mutu tidur anda mungkin mendorong anda untuk melakukan senaman,” menurut para pengkaji, lapor laman Curiosity.

KONTRA: Anda akan rugi beberapa manfaat senaman.
Satu lagi kajian pada 2013 mendapati hanya dengan menggantikan 30 minit daripada waktu tidur kepada kegiatan fizikal – pada kadar sederhana atau lasak - selama 30 minit, boleh memperbaiki kesihatan jantung. Bolehkah anda korbankan 30 minit itu?

PRO: Anda mungkin berikan tubuh anda waktu untuk pulih
Rehat adalah apabila otot anda pulih semula dan bersedia untuk melakukan senaman seterusnya. Ini perlu kerana otot perlu lebih kuat. Jika anda sudah bersenam enam hingga tujuh hari, anda mungkin terlebih berlatih. Ini boleh mengurangkan prestasi senaman seterusnya atau mungkin meningkatkan risiko jatuh sakit.

KONTRA: Tidur tidak mencukupi boleh jejas diri anda
Bangun lambat sekali sekala boleh, tetapi jika sering tidur melebihi lapan jam semalam, anda perlu mengubah tabiat. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2016 mendapati antara mereka yang tidur kurang empat jam semalam dengan orang yang tidur melebihi lapan jam sehari, risiko kematian akibat penyakit jantung adalah sama.

JIKA ANDA PILIH UNTUK BANGUN…

PRO: Anda tidur lebih lena pada sebelah malam.
Kajian menunjukkan walaupun anda hanya melakukan sedikit senaman, mutu tidur bertambah baik. Jika anda mengalami gangguan tidur seperti insomnia atau apnea tidur, lebih baik. Ini kerana dapatan kajian menunjukkan senaman mungkin akan membantu.

KONTRA: Anda mungkin lapar.
Apabila waktu tidur separuh daripada peserta satu kajian yang dijalankan pada 2011 tidak mencukupi, paras hormon ghrelin mereka lebih tinggi. Hormon itu membuatkan anda lapar, mengekalkan lemak serta mengurangkan jumlah kalori yang dibakar. Menurut kajian pada 2016 pula, kurang tidur juga boleh merangsang bahan kimia tertentu yang menjadikan makan kegiatan menyeronokkan. Habislah diet anda!

PRO: Ia bantu kesihatan mental anda
Senaman terbukti boleh mengurangkan kemurungan serta memperbaiki ‘mood’ anda secara keseluruhan. Tambahan lagi, kurang tidur sebenarnya diiktiraf sebagai rawatan bagi kerumurungan klinikal, menurut laman Curiosity.

KONTRA: Senaman anda mungkin tidak berguna
Bukan hanya otak yang mempunyai ritma sirkadian. Kajian pada 2016 menunjukkan otot juga sama. Sel otot bekerja lebih baik pada waktu siang berbanding malam. Maka, jika anda bangun pada waktu, yang menurut otot, sepatutnya anda tidur, senaman anda boleh dikatakan tidak berguna.

KESIMPULANNYA
Jawapan yang terbaik adalah bergantung kepada sejarah anda sendiri. Jika anda cenderung ‘cuti’ bersenam berbanding tidur, memaksa diri untuk bangun dan berlari-lari anak sebelum keluar bekerja mungkin baik untuk anda. Jika anda kerap bersenam tetapi kurang tidur, apa kata sekali-kala anda bangun lambat sedikit dan mungkin bersenam pada hari lain.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita